Search This Blog

Loading...

Quotable Quotes



The best of people are those that bring most benefit to the rest of mankind

My Loyal Readers

Thursday, November 3, 2011

Khabar gembira buatmu, wahai tetamu Allah!

Jumaat lalu, kami sekeluarga berkesempatan menghantar Makcik Siti dan suaminya ke Kelana Jaya.

Alhamdulillah, beliau adalah antara insan terpilih yang berpeluang menyahut seruanNya untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima. Bertuah kerana mempunyai kemampuan material. Dan terlebih bertuah lagi kerana memiliki kecergasan fizikal. Usia 51 tahun, mengikut pendapat saya, boleh dikatakan masih bertenaga juga.

Dalam pada menunggu detik-detik akhir sebelum beliau dan suami mendaftar masuk, kami sempat berbual-bual. Makcik Siti menitipkan pesanan beliau kepada saya, yang turut didengar sama oleh kedua-dua orang anaknya –

“Nanti tolonglah tengok-tengokkan rumah Cik. Budak-budak berdua ni”

Segera menghidu perasaan gusar dan khuatir yang bersarang di fikirannya, saya cepat-cepat menjawab –

“Acik jangan risau. Fokus kat ibadat haji. Budak-budak ni dah besar panjang. Budak-budak sekalian sila pegang 3 rukun aje – Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukunegara – nescaya kamu selamat di dunia dan di akhirat”

Percakapan saya disambut dengan deraian tawa. Dan saya fahami bahawa ketawa itu disebabkan oleh Rukunegara yang saya sebutkan. Heeee.

Kecenderungan saya untuk memerhati keadaan sekeliling dengan mata kasar, dan mengamati persekitaran dengan mata hati – membuatkan saya segera insaf. Pengalaman untuk berada di Kelana Jaya, untuk kali keduanya, saya ambil sebagai salah satu proses membersihkan jiwa dan menyucikan hati.

Betapa kita semua adalah sama.

Di sini, bakal-bakal haji secara fizikalnya berpakaian sama. Yang lelaki dengan pakaian ihram. Yang wanita dengan mini telekung dan jubah. Serba putih. Suci dan bersih. Begitulah kita nanti apabila dipanggil menghadap Ilahi. Serba putih juga, secara luarannya.

Kita, yang dilahirkan seumpama kain putih – mungkinkah akan kembali kepadaNya dalam keadaan yang serupa?

Dikatakan bahawa batu Hajar Aswad itu pada asalnya putih, namun menjadi hitam dek kerana dosa-dosa orang yang datang mengerjakan haji.

Tepat jam 930 malam, kedengaran pengumuman yang meminta bakal haji bersiap sedia untuk masuk ke balai menunggu bagi sesi taklimat. Laungan berkumandang –

Labbaik Allah humma labbaik
Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintahMu Ya Allah

Labbaika laa shareeka laka labbaik
Tiada sekutu bagiMu dan kami Insya-Allah memenuhi panggilanMu

Innal hamda, wan ni’mata, laka walmulk, laa shareeka lak
Sesungguhnya segala pujian, nikmat, dan begitu juga kerajaan adalah milikMu dan tidak ada sekutu bagiMu



Seluruh tubuh rasa bergetar.



