Search This Blog

Loading...

Quotable Quotes



The best of people are those that bring most benefit to the rest of mankind

My Loyal Readers

Wednesday, March 31, 2010

Senarai penerima Anugerah BBA

Rule No. 3 :
Pass this award to 15 bloggers that you've discovered and think they are fantastic.

Masih ingat lagi entry terdahulu yang digantung tak bertali itu? Kahkahkah! Kini tibalah masanya untuk meneruskan upacara penganugerahan Beautiful Blogger Award (BBA).

BBA Kategori The Domestic Goddess
Memiliki kehebatan jemari seni yang tidak dapat disangkal lagi. Kalau J.Lo ada insurans khas untuk punggungnya, maka Maya wajib ada insurans untuk jari-jarinya. Ekekeke :P
.
Topsy Turvy Mum
Errr. Sebenarnya saya baru saja mengintai blog beliau. Terima kasih kepada Referer.org yang membolehkan saya mengesan pautan mana-mana blog ke My Internal Outlet :P Hihihi. TTM mempunyai skil memasak yang dahsyat serta kebun belakang rumah terlampau. Skil menjahit TTM dan Maya ibarat Sharifah Aini berduet Seiring Sejalan dengan Broery Marantika you!
.
Yati & Stitch
Tokey kedai silang pangkah yang telah memangkah hati saya. Yati bukan memangkah semata-mata kerana hobi, malah sudah bikin duit juga. Wah! Nantilah. Saya juga akan bukak Kedai Cross-stitch. Wenggg :P
.
BBA Kategori Pemberi Komen Paling Mesra Alam
Ealyie membuatkan saya ingin menitiskan air mata keharuan. Eh, macam bunyi ikan pulak. Suatu ketika dulu kami pernah saling berbalas komen bagaikan berYM lagaknya. Kahkahkah! Kalaulah menaip komen itu satu pekerjaan bergaji – nescaya kamilah pekerja paling produktif :P
.
A Journey Of Life
Presiden baru Kelab OCD. Saya mahu letak jawatan kerana perasaan rendah diri. Ini memang Ahli OCD Tegar. Saya dengan vetonya mengeluarkan surat lantikan serta-merta. Kahkahkah! Sangat gigih mengorek arkib entry saya hingga ke lubang cacing sampaikan saya tak terbalas komen-komennya.
.
My Precious Ever
Pemberi komen paling setia dan paling panjang abad ini. Hahaha. Tak kira walau sebodoh mana pun entry yang saya taip, mesti ada sekurang-kurangnya 5 baris ayat. Saat yang membuatkan saya paling terharu-biru ialah apabila mendapat SMS yang lebih kurang begini -
.
Nyah, ko betul ke nak lempoyak? Kalo betul, aku poskan”
.
Blogger yang paling gigih menjawab setiap pertanyaan saya. Sanggup bukak kitab semata-mata soalan saya yang entah-hapa-hapa tu. Pemegang konsep Berani Gagal yang telah berjaya. Perkara paling tak hingin saya lakukan sebanyak 2 kali ialah menduduki SPM. Azrinna mampu mengharunginya!
.
Aku dan Tauhidku
Mardiah ialah gabungan kekuatan Ealyie, DNNA, Intan dan Azrinna menjadi satu. Bersama-sama, mereka mewujudkan Team Johor yang mapan. Kalau masuk bola, boleh dapat Piala FA ni. Kahkahkah! Pernah mengungguli carta Top Commentators berbulan-bulan :P
.
BBA Kategori Team Deko-deko
Story-Mory
MA ialah regu deko-deko  saya yang turut menghidap Sindrom-Baru-Pindah-Rumah. Saya cemburukan plaster ceilingnya yang berawan.  Sangat bercita-cita tinggi, okeh? Saya masih berusaha tersemput-semput mengisi kekosongan di atas lantai dan dinding – belum cecah ke siling lagi. Hahaha.
.
Dari Gobok Hatiku
Seandainya anda tidak sempat berkunjung ke gedung Ikea, singgahlah di cawangan barunya iaitu rumah Datin Sally. Hahaha. Ya, hanya orang yang gila Ikea saja yang akan tersengih-sengih menatap gaya penataan Datin Sally itu. Walaupun badannya kecik molek, tapi mampu mengangkut kerusi Ikea secara solo. Tepuk, tepuk, tepuk!
.
BBA Kategori Buku dan Inspirasi
Anda malas baca buku perubatan?  Anda rasa mahu tahu tentang kesihatan dengan cara mudah?  Anda perasan anda bagus (tapi sebenarnya tidak)? Drwati mendedahkan kepada anda rahsia how to live this life for the afterlife. Sekiranya anda meminati History Channel, ini adalah blog yang sesuai dikunjungi.  Eceh :P
.
Everyday Ice Cubes
Bermula dengan kecintaan terhadap buku, kemudian menapak selangkah ke hadapan dengan kedai buku online. Dan kini sudah jadi penyunting buku pulak! Saksikan langkah-langkah awal menuju puncak seorang wanita bernama Mynie. Errr, Mynie – kalau nama telah 'melompat' ke kulit buku, tolong masyhurkan nama saya sekali, okey? Kahkahkah!
.
Entah dari manalah agaknya Jijie boleh sampai ke blog saya? Saya paling suka penulisan awal Jijie tentang pengalaman di Makkah. Penulisan yang mencerminkan kehidupan yang sempurna dan membahagiakan. Dari segi itu, Jijie macam ada iras-iras Mynie. Eh, adakah kamu berdua saling berkaitan?
.
Catatan Mama
Kami berkenalan sejak setahun lalu dalam satu entry tentang PBAKL ’09. Puterikiut memang benar-benar memenuhi ciri-ciri pembaca novel tegar. Siap ada senarai bertaip Buku Mesti Beli sempena PBAKL ’10. Cayalah! :P
.
BBA Kategori Puan Jiran :P
Yatiechomeyl di alam maya adalah versi Puan Jiran di alam nyata. Memang serupa, tapi tak sama. Berperwatakan gila-gila, muda remaja dan ceria. Dan yang paling penting, kedua-duanya penonton fanatik Akademi Fantasia. Hahaha.
.
.
.
Sekian senarai 15 penerima Beautiful Blogger Award kali ini sebagai tanda penghargaan daripada saya :P

