Hari ini, matlamat saya ialah untuk mengemaskini perkembangan Program Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata yang dilancarkan di blog My Internal Outlet. Saya percaya, kawan-kawan yang telah menyumbang wang tunai untuk ditukarkan kepada baju Melayu kanak-kanak tentu tertanya-tanya apakah kesudahan misi ini :)
Pada saat-saat akhir, saya telah menambah baju kurung kanak-kanak perempuan yang sama nilai harganya untuk mencukupkan sumbangan kepada Team Sehelai Baju. Ini berikutan terdapat kawan-kawan yang masih ingin menghulurkan bantuan, sedangkan bekalan baju Melayu yang berpadanan dengan saiz anak-anak yatim dan asnaf sudah kehabisan.
Sehingga pagi semalam - Rabu, 24 Ogos 2011 jumlah wang tunai yang diterima ialah sebanyak RM1,064 - menjadikan baju Melayu dan baju kurung yang berjaya dikumpulkan mencapai 28 pasang keseluruhannya. 17 pasang merupakan baju Melayu untuk kanak-kanak lelaki, manakala 11 pasang lagi merupakan baju kurung untuk kanak-kanak perempuan. Alhamdulillah! :)
Untuk makluman, baju-baju tersebut telah dikirimkan melalui PosLaju Dijamin Sampai Esok (hari ini) pada jam 16:06:35 petang semalam. Mengikut perkiraan saya, Insya-Allah hari ini juga Team Sehelai Baju akan menerima baju-baju tersebut. Sekiranya kawan-kawan inginkan kepastian tentang status kiriman - saya sertakan Tracking No EM 150880438 MY yang boleh disemak menerusi laman web PosLaju atau hubungi PosLine di talian 1-300-300-300.
Saya paparkan gambar-gambar di bawah untuk tatapan kawan-kawan yang telah sama-sama menjayakan Program Sehelai Baju ini sehingga melangkaui matlamat asal 10 pasang baju kepada 28 pasang kesemuanya!
| Baju-baju yang telah diasingkan mengikut saiz dan umur . . |


