The Law of Attraction

Tarikan kuasa minda.
Benar atau tidak - saya telah, masih, dan akan terus mempercayainya!
Oh, ibarat jatuh cinta kali kedua – tapi saya telah mengalami episod tarikan kuasa minda kali yang ke…..mungkin ketiga.
Perasaan sedang bercampur-baur.
Antara gembira, terharu, sebak. Dan perasaan ingin tahu. Juga perasaan ingin memperbaiki diri.
Semalam saya temui satu buku baru. Ada saya rekodkan di sini, sekadar peringatan kalau-kalau terjumpa buku tersebut di mana-mana.
Ya, saya tahu.
Saya sudah berjanji dengan diri sendiri bahawa TIDAK AKAN SEKALI-KALI membeli buku baru tahun ini. Tidak sama sekali. Tidak akan membeli walau senaskhah sekalipun, selagi buku-buku yang diborong di Pesta Buku Antarabangsa Tahun 2010 tidak dihabiskan. Errr…dan juga buku-buku yang diheret dalam troli (dengan jayanya) tahun lepas di Big Bad Wolf 2010 – tanpa menghiraukan usia kandungan yang sudah masuk trimester ketiga ketika itu. Sekonyong-konyong, saya boleh terlupa bahawa diri sedang sarat mengandung, ya?
Dan ditakdirkan bahawa buku yang saya ‘terlihat’ di ruang maya semalam – saya temui pula secara fizikalnya sebentar tadi!
Wahhhhh….
Bukankah itu pertemuan yang sememangnya ditakdirkan?
Oleh itu, saya mesti beli!
Murah saja. Hanya RM4.50. Namun manfaatnya – tidak dapat diukur dengan wang ringgit.
Oh, buku ini sangat nipis. Cuma 71 halaman. Saya sempat menghabiskan hampir separuh ketika memandu berhenti-henti di persimpangan lampu isyarat yang menyalakan warna merah. Kepimpinan melalui teladan – diharap tiada sesiapa yang mengikut teladan ini. Sangat merbahaya, ya!
Sebenarnya, faktor utama yang mendorong perlakuan [Saya Mesti Beli!] buku ini ialah kerana saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan Pati Air Mawar, Serbuk Cendana dan Akar Sintok? Melihatnya saja sudah membuatkan saya bingung. Sungguh, saya tiada idea!
Okey, sekarang sudah ada gambaran kasar.
Terasa lega.
Pensyarah saya , Encik Hanizam pernah mengajukan soalan kepada saya –
“When is the best time to learn?”
Saya menjawab dengan yakin  
“Early in the morning! Or late at night – for some people”
Encik Hanizam menjawab –
“The best time to learn is when you want to know”

Perkara utama yang kita mesti ambil tahu

Dua beranak sedang menonton Cerekarama pada malam Sabtu.
Babak yang sedang dipertontonkan memaparkan sebuah kediaman mewah – banglo besar tersergam indah yang terletak di atas bukit. Banglo yang hebat  itu disokong dengan tiang Roman yang tegap, manakala halamannya tersusun dengan kereta-kereta mewah; berkilatnya bukan main lagi - yang tidak dapat dikenali jenamanya.
Yang pasti, bukan kereta buatan Malaysia.
Dijamin bahawa kereta itu lebih mahal daripada Vios kerana Si Anak hanya mengenali jenama tersebut, selain jenama buatan Malaysia. Miahaha!
Tentunya kereta-kereta tersebut bukanlah daripada jenama Proton. Miahaha kuasa dua :D
Si Ibu berbisik perlahan, namun masih dapat didengari oleh Si Anak,
“Hui…besarnya rumah banggeloooo”
Si Anak menelan air liur; sedikit terkilan kerana tidak mampu menghadiahkan rumah banggelo sedemikian untuk Si Ibu, namun perasaan kecewa itu segera terhapus apabila Si Ibu menyambung -
“Kalau duduk situ sorang-sorang, mati pun tak ada orang tahu!”
Si Anak mula tersenyum sambil berkata dalam hati –
“Oh, selamat! Ingatkan nak cakap pasal kekayaan duniawi yang tak mampu dimiliki”
Si Ibu bercerita lagi –
“Engkau tau, kawan Mama yang tak kawen tu tinggal dengan Emaknya. Nunnnn jauh kat atas bukit. Tinggal berdua. Sekali tu, Emaknya meninggal jam 2 pagi. Dia pulak tak tau macam mana nak menguruskan jenazah”
(Si Ibu berhenti seketika untuk meneguk Nescafe panas)
(Si Anak pula sedang cuak memikirkan kejadian berdua-duaan dengan jenazah yang tidak bernafas)
Si Ibu meneruskan penceritaan –
“Dia pun menunggulah kat tepi mayat Emaknya sampailah ke Subuh, barulah saudara-mara datang”
Si Anak membeliakkan mata dengan perasaan takut yang pelbagai. Takut mati. Takut suhu mayat yang sejuk. Takut lemas kena kambus dalam tanah. Takut neraka. Tetapi perasaan takut versi Hantu Kak Limah Balik Rumah lebih dominan pada ketika itu.
Si Ibu berkata lagi –
“Kalau Mama mati, engkau tau apa benda pertama sekali yang kena dibuat?”
Si Anak terdiam.

Klik untuk mengetahui:

Wednesday, November 2, 2011

Kain putih untuk keberangkatan ke negeri abadi

Suatu hari, dalam tahun 2004 – seorang rakan saya memulakan bicara,

“Hari tu, aku kemas almari lama. Sebab nak raya, kan….”