Thursday, March 25, 2010

Beautiful blogger award



Rule No. 1:
Thank and link the person that gave you the award

Owh, patik dengan rendah hati menerima Anugerah Blogger Chantek ini daripada CY4.0 yang kini bergelar SAHM, Adik Kepada Ziana Zain dan Intan Sarafina . Terima kasih daun keladi, lain kali bagilah lagi. Hihihi :P

Rule No. 2:
State 7 things about yourself
Nombor 1
Percaya tak, tag ini mengambil masa 3 hari untuk dilangsaikan? Karangan fakta adalah kegemaran saya, tetapi tag berfakta adalah kelemahan saya yang ketara akhir-akhir ini. Apa lagi yang ingin saya kerepekkan tentang diri sendiri? Semuanya sudah terbongkar! Kalau begini, matlamat saya untuk menjadi blogger misteri nampaknya semakin pudar. Saya sudah kehabisan rahsia untuk disimpan. Hahaha!

Nombor 2
Saya baru menyedari bahawa rezeki itu bukan semata-mata tentang gaji bulanan dan elaun tambahan. Rezeki juga bermakna kesihatan yang baik. Keluarga yang membahagiakan. Dan kawan-kawan yang menceriakan. Tetapi mengapakah duit juga yang saya pandang? Itu mungkin kerana Pesta Buku sedang berlangsung, manakala Perfect Livin ’10 akan menyusul bulan depan. Uwaaa!

Nombor 3
Suatu ketika dulu, saya seorang yang taksub dengan horoskop. Soalan kegemaran saya kepada seseorang yang baru dikenali ialah –

“When is your birthday?”

Tujuannya bukanlah kerana saya suka memberi hadiah ulangtahun, tetapi lebih kepada teknik perisikan FBI untuk mengetahui personaliti seseorang itu.

Nombor 4
Saya mendapati bahawa orang yang bernaung di bawah zodiak Capricorn dan Taurus biasanya mempunyai pandangan yang serupa dengan saya, manakala orang berbintang Leo adalah spesies yang cuba saya hindari, tetapi tak henti-henti menarik saya untuk kepochi terhadap mereka. Tahukah anda, saya pernah menyukai seorang lelaki Leo hanya untuk mendapati bahawa cinta tak semestinya bersatu? Wah! Padahal lelaki Leo itu tak pernah tahu pun saya chenta gila babi kat dia. Ah, sudahlah. Dia memang lelaki Leo yang rugi. Kahkahkah!

Nombor 5
Saya seorang yang suka menang dalam apa situasi sekalipun, terutamanya kalau berdebat tentang isu yang panas menggelegak. Tetapi kalau diajak lawan lidah dengan Cik Fid – lupakan sajalah. Saya duduk mencangkuk diam-diam di tepi padang. Biarlah orang lain yang bertikam keris dengan Mommy Si Gedebi itu. Saya? Saya doakan semoga anda sudah menuntut ilmu kebal dan tidak cedera parah :P

Nombor 6
Saya pernah bermatian-matian tak mahu rumah yang bertanah. Simen semua lagi bagus. Tak mahu ada tanah di belakang rumah. Tak mahu ada tanah di depan rumah. Tak koserla mak nak mencabut rumput, nak menyapu daun kering bagai. Malas, okey? Sekarang – aduhai, menyesalnya! Alangkah bestnya ada taman berkonsep tropika, dengan kolam ikan koi dan batu reflexology. Dan di manakah hendak kutanam serai, daun pandan, daun kari dan segala mala kitchen garden yang tinggal kenangan itu? Membeli daun limau purut di kedai sememangnya bangang. Dan memalukan.

Nombor 7
Saya sering terpukau dengan orang yang menimbulkan kontroversi. Contohnya, Faizal Tahir dan Faisal Tehrani. Mereka ini sememangnya cantik menarik tertarik kau memang da bomb. Eh, kebetulan pula kedua-duanya memiliki pangkal huruf FT. Nasib baik Fatimah Juling ialah FJ. Tapi saya lebih tertawan kepada sepupunya, Halimah Jongang walaupun watak Betty La Fea sebenarnya jauh lebih berbakat.
.
.
Saya sedang mencabut undi siapakah 15 pemenang bertuah yang terpilih untuk mengarang tag ini seterusnya. Kahkahkah!

Tungguuu....:P


We gain some, and we lose some

Seingat saya, Mommy Lyna pernah menyentuh persoalan ini suatu ketika dulu. Hari ini, KNV turut memperkatakan topik yang sama. Dan sekarang, saya juga ingin menulis mengenainya.
.
Isu yang serupa, sudut pandang yang sama - tetapi gubahan yang berbeza. Kata kuncinya ada dua – kekurangan adalah ujian daripada Tuhan, dan kelebihan juga adalah salah satu cara Tuhan menduga hambaNya.
.
Sebagai seorang manusia biasa yang benar-benar biasa-biasa saja, tiada yang benar melainkan yang biasa belaka, saya adakalanya (ke selalu?) pong-pang-pong-pang tentang kelebihan anak saya. Sebetulnya, tidak ada apa yang lebih pun. Saya saja yang heboh tak tentu pasal. Kahkahkah!
.
Bagi seseorang yang tidak memiliki pekerjaan hebat yang boleh dibanggakan,
tidak ada beg LV mahupun beg senget yang boleh ditayangkan,
tidak ada Ijazah, apatah lagi Sarjana yang boleh dipamerkan dan
tidak ada kisah percutian ke luar negara yang boleh diceritakan –
apa lagi yang boleh saya kongsikan selain tentang kehebatan anak saya?
.
Nada! Nan ado. Tidak ada apa-apa pun.
.
Justeru, kalaulah anak saya boleh membaca seawal 2 tahun – wah, ini memang berita tergempar satu Malaya! Saya jatuhkan hukuman mandatori buat kenduri kesyukuran 3 hari 3 malam makan cendol beserta acara joget lambak untuk para penanggah yang memakai tuala Good Morning. Kahkahkah! Nasib baiklah anak saya belum membaca lagi. Setakat kenal perkataan tu bolehlah, itupun terhad kepada apa yang pernah saya tunjukkan. Kot sesiapa tunjuk perkataan Heliconia Pendulus – kompem Ziyad tak tahu - apa ke jadahnya tumbuhan ini? Kahkahkah!
.
Dari segi psikologi, menonjolkan kelebihan sendiri adalah satu strategi yang lazimnya digunakan untuk menutup kekurangan di sana sini. Menumpukan perhatian kepada titik kekuatan, memberikan keyakinan bahawa kita mempunyai kawalan ke atas apa yang dikehendaki dalam hidup ini. Kekuatan memberikan kita harapan untuk meneruskan perjalanan, dan membuatkan kita lupa atau purak-purak lupa tentang kelemahan yang ada. Memperkasa kekuatan adalah jauh lebih mudah berbanding memperbaiki kelemahan, sebagaimana mudahnya Maya menjahit sundress berbanding M-I-O menampal kain yang koyak. Kahkahkah!
.
Dulu, memang pantang nenek moyang saya bila dengar orang yang berjaya menyusukan anak secara eksklusif sehingga genap 2 tahun. Mendengar anak orang lain mendaftar program Schicida juga boleh membuatkan saya mencebik. Malah, mengetahui budak diaperless sebelum usia setahun berisiko menyebabkan saya muntah darah.
.
Kenapa?
.
Sebab saya tidak berjaya berbuat demikian, dan tidak mampu menjadi sebegitu. Kahkahkah! Sesungguhnya, ketawa ini hanyalah lakonan. Hakikatnya, saya adalah insan yang sadis dan tragis. Uuu uuu uuu.
.
Kini, tidak lagi. Saya kutip semuanya sebagai teladan. Lebih senang menjadi cawan yang kosong dan bersedia dituangkan seteko kopi sepenuhnya. Meskipun sukar menghindarkan rasa meluat, saya gagahi juga menapis hampas kopi dan menyirup baki sejernihnya.
.
That is life. We gain some. And we lose some.
We can’t win all the time. And we won’t lose every time.
.
Peace! *sambil tunjuk jari telunjuk dan jari tengah :P

Wednesday, March 24, 2010

Tema buku tahun ini

Saya sedang memikirkan tema pembelian buku sempena Pesta Buku yang akan berakhir hujung minggu ini.

Saya telah menyelinap masuk ke blog beberapa orang blogger yang terkenal dengan koleksi buku masing-masing, dan menyalin judul-judul yang mendapat ulasan terbaik. Namun, ada sesuatu yang tidak kena di situ.

Tajuk buku yang dicadangkan sememangnya lazat-lazat belaka. Sayangnya, saya sudah kematian selera. Sepertinya saya dihidangkan dengan Baked Pasta, Mushroom Soup yang berasap dan Ayam Diet Jua tetapi tekak saya hanya mahu menelan Biskut Kering Hwa Tai. Sebenarnya seumur hidup ini, saya tak pernah makan pun Baked Pasta dan Ayam Diet. Ekekeke :P

Memandangkan saya sedang dijangkiti Wabak-Baru-Pindah-Rumah yang tak habis-habis itu, ditambah lagi dengan kejakunan saya terhadap menatang hood (ya, penyakit ini masih belum sembuh) – saya hanya terfikirkan buku Koleksi Senangnya Memasak Dot Dot Dot. Kalau ada tajuk buku Senangnya Memasak Dalam Masa 20 Minit Sambil Mendukung Anak – ini laaagiii bagus! :P

Berjalan dari dapur ke depan rumah, tiba-tiba saya ada hati nak menanam pokok buluh Jepun di laman saya. APA? Laman? Ini nak buat kolam ikan pun tak muat, ada hati nak menanam pokok buluh? Saya mengerling ke arah jari-jemari saya yang kontot sambil mengimbas kembali rekod perkhidmatan cemerlang saya dalam bidang pertanian. Oh, kali pertama dan terakhir saya bercucuk tanam ialah ketika aktiviti menanam bawang di tadika yang berjaya menumbuhkan bukan bawang - tetapi daun bawang. Kahkahkah! Sudahlah. Tak mampu saya berangan lagi.

Apakah rasionalnya menanam pokok buluh Jepun? Entahlah. Agak-agak kalau tak cukup lemang di pagi Raya, boleh tebang pokok buluh kot? Saya cuma membayangkan saya sedang minum teh dan menikmati Custard Tiramisu di tepian pokok buluh Jepun, menggayakan kimono sambil menemuduga calon menantu yang berderet-deret. Eh, bunyinya macam plot Memoirs of A Geisha pun ada. Kahkahkah! Alangkah seronoknya duduk di laman dan menyaksikan beberapa ekor panda duduk bergolek-golek mengunggis batang buluh. Eh, tak koser la pulak mak nak bela panda. Bela ikan pun mati :P

Semakin lama saya duduk di rumah baru (yang sudah tak berapa baru lagi), semakin libang-libu saya dibuatnya. Nampaknya untuk menjadi The Domestic Goddess, saya bukan saja perlu hebat memasak – bahkan mengemas – juga menjahit – dan menanam pokok buluh – serta membela ikan – dan oh, oh, oh – apa saya nak buat dengan dinding kosong itu? Patutkah saya mengorek semula bakat ala Picasso saya? Baik. Saya akan pergi membeli berus, kain kanvas dan cat minyak dengan segera. Hahaha :P

Hmmm. Inilah keajaiban menulis. Sekarang saya sudah dapat gambaran kasar apa yang patut dibeli di Pesta Buku. Tema saya tahun ini ialah All About The Domestic Goddess. Itu merangkumi buku Cara Menanam Buluh Jepun, Cara Menjahit For Dummies, Membela Panda Di Rumah Sebagai Alternatif Kepada Ikan serta Picasso Revisited. Tidak dilupakan ialah Koleksi Senangnya Memasak Dot Dot Dot.

Kahkahkah!

p/s: saya sebenarnya nak mintak cuti sehari untuk yiba-yiba ke Pesta Buku, tapi tak berani.

Menjadi kolot itu sememangnya bagus!

Bagaimana? Setuju?

Malangnya lebih ramai antara kita yang lebih gemar memilih kemajuan fesyen dan kemajuan gaya hidup berbanding kemajuan pemikiran. Hidup ini penuh dengan pilihan. Maka pilihlah dengan bijaksana.

Sewaktu kecil dulu, saya dikatakan lorat – atau banyak songel. Saudara-mara saya terutamanya makcik-makcik dan sepupu-sepapat tidaklah mengatakan sedemikian tepat ke lubang hidungku tetapi saya dapat merasakannya dalam hati. Saya kan ada deria keenam :P

Setiap kali bermalam di rumah Nenek – saya enggan tidur berlambak-lambak bersama sepupu-sepapat saya di ruang tengah rumah. Ai em sori. Ai nak tidur dalam bilik. Hahaha. Apalah budak ni, macamlah Budak Bandar sangat – nak tidur dalam bilik macam Puteri Raja. Ahhh. Saya tak peduli.

Bila disuruh mandi, semua budak hingusan mandi di belakang rumah tetapi saya di pihak negara-negara berkecuali. Apa? Mandi berjemaah beramai-ramai? Ai em sori. Ai nak mandi dalam bilik air dalam rumah, macam orang besar-besar yang lain. Hahaha. Budak yang lorat.

Saya membesar sebagai cucu Nenek yang jarang tidur di rumah Nenek. Walaupun demikian, saya kekal sebagai cucu Nenek yang paling disayangi. Eh, ada Nenek kata gitu? Kahkahkah!

Saya ada alasan saya sendiri. Ketika ditanyakan oleh Cik Ijah yang menyuruh saya menulis surat tunjuk sebab, saya separuh berbisik –

“Cik Ijah jangan kasi tau orang lain ya? Orang tak mau tidur sana. Budak perempuan kalau tidur sebelah budak lelaki, nanti boleh beranak, tahu?”

Oh, begitu naifnya saya. Saya ingatkan asal tidur sebelah lelaki aje kompem beranak. Takut gila. Saya tak mahu bersuamikan budak lelaki yang comot! Apatah lagi sepupu saya si Jejaka Bukan Lombok yang kerjanya hari-hari main pasir itu. Oh, no! Saya mesti kahwin dengan orang besar yang pakai kot dan tali leher. Hahaha :P

Dan apa pula alasan saya mengapa tak mahu mandi di luar?

“Mama cakap, pot pet kita dengan dedek kita jangan kasi tunjuk kat orang. Habuk pun tak boleh hinggap. Kat belakang tu banyak pasir, tahu? Nanti hinggap kat pot pet!”

Oh, well. Pemikiran seorang budak yang berumur 4 tahun yang bercakap dengan mulut pencong-pencong! Hahaha.

Pernahkah anda dengar, nasihat pertama daripada seorang Ibu tanpa mengira nasihat itu betul atau salah akan selalu terpahat dalam pemikiran seorang anak?

Sentiasa terpasak, walaupun dimakan usia!

Saya akan perturunkan nasihat ini kepada anak-anak saya juga :P

Never talk to strangers

Masih ingatkah anda pesanan Ibu yang maha penting ini?

Tiba-tiba, pagi ini saya menjadi ragu-ragu sama ada nasihat ini kekal relevan atau tidak. Persoalan ini melibatkan pertembungan antara otak kiri dan otak kanan – serta sedikit campurtangan emosi.

Logik berkata,
“Jangan monyet, jangan”

Intuisi mendesak,
“Kita mesti tolong orang”

Perasaan berbisik,
“Cuba kalau ko kat tempat dia”

Dan sekarang saya sudah mengerti mengapa kita tidak mempunyai otak tengah. Tujuannya ialah untuk menyusahkan hidup kita semata-mata. Hahaha. Kita tidak boleh kata ya, dan tidak secara serentak. Mesti pilih antara dua.

Alkisahnya, pagi ini kereta F1 saya yang sedang meluncur meninggalkan Taska telah ditahan oleh seorang Nigeria. Oh, mungkin Sudan. Atau mungkin juga Pak Arab yang berkulit gelap. Jangan-jangan salah seorang daripada Jiran Sebelah Kiri rumah saya – lantaklah – saya nampak semuanya sama saja. Tak tahu bagaimana untuk membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. Yang pasti, rupa fizikalnya tegap, dengan rambut kenteng melekat dan berusia dalam lingkungan 20-an. Mr Dark telah melambai ke arah saya lalu separa menjerit,

“Station, station!”

Alamak! Saya agak mesti Mr Dark ingin menumpang kereta ke Stesen Komuter terdekat yang jaraknya 2 kilometer. Perasaan saya berkecamuk, peluh jantan mula merenik, ditambah lagi dengan perasaan ingin terkentut sekuat hati. Ini adalah simptom-simptom kecuakan tahap gaban yang tidak mampu disembunyikan.

Pada mulanya saya memperlahankan kenderaan sehingga jarum meter menghimpit di bawah senggat 20km/j, apabila otak kiri tidak semena-mena menyergah,

“Apa kau gila? Kang dia kidnap baru tau!”,

Apalagi, dengan ringannya kaki kiri terus menekal pedal pemecut lalu meninggalkan kepulan asap ke muka Mr Dark. Alamak kuasa dua. Saya dengan rela hati menadah makian daripada Mr Dark, walaupun saya sebenarnya tak dengar apa-apa pun. Kahkahkah!

Let bygone be by gone. Perkara ini telah telah pun menjadi Past Tense jadi lebih baik saya lupakan saja. Yang merisaukan saya ialah Future Tense. Banyak perkara buruk sedang berselirat dalam wayar otak saya. Yang nyata, Mr Dark pasti mengecam plat kereta saya. Uwaaa.

Mr Dark, semoga kamu tidak bertukar menjadi Darth Vader.
Semoga Tuhan melindungi kamu daripada melakukan kejahatan ke atas saya.
Amin.

Monday, March 22, 2010

Gone with the wind

Tugasan pertama yang paling serius pernah saya bawa pulang ke rumah ialah -

“Dengar semua, ya. Kamu pilih, apa cita-cita kamu bila besar nanti. Besok cikgu tanya”,

begitulah kata Cikgu Khadijah, guru kelas 1 Dahlia sambil menulis 3 jenis pekerjaan di papan hitam –

1. Guru
2. Jururawat
3. Askar

Alamak! Macam mana nak jawab soalan ini? Jawapan saya sama macam Cikgu Khadijah. Nanti Cikgu Khadijah kata saya meniru jawapan pula. Ekekeke :P

Malam itu, saya bertanya kepada Bapak untuk mendapatkan pandangan kedua -

“Pa, Cikgu tanya dah besar nanti nak cerita-cerita apa? Tapi orang punye jawapan sama dengan Cikgu”

Bapak pun membelek kertas yang saya hulurkan – “Cita-cita Saya”.

“Cita-cita la. Bukan cerita-cerita. Engko nak jadi Jururawat buat apa? Nanti kena bersihkan darah orang, berak orang, muntah orang. Jadilah Doktor!”

Baik, saya ikut cakap Bapak. Keesokan harinya saya beritahu Cikgu Khadijah,

“Cikgu, saya nak jadi Doktor. Tapi Cikgu tak letak Doktor dalam senarai. Salah ke jawapan saya?”

Cikgu Khadijah bantai gelak. Hihi.

Masuk Sekolah Sains – saya teruskan niat saya nak jadi Doktor padahal nampak katak tepi kolam pun dah terasa geli-geleman – belum kena suruh belah katak lagi. Hahaha.

Masuk Sekolah Teknik – saya kata saya nak jadi Jurutera. Yalah, tak dapat title Dr kat depan, dapat title Ir pun jadilah.

Masuk Sekolah Arkitek – saya kata saya nak jadi Arkitek pulak. Lupakan tentang Dr. Abaikan tentang Ir. Saya mahu title Ar!

Masuk Kilang Kicap – Bos Besar kata,

“As long as you are eager to learn, and willing to work hard – you’re welcome here”

Eh, eh. Tidak semena-mena, jiwa saya dirundung hiba. Bukan kerana Dr. Bukan kerana Ir. Bukan juga kerana Ar. Sejujurnya, saya tidak pernah ada cita-cita pun. Itu bahkan lebih mendukacitakan.

Saya berpendapat, cita-cita saya seiring dengan masa dan lokasi kejadian. I just go with the flow – and Gone With The Wind. Kahkahkah! Sesekali saya merasakan saya ini ibarat biji pokok ceri. Ke mana saya ditiup angin, di mana tanah saya mendarat, di situlah saya tumbuh.

Boleh gitu? :P

Bila kita tak tahu apa yang kita inginkan, dan tak nampak apa yang kita mahukan, maka kita pun bersenandung Balada Sepohon Ceri. Oh, well. Sekarang saya mahu jadi ahli pujangga pula.

Hakhakhak!

Friday, March 19, 2010

I ask God what I want, and God gives me what I need

Errr. Kalau orang Islam menggunakan perkataan God untuk merujuk kepada Tuhan, boleh didakwa di bawah Akta Hasutan ke? :P

Berbalik kepada soal kehendak dan keperluan.

Kehendak ialah kemahuan. Keperluan ialah kewajipan. Manakala Persiaran Kewajipan terletak di Subang Jaya. Ekekeke :P

Salah satu keinginan saya - daripada himpunan cita-cita setinggi suku kaki Gunung Kinabalu ialah untuk tinggal di luar negara. Keinginan ini tiba-tiba terapung di permukaan kolam, laksana kepulauan Hawaii yang lahir dari muntahan lahar gunung berapi di Lautan Pasifik. Impian yang mustahil, tetapi Mungkinkah Terjadi wahai Tam Spider? Hahaha :P

Dari manakah keinginan ini terbit?

Mungkin daripada Cik Fid yang tak habis-habis bercerita tentang kehidupannya di Jepun sewaktu masih bergelar pelajar. Mungkin daripada Hassan yang suka melukis bendera Australia dan naik bas merah dua tingkat nombor 13. Mungkin daripada Drwati yang pernah menempek gambar Frozen Britain. Mungkin daripada Ayin yang sepatutnya berpeluang menyaksikan Dinner Belly Dancing Show tetapi tertidur (?) Mungkin juga daripada KNV yang menayang Custard Tiramisu atas alasan raspberi di Birmingham murah.

Alangkah seronoknya kalau saya boleh jadi seperti mereka!

Setiap kali saya memotong bawang di dapur untuk makan malam, perkara ini tidak lepas-lepas daripada menghantui fikiran saya. Aktiviti memotong bawang memang boleh membuatkan saya mengelamun jauh. Hahaha! Sehinggakan ketika saya memetik punat menatang hood itu (ya, saya masih jakun dengan hood) saya teringat sesuatu,

“Eh, eh. Hood ni kalau dua kali tengok macam pendiangan api pulak. Kalau ada Santa Claus ni, tentu dia turun ikut hood aku

Kahkahkah!

Semalam - ketika sedang mengacau Kurma-Ayam-Edisi-Cubaan-Pertama-Kali-Dalam-Hidup, Mr Daddy yang mengendong Ziyad terburu-buru mendapatkan saya,

“Yang, kita mungkin akan dapat jiran baru”

“Siapa?”

“Orang Arab Saudi!”

Perghh. Dengan Jiran Depan yang berbangsa Cina, Jiran Selang Dua Rumah yang berbangsa Nigeria dan Jiran Kiri Rumah yang berbangsa Arab Saudi – nampaknya saya sudah jadi masyarakat antarabangsa! Cuma Puan Jiran yang berstatus Melayu Muar. Siapa pula agaknya yang akan menjadi Jiran Belakang? Barangkali seseorang dari benua Eropah? Hehe.

Mungkin saya tak perlu tinggal di luar negara pun sebenarnya.

:P

How to manage your boss

Pagi ini saya dikejutkan oleh kata-kata Bos Kecik,

“Why you did so many mistakes?”,

sambil menghempuk setimbun kerja-kerja saya yang bertanda bulat-bulat merah ke atas meja. BUK!

Eh....?

Mata saya mula terkebil-kebil. Dahi saya berkerut-kerut kebingungan.

Adakah saya sudah nyanyuk? Adakah saya tidak fokus? Adakah hanya otak hemisfera kiri saya yang bekerja di Kilang Kicap sedangkan otak hemisfera kanan saya sedang sibuk merangka entry blog? Kahkahkah!

Ini tak boleh jadi. Parah nanti! Tetiba saya tobat Nasuha sekejap – lepas ni tak mau blogging lagi walaupun untuk melepaskan stres seketika. Serius.

Bos Kecik menuding jarinya ke arah kertas-kertas yang dikatakan mengandungi kesalahan-kesalahan yang menurutnya tidak-dapat-dimaafkan-sama-sekali. Saya mengangguk-anggukkan kepala walhal fikiran saya sedang ligat berpusing – biar betik aku ni! Ini betul-betul cuai tahap gaban. Saya rasa mahu telan pil anti-depresi. Sangat kasihan. Uuu....uuu...

Tiba-tiba saya terpandang Drawing Number

Eh....?

“Errr, Boss. How did you get this drawing? Actually, I’m doing it right now”

“I print it from your PC yesterday”

“Yesterday?”

APAKAH? Boss Kecik mengakses PCku dan mencetak kerjaku? Saya mengusulkan undi tidak percaya serta-merta.

“No wonder. You’ve printed a half-done job. That’s why it contains so many mistakes. This is not the final drawing”

Tetapi Bos Kecik tidak peduli. Masih terus-terusan mengorek kesilapan-kesilapan yang perlu dibetulkan segera. Hisy. Berbulu telinga saya dibuatnya. Ikutkan hati, ingin saja saya jerkah Bos Kecik itu –

“Boss, you’ve taken the UNfinished drawing. The LATEST version is HERE. I can print it for you. NOW

Malangnya, saya malas nak bertekak. Sukati Bos la.

Selesai saja Bos Kecik berkhutbah, saya mengangkat punggung,

“Excuse me. I need to go to the jamban”

Tanda protes tu :P

Thursday, March 18, 2010

Akulah kura-kura itu

Sebagai seorang peminat buku, saya tergolong dalam spesies pembaca kura-kura. Tak pernah dengar? Saya membaca lambat!

Ini lebih ketara apabila saya membaca karya fiksyen – seperti yang sedang saya lakukan sekarang.

Tahukah anda, bukan kanak-kanak berusia 2 tahun yang baru masuk Taska saja yang memerlukan tempoh penyesuaian. Malah, seorang pembaca buku bukan fiksyen berusia 30 tahun juga memerlukan masa untuk beralih kepada buku fiksyen. Menghadam bahan bukan fiksyen dan bahan fiksyen sememangnya berbeza. Semacam kejutan budaya pula. Terperanjat wooo :P

Tiada istilah speed reading dalam kamus bacaan saya. Kecuali membaca buku Sejarah untuk menjawab peperiksaan. Waktu itu, barulah saya menggunakan skil rempitan bersepadu. Mesti habis baca sehingga ke tapak terakhir sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

Tetapi, kalau membaca selain untuk jawab soalan periksa – suka hati sayalah. Saya membaca seolah-olah sedang memandu di Pulau Langkawi, bertemankan siaran radio lagu-lagu zaman 60-an. Oh, indahnya memandu di lereng-lereng bukit dengan tingkap kereta yang terbuka lalu melemparkan pandangan ke arah deretan yacht yang bersusun-susun di jeti. Dengan tudung Bawal yang senget-benget dikerjakan tiupan angin – perasaannya seperti kita sedang memandu kereta sport. Kahkahkah! Cakap macamlah pernah bawak kereta sport :P

Saya sebenarnya sangat hairan bagaimana seseorang boleh menghabiskan sesebuah buku dengan begitu cepat? Saya mengaku, saya tak mampu. Saya ada masalah kritikal. Setiap kali saya menyambung semula pembacaan – saya akan ulang beberapa halaman sebelumnya. Apakah? Kalau begini, sampai bila pun tak boleh habis! Sekejap-sekejap, reverse. Sekejap-sekejap, reverse.

Itu belum lagi tabiat saya yang gemar mengunyah setiap patah-perkataan dalam novel dan menghayatinya sepenuh jiwa raga. Selagi tak hafal sepenuh hati, tak sah. Ini barulah dikatakan tