Search This Blog

Loading...

Quotable Quotes



The best of people are those that bring most benefit to the rest of mankind

My Loyal Readers

Friday, July 23, 2010

Hari ini dalam sejarah

Saya paling suka apabila Cikgu Sejarah bercerita Bab Tamadun. Cakaplah berjam-jam, walau meleret-leret sekalipun, saya sanggup menadah telinga sehingga ke titisan air liur Cikgu yang terakhir. Hahaha! Tapi jangan sebut Bab Perang, Bab Jepun Menawan Tanah Melayu Pakai Basikal, Bab Ahmad Boestamam, Bab Parlimen dan Perundangan – adoi! – masa ni rasa nak lari pergi Dewan Makan, melantak Ayam Masak Kicap lagi best. Tak pun terus pergi ke depan dan bisik kat Cikgu –

“Cikgu, boleh saya pergi toilet?”

Hahaha! Nak escape le tu :P

Dalam subtopik Tamadun Mesopotamia, salah satu tamadun terawal dunia – antara sumbangan besarnya ialah memperkenalkan Kod Undang-Undang Hammurabi. Saya paling ingat fakta ini sebab salah satunya berbunyi –

“Jika rakyat mematahkan tulang bangsawan, maka tulangnya akan dipatahkan”

“Jika bangsawan mencederakan atau mematahkan tulang rakyat, hukumannya denda satu wang perak”

Masa ini saya cuma terfikir – “Eh, minggu depan aku duty jaga hostel, maknanya kalau aku lambat bersiap pun tak apa, sebab aku kan prefect!” <--- tetiba nak samakan taraf prefect dengan bangsawan Mesopotamia :P

Hahaha! Keji gila. Tapi saya pelajar yang baik. Katakan TIDAK! kepada penyalahgunakan kuasa.

Saya rasa, keadaan hari ini tidak banyak berubah.

Dari satu segi, susun lapis masyarakat telah menjadi semakin rumit dengan begitu banyaknya pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu. Kalau dulu, kita cuma memerlukan seorang Michelangelo untuk merealisasikan sesebuah binaan – dialah Arkitek, dialah Jurutera, dialah Pengukir, dialah Pelukis, dialah Tukang – tetapi kini setiap orang mempunyai tugas masing-masing.

Namun begitu, hierarki masyarakat secara amnya tetap sama – rakyat jelata seperti saya tetap duduk di tangga terbawah – dikenali sebagai Kumpulan Karbohidrat (sila bayangkan Piramid Makanan) sebab tiba-tiba perut saya rasa lapar :P Errrr, sepatutnya kita semua sedang membayangkan Susun Lapis Kerajaan Mesir Purba ya, yang mana Firaun adalah ketua negara – dan kamu semua golongan hamba hendaklah bermati-matian membina Sakkara. Muahahaha :P

Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah mengetengahkan beberapa perkara penting dalam artikelnya yang berjudul Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin. Apa yang dikatakan beliau sememangnya benar belaka. Saya tiada bangkangan sama sekali.

Begitupun, berbalik kepada realiti kehidupan - saya cuma rakyat biasa yang masih bergelut dalam lautan tikus. Saya cuma memohon agar diberikan rezeki yang mencukupi agar jangan sampai saya hidup meminta-minta. Saya masih yakin, Allah tidak pernah kejam. Adakah ini menunjukkan bahawa saya juga menggunakan agama sebagai candu?


p/s: Saya suka Tamadun Indus, sebab di Mohenjo-Daro dan Harappa ada bilik mandi dan tandas dalam rumah. Sungguh maju, kan? LOL :P

Thursday, July 22, 2010

Minority report

Eh? Ini bukan ke tajuk filem yang Tom Cruise jadi hero tu? Hahaha. Belasah je la labu :P

Ok. Saya masih dalam mood nak bercerita tentang kelas yang saya hadiri. Dalam kelas yang lalu, Pensyarah untuk modul berkenaan memiliki PhD dalam bidangnya dan menerima pendidikan di luar negara. Seorang wanita berbangsa Cina. Belum berkahwin. Eh, tetiba rasa kagum gile macam mana dia boleh dapat PhD sebab nampak terlalu muda :P

Untuk pertama kalinya juga, saya menerima seorang Pensyarah yang bukan sebangsa dengan saya. Cuba menerima hakikat bahawa saya adalah bangsa minoriti dalam kelas. Serta terpaksa duduk di kalangan rakan-rakan yang berbahasa Inggeris sepenuhnya. Tak ada bahasa rojak, campur-campur Bahasa Inggeris dengan Bahasa Melayu!