Saya membesarkan bola mata tanpa disedari, satu reaksi spontan yang memperlihatkan minat saya untuk menunggu cerita selanjutnya dari beliau.

“Aku jumpa kain putih. Aku tanyalah Mak aku, nak buat apa kain putih ni Mak? Bukannya ada anak-anak yang sekolah lagi”

Ibu beliau menjahit sendiri kesemua baju kurung sekolah mereka adik-beradik.

Dari dapur, Ibunya menjawab –

“Itu buat kain kapan Mak mati. Mana tau, esok lusa dah pergi. Nak harapkan korang adik-beradik, entah tau entah tidak mana nak cari kain kapan!”

Saya ketika itu, yang masih dikira sebagai budak hanyir dan tidak memiliki insurans mulut terus menyampuk –

“Perghhh! Advance betul Mak ko! Aku tak pernah terpikir nak beli kain kapan pun”

Menganggap diri sendiri sebagai budak hingusan, pada usia 24 tahun sememangnya tidak wajar. Namun demikian, itulah maklum balas jujur yang sememangnya di luar kawalan saya.

Setelah 7 tahun berlalu, perbualan lewat makan tengahari antara saya dan rakan saya itu bergema kembali di gegendang telinga. Persoalan yang pernah terdetik di hati, namun tidak pernah terjawab sehinggalah hari ini, kembali bertandang untuk menuntut jawapannya.


Ironinya, baju hari raya kami sekeluarga untuk Aidilfitri yang lalu telah ditempah seawal 3 bulan sebelum kedatangan Syawal!

Hidup ini, habis-habis pun mati

Kematian itu merupakan sesuatu yang pasti.

Selama ini, mungkin kita menyangka bahawa kematian adalah titik penamatnya kehidupan. Pernah pada suatu ketika, saya terjumpa blog seorang sepupu yang menghidap Thalassemia - di bawah header blognya tercatat:

"Hidup ini, habis-habis pun mati"

Saya memahami maksud beliau.

Berperang dengan Thalassemia sepanjang hidupnya, beliau seolah-olah pasrah dengan ketentuan takdir Ilahi. Belum lagi dikira beberapa siri kemalangan yang dialaminya akibat menunggang motosikal besar. Hancur luluh hati saya melihat seluruh badannya yang ditebuk sana-sini, itu tidak termasuk pembedahan demi pembedahan yang dilakukan untuk 'memperbaiki' kesan-kesan kecederaan dalaman.

Pun begitu, kita tidak perlu menunggu sehingga didiagnosis sebagai penghidap Thalassemia untuk mengingati mati - atau terlibat dalam bencana dan musibah, maka barulah kita memikirkan tentang kematian.

Hakikatnya, setiap makhluk tidak terlepas dari menemui ajalnya.

Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat dan tidak melihat kita sama ada dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat.

Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.

Saat bercerainya roh dari badan, adakah itu babak penyudah dalam arena kehidupan di dunia?

Tidak sama sekali.

Kematian hanyalah sekadar proses sementara.

Kehidupan di negeri abadi bermula dari alam kubur.

Makanya, benarkah bahawa –

"Hidup ini, habis-habis pun mati?"


Fikirkan semula.