Secara jujurnya, saya rasa tak selesa.

Rasa gugup dan gementar tidak dapat disembunyikan. Dalam kepala asyik sibuk terjemah Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris – macam la ada kamus dwibahasa dalam otak tu. Hahaha. Lepas tu kelam-kabut nak pikir pasal Present Tense, Past Tense, Singular, Plural. Ohhhh. Itu belum masuk bab lidah tergeliat, terpusing, terbelit dan tertonggeng setiap kali otak mengarahkan lidah untuk meneruskan komunikasi secara spontan. Belum lagi percubaan gegendang telinga menangkap patah-patah kata asing yang saya rasa susah gile nak paham.

Selama ini, saya sentiasa rasa selamat. Bersekolah dalam sekolah Melayu. Dapat Cikgu Melayu. Duduk dalam komuniti Melayu. Cakap Melayu. Oh, memanglah saya bekerja dalam Kilang Kicap Cap Ayam yang majoritinya Cina – tetapi mereka juga berbahasa Melayu dengan saya. Sesekali keluar juga sepatah dua ayat London, tapi bukan selalu. Lagipun Bahasa Inggeris orang Kilang Kicap adalah tahap Cina Bukit turun ke laut. You jump, I jump. Janji aku paham apa ko cakap, dan ko paham apa aku cakap, cukuplah kan? Hahaha!

Saat paling menderita bermula sebaik sahaja kami selesai rehat minum petang. Baru 5 minit kuliah berlangsung, tiba-tiba Pensyarah berkata –

“Okay, I give you 30 minutes for group discussion. 2 presenters for each group. 30 marks for individual presentation”

Masa ni saya rilekkk lagi. Sebab saya target nak present besok, bukan hari ni. Hahaha.

Tiba-tiba.

Semua orang dalam kumpulan baru saya sudah pun membuat pembentangan individu mereka dalam sesi yang terdahulu. Cuma tinggal saya dan seorang lagi calon yang bernasib malang.

OMG! Die, die, die! <--- eceh, time ni pandai pulak ko cakap omputih :P

Masa tu rasa nak pengsan. Teringin purak-purak jadi Fasha Sandha yang pitam. Nak muntah. Nak kentut. Rasa karipap 4 bijik sedang berenang-renang ke tepian dalam limpahan air Nescafe, menuju ke usus besar. Jantung bagaikan tercabut. Siap boleh nampak tudung bergetar-getar dek kerana kuatnya degupan jantung di dada. Hahaha! Mari gelak kuat-kuat :P

Kenapa saya takut sangat? Sebab kena speaking London di khalayak bukan Melayu!

Dan alangkah leganya apabila Pensyarah berkata –

“Ok. That is a very good and articulate explanation. Well done!”

Phewww! Biar betul. Boleh ulang lagi sekali pujian tu? Hahaha. Rasa nak buat sujud syukur. Itu baru pembentangan 5 minit.

And I wonder how the non-Malay survived all these while, being the minority - and still be successful?

Management

Lebih kurang 2 bulan lepas, saya belajar topik Management. Pada mulanya, saya rasa macam malas aje nak belajar topik ini. Setakat nak tahu pasal Pengurusan, tak payah ambil kursus pun tak apa. Begitulah pendapat awal saya. Saya fikir, memadailah dengan baca buku. Dan betapa banyaknya buku-buku bantu-diri yang telah menyebut tentang aspek pengurusan? Sangat banyak!