Tuesday, November 1, 2011

Perubahan itu satu kemestian

Oh, baru saja saya menaip entry terdahulu – seorang rakan mesyuarat tingkap menyapa saya di Yahoo! -
“Mak Ngah, hari ni tak ada iklan baju ke?”
Saya tersengih sendirian.
Mengumpulkan perkataan-perkataan yang sesuai untuk menyusun ayat.
Lantas, saya taipkan dengan berhati-hati,
“Nak tengok jubah kena pegi kat FB Kedai Mak Ngah”
Saranan untuk memindahkan Kedai Mak Ngah dari petempatan sementara di tapak My Internal Outlet ke medium Facebook datangnya daripada KNV. Idea itu sebetulnya telah lama tertanam dalam minda saya sendiri. Namun demikian, perasaan tidak yakin (dan takut) yang menggugah menyebabkan saya mengenepikan hasrat tersebut.
Masih tersimpan SMS KNV yang tercatat:
"Ideas are free. Execution is expensive"
Pelaksanaan sememangnya sesuatu yang mahal.
Mahal dari segi masa, mahal dari segi tenaga dan mahal dari segi fokus.
Apatah lagi, beberapa percubaan untuk membawa Kedai Mak Ngah dalam beberapa blog berasingan sebelum ini menemui kegagalan. Gagal membawa masuk trafik. Gagal menemui prospek. Gagal memasarkan. Gagal menjual. Dan serba-serbinya gagal.
Saya, yang sekian lama memboikot segala aplikasi Facebook – tidak mempunyai walau seorang kawan pun di Facebook – tidak tahu menahu bagaimana membuka akaun Facebook – bersifat anti-sosial dan tidak suka mendedahkan diri – bagaimana mungkin saya menjual di Facebook!
Tak mungkin!
Namun begitu, saya cuba juga.
Percubaan untuk bertapak di Facebook dengan menggunakan Page mengambil masa hampir sebulan.
Menggodek sesuatu yang baru adalah sangat memeningkan. Saya rasa letih kerana perlu bermula dari kosong, membaca itu dan ini, di samping beberapa episod cuba-gagal dan cuba-jaya. Hahaha. Keluar dari zon selesa iaitu menggunakan blog – kepada Facebook adalah sangat-sangat tidak selesa.
Namun begitu, tidak semua yang kita sukai adalah baik untuk kita. Barangkali yang kita tidak suka itu bahkan sesuatu yang lebih kompetitif.
Saya bermula pada 14 Oktober yang lalu dan meletakkan sasaran selewat-lewatnya awal November ini untuk berpindah sepenuhnya.
Dan hari ini, 1 November – setelah merasakan keyakinan diri mulai pulih dan telah nampak cahaya di hujung terowong, saya akhirnya berkata dalam hati –
“Yukkkk kita pindah!”
Saya masih dalam proses mengenali tapak baru Kedai Mak Ngah itu.
Takpe, pelan-pelan kita kayuh.
Lagipula, saya sudah lama tidak membebel di blog ini ^_^



Permulaan yang baru

Alhamdulillah, hari yang baru bermula lagi!
Hari ini adalah hari yang baru untuk bulan November.
Betapa cepatnya masa berlalu apabila kita melakukan perkara-perkara yang kita sukai.
Tanpa paksaan. Tanpa sesalan. Tanpa kongkongan.
Melakukan sesuatu hanya bersandarkan minat adalah satu kemewahan, satu kebebasan dan satu pilihan.
Setiap hari mempunyai cabarannya yang tersendiri. Setiap hari tidak terlepas daripada kesulitan tentunya, namun mengetahui bahawa setiap kesulitan itu disertai dengan kemudahan – itulah berita yang paling menyenangkan dan membuat saya berasa berlapang dada.
Untuk pertama kalinya, saya memahami dalam erti kata sebenar – apa yang dimaksudkan dengan berlapang dada.
Berlapang dada mengikut definisi saya ialah berupaya melepaskan sesuatu yang sangat didambakan – untuk misi yang lebih besar, terarah dan bermakna.
Sesuatu yang didambakan itu berbeda-beda mengikut individu.
Yang didambakan itu boleh jadi wang. Boleh jadi kuasa. Boleh jadi pangkat. Boleh jadi pengaruh. Atau mungkin juga nama dan populariti.
Sesuatu yang jelas dan nyata ialah – menjadi seorang Muslim membuatkan kehidupan ini tidak hanya setakat di dunia ini. Apa yang dibuat di sini, akan dibawa ke sana. Seumpama menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun – carry marks mesti mencapai markah tertentu kerana kita mempunyai matlamat untuk skor!
Perancangan mesti jelas.
Perancangan bukan hanya melibatkan apa yang mesti dilakukan pada hari ini, bahkan mesti meliputi hari esok. Juga minggu depan. Bulan depan. Tahun depan. 5 tahun dari sekarang. 10 tahun dari sekarang.
Kemudian kita perlu juga memikirkan bagaimana kalau hari esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 5 tahun dari sekarang dan 10 tahun dari sekarang itu tidak direncanakan untuk kita?
Maka benarlah Surah Al-Asr;
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!


I Love to Talk About Ideas
I like my conversations to be deep and meaningful. I am not a big fan of small talk.
I am open to all sorts of conversation topics, especially if they are unique or interesting. I love it when a conversation takes me somewhere unexpected.

I will talk about anything, even if it's controversial or weird. I'm not shy about speaking my mind.
I may shock people with what I'm willing to talk about, but at least it's more interesting than discussing the weather.