Tetapi jangkaan saya meleset. Sebaik sahaja Pensyarah saya memulakan pengajarannya, soalan yang pertama ditanyakan ialah – What do you understand about Management?

Definisi yang diberikan ialah –

“......when you have specific target to achieve in certain period with limited resources”

Lebih kurang begitulah bunyinya. Sila abaikan kesilapan tatabahasa atau yang sewaktu dengannya. Saya belajar untuk faham, bukan untuk skor A okey? Hahaha. Alasan!

Specific target.
Timeline.
Limited resources.

Saya suka 3 isi penting ini. Dengan memahami 3 kata kunci tersebut, saya merasakan tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tanpa ragu-ragu, saya berikan tabik hormat kepada sesiapa sahaja yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan. Sedangkan saya yang cuma belajar satu subtopik dalam masa 2 hari berkaitan Pengurusan pun sudah memperoleh manfaat yang tidak terhingga, inikan pula orang yang telah menghambakan diri selama 4-5 tahun menuntut ilmu dalam bidang Pengurusan!

Suka atau tidak, saya harus mengakui bahawa bekerja dalam kekangan akan membawa kepada penemuan jalan keluar yang kadang-kadang sukar dijangka. Tekanan dalam kuantiti yang wajar menghasilkan kreativiti. Lalu Pensyarah saya menambah –

“If money is not an issue, why do you need to think so much on managing your business?”

Hahaha.

Sekarang saya faham kenapa usahawan-usahawan kecil harus bermatian-matian mempertahankan perniagaan ciput mereka. Kerana setiap sen mempunyai nilai yang tidak terperi.

Do or die.

Dalam ilmu keibubapaan, konsep asas pengurusan ini juga boleh digunapakai. Katakanlah anda ingin sekali agar anak anda memasuki Tadika Montessori yang mana yurannya mencecah RM500-RM600 sebulan – sedangkan anda tak mampu, apa yang boleh anda lakukan?

Cari dan baca tentang Montessori At Home. Ada yang boleh dicedok di sana.

Mungkin kita tak mampu dari segi wang.

Tetapi semua orang dikurniakan 24 jam sehari dan kudrat yang sama. Dari segi masa dan tenaga, kita semua memiliki aset yang serupa. Tiada yang lebih, tiada yang kurang.

:P


Wednesday, July 21, 2010

Once upon a time in SKK

Saya sebenarnya agak terkejut bila mendengar ada di kalangan kanak-kanak yang takut untuk ke sekolah. Takut kena rotan. Takut cikgu marah sebab tak siap kerja sekolah. Dan beberapa sebab yang mungkin tidak pernah terlintas di kepala saya ketika saya seusia mereka.

Saya menyifatkan zaman persekolahan sebagai fasa yang paling menyeronokkan dalam hidup! Keseronokan maksima dirasai terutamanya ketika mengikuti prasekolah dan sekolah rendah.

Antara perkara yang sangat saya rindui ialah sewaktu kelas Muzik, yang mana Cikgu Aziz Md Som akan membawa kami duduk di bawah pokok tepi padang dan menyanyikan lagu -

Betikkk, betikkk
Hai sedap rasanyaaa
Betikkk, betikkk
Manis sungguh isinya!

Kahkahkah! Melalak di tepi padang sekuat hati memang kegemaran kami. We were having so much fun! Cikgu Aziz Md Som adalah seorang guru muzik yang sangat berkaliber. Pernah menyertai kombo RTM. Juga bertanggungjawab menyeret saya dan Verde menyanyi dalam Segmen Bakat, untuk siaran Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri. Verde lebih hebat kerana selepas menyanyi untuk beberapa episod, beliau ditawarkan sebagai Pengacara Tetap. Saya turut menerima tawaran yang sama untuk satu episod, namun akhirnya kekal di Segmen Bakat, sebab saya ada masalah malu-depan-kamera-kecuali-bila-menyanyi dan otak saya beku bila disuruh hafal skrip. Hahaha.

Seperkara lagi yang membuatkan saya sentiasa terkenang-kenang tentang zaman sekolah ialah kelas Pendidikan Seni. Salah satu sebab utama ialah kami boleh keluar melukis di bawah pokok (lagi!) sambil feeling-feeling ala seniman jalanan gitu. Hahaha. Tak kisahlah tangan ko pengkang ke, ko lukis senget ke, ko mewarna di luar garisan ke – pengakhirannya, semua orang dapat bintang. Sebab Seni adalah sesuatu yang subjektif. Tak percaya, cuba tengok lukisan Vincent Van Gogh. Entah apa yang lawa sangat dengan lukisan Vase with Twelve Sunflowers tu agaknya? Serius tak paham. Begitupun, ada satu karyanya yang saya sangat suka – The Starry Night – walaupun Mr Daddy merumuskan bahawa lukisan tersebut cuma tahap lukisan budak Darjah Satu. Huh?! Mr Daddy, jangan kutuk kuat-kuat okey, nanti orang kata awak buta seni. Muahahaha :P

Kesimpulannya, saya tak pernah kenal apa itu kelas tambahan, apatah lagi kelas tuisyen. Zaman sekolah rendah menurut perspektif saya, penuh dengan pertandingan bercerita, berpantun, bersyair dan berdebat serta aktiviti pementasan dan persembahan yang melibatkan drama sebabak, koir dan nasyid. Di situ juga saya belajar mengenali karya Usman Awang berjudul Ke Makam Bonda, yang dimasukkan dalam buku teks Darjah Enam.

Waktu itu, UPSR tetap UPSR. Tapi kami masih sibuk bermain galah panjang dengan kain baju kurung yang disingkap macam orang nak turun bendang tanpa menghiraukan pakaian seragam pengawas yang melekat di tubuh. Hahaha! Tak senonoh betul. Yang hairannya, kami masih dapat 4A dengan cemerlang.

Orang kata, zaman telah berubah.

Saya tidak nampak apa perlunya perubahan, kalau perubahan itu tidak menjurus ke arah kebaikan.

Kenapa saya suka SG?

Ahhaaaa. Apa itu SG? Bukan untuk tontonan umum? Mengandungi unsur-unsur ganas yang tidak keterlaluan? Hahaha!

SG dalam tajuk di atas merujuk kepada Sejarah dan Geografi :P

Ketika di bangku sekolah dulu, boleh dikatakan hampir setiap orang memiliki buku autograf. Apatah lagi apabila cuti hujung tahun semakin dekat, maka semakin ligatlah kami bertukar-tukar buku autograf. Saat inilah terbongkarnya bakat-bakat terpendam dalam penulisan puitis, juga perasan diri adalah selebriti dengan menyelitkan sekali biodata diri masing-masing. Kellassss!

Data yang tidak kurang pentingnya dalam penulisan buku autograf selain tarikh lahir dan hobi ialah matapelajaran kegemaran. Seperti biasa, jawapan popular ialah Bahasa Inggeris. Tak kiralah ko cakap English ke laut ke, ko sebut ‘rough’ sebagai ‘rog’ - dan bukannya ‘raf’ ke – janji gempak! Minat Bahasa Inggeris tu! Kahkahkah. Subjek seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik diklasifikasikan sebagai subjek kelas pertama. Ada gaya, mutu dan keunggulan di situ.

Kadang-kadang saya segan untuk mengaku bahawa subjek yang paling menarik minat saya ialah Sejarah. Dan Geografi. Kahkahkah! Sangat kolot bunyinya. Untuk kebanyakan orang, subjek sebegini sangat membosankan. Tapi saya suka, sebab ada banyak perkara logik yang boleh dipelajari.

Sangat mudah untuk memahami mengapa Kerajaan Maritim berpusat di persisiran pantai dan kenapa Kerajaan Agraria memaksimakan potensi berdasarkan kekayaan sumber alamnya. Kalau kita betul-betul menghayati subjek Sejarah, mungkin pemikiran kita akan lebih terbuka dan mampu menerima bahawa bukan semua orang ditakdirkan menjadi Arkitek. Ada sesetengah orang lebih bagus menjadi Pelukis Pelan. Hahaha. Kelakar sungguh contoh yang saya sebutkan ini. Tak seswaii taww :P

Subjek Geografi juga sebagaimana matapelajaran Sejarah, membawa mesej yang sama. Ada negeri yang kaya dengan sumber asli – sesuatu yang memang sedia ada di perut bumi. Ada negeri yang memang pada asalnya tiada apa-apa, tetapi berkat kesuburan tanahnya serta pemerhatian mendalam manusia di sekitarnya, mampu memakmurkan kawasan terbabit dengan aktiviti perladangan yang bersesuaian.

Seorang Cikgu Geografi pernah bertanyakan kepada kami sewaktu mengajar dalam kelas Tingkatan 1 –

“Kenapa pokok tamar tumbuh di Timur Tengah?”

Disebabkan satu kelas sunyi sepi, saya pun menjawab –

“Supaya Nabi Muhammad senang nak bukak puasa”

Hahaha! Nasib baik saya tak kena sekeh dengan kepala lutut.

Cikgu Geografi kemudiannya memberikan jawapan eksklusif yang tiada dalam buku teks iaitu –

“Pokok tamar ialah sejenis palma. Kalau di Malaysia, dia jadi pokok kelapa sawit sebab di Malaysia tak banyak minyak macam di Timur Tengah. Kalau di Timur Tengah, dia jadi tamar sebab Tanah Arab memang dah kaya dengan minyak”

Hmmm. Saya tetap rasa jawapan saya lebih spontan. Kahkahkah! Tapi sudah tentulah jawapan Cikgu Geografi lebih kreatif :P

Siapa kata Geografi itu tidak menarik?

:P

Wednesday, July 14, 2010

Hidungku bukan hidungmu

Saya berasa terpanggil untuk membebel tentang hal ini setelah membaca entry Cik Fid. Persoalan ini adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Justeru, sekadar memberi komen di blog beliau tidak mungkin dapat menjelaskan pendapat saya secara keseluruhan. Saya kan suka mencecer? Haha.

Sebelum saya meneruskan alasan-alasan saya, saya ingin berkongsi 3 soalan yang tidak patut diutarakan kepada seorang wanita atas sebab-sebab sensitiviti iaitu –

Bila nak kahwin?
Soalan ini sangat mengganggu emosi wanita yang belum berkahwin.

Dah berisi ke belum?
Soalan ini memberikan tekanan kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.

Bila nak tambah anak?
Soalan ini mampu mengakibatkan letupan gunung Pinatubo apabila diajukan pada masa yang tidak sesuai, oleh mereka yang tidak ada kena-mengena.

Saya sudah melalui ketiga-tiga fasa, dan percayalah bahawa jawapannya tidak perlu diselidiki kecuali untuk kajian ilmiah yang melibatkan pertukaran pendapat. Melainkan anda ingin sangat nak makan selipar. Hahaha. Dan apabila jawapan diberikan, sila jangan pertikaikan jawapan tersebut walaupun jawapannya tidak masuk akal. Hakikatnya, jawapan itu hanya untuk menutup mulut anda buat seketika. Sila fahami perasaan si penjawab. Melainkan anda ingin sangat nak merasa terompah jamban pula sebagai pencuci mulut :P

Skema jawapan saya biasanya konsisten apabila ditanyakan –
“Bila nak tambah anak?”

Saya akan jawab –
“Saya dulu caesarean. Saya mesti rehat 2 tahun”

Kebanyakan orang akan mencebik apabila mendengar jawapan saya. Mencebik ialah keadaan apabila saya boleh melihat bibir seseorang itu menjadi seakan-akan bentuk bulan sabit, lantas membuatkan saya ingin menselotep bibir tersebut serta-merta bagi mengelakkan giginya bertaburan akibat tamparan jurus ke-18 yang saya layangkan. Tapi, ada aku kesah? Lantak ko lah. Haha.

Saya kira, alasan saya sangat munasabah. Tidak kiralah sama ada seseorang wanita itu bersalin secara normal atau secara berbantu – forsep/caesarean – setiap wanita berhak untuk mendapatkan kadar rehat yang optimum untuk mengembalikan kesihatannya, baik dari segi fizikal, mental mahupun emosi. Ada juga melibatkan sebab-sebab kewangan dan perkembangan anak. Pendek kata, setiap alasan adalah berasas, bergantung kepada situasi masing-masing.

Orang kata, tak kena batang idung sendiri memang tak terasa.

Pilih satu antara dua

Semalam saya berbual-bual secara maya dengan seorang rakan yang baru saja memulakan kerja setelah melahirkan anak sulungnya. Menurut ceritanya, beliau memulakan tugas lebih awal atas tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Entah kenapa, saya sedikit terkilan dengan tindakan beliau. Katanya, beliau tonggak harapan syarikat. Satu alasan yang membuatkan saya menyampah sampai rasa nak lempang keyboard. Saya tertawa sinis membacanya, lalu menaip -

“Aku dulu pun Bos mintak datang kerja awal. Siap offer gaji extra 2 bulan + gaji 2 bulan lagi yang memang dibagi masa maternity leave. But to me, money is not everything. 60 hari tetappp 60 hari”

Pernyataan saya ini bukanlah untuk menunjukkan yang saya tidak mahu kalah. Jauh sekali untuk membuktikan bahawa saya juga pekerja hebat. Saya bukanlah calon yang sesuai untuk dijadikan perbandingan, apatah lagi gaji 3 bulan saya rasa-rasanya menyamai gaji sebulan yang diterimanya. Haha. Apa yang ingin saya sampaikan ialah tentang keutamaan hidup. Apabila kita tersepit dalam dua keadaan yang mendesak, yang mana satukah perlu didahulukan?

Kerapkali kita akan berhadapan dengan situasi yang sulit. Bukan sekali, tetapi berkali-kali dalam satu kitaran hidup ini. Sebagai seorang yang baru setahun jagung mengenal asam garam hidup, saya mendapati bahawa setiap kejadian yang berlaku adalah plot drama yang diulang-ulang. Yang berbeza cuma pentas dan para pemegang wataknya. Apakah kita tidak pernah belajar daripada drama-drama itu?

Kebiasaannya, kita tidak perlu pun melakonkan sendiri cerekarama tersebut. Tetapi, mengapakah kita tidak mengambil iktibar daripada kisah orang lain di sekeliling kita?

Saya akui, desakan kerja membawa banyak implikasi dalam kehidupan seorang wanita. Berlainan dengan lelaki, karier akan sentiasa mendahului kerana tanggungjawab utama seorang ketua keluarga ialah untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Sungguhpun dulunya saya cukup optimis untuk menjadi seorang wanita bekerjaya yang dikagumi, namun lama-kelamaan, saya telah mula mengubah pandangan saya tentang kehidupan ini. Cukuplah saya menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di teratak saya sahaja. Haha.

Di akhir perbualan kami, kawan saya menambah –

“Aku terpaksa. Kalau tak, anak aku tak pakai pampers la”

Sekali lagi, segalanya dilakukan atas nama wang.

Oh, tapi saya masih tertanya-tanya juga. Apakah jenis lampin pakai buang yang digunakan? Mami Poko? Pet Pet? Pampers? Cap Tesco? Cap Giant?

Sebegitu banyak persoalan yang menerjah otak, namun saya biarkan berkubur.

Adalah sesuatu yang bodoh untuk membunuh sebuah persahabatan hanya kerana ingin bertekak tentang jenama lampin pakai buang.
I Love to Talk About Ideas
I like my conversations to be deep and meaningful. I am not a big fan of small talk.
I am open to all sorts of conversation topics, especially if they are unique or interesting. I love it when a conversation takes me somewhere unexpected.

I will talk about anything, even if it's controversial or weird. I'm not shy about speaking my mind.
I may shock people with what I'm willing to talk about, but at least it's more interesting than discussing the weather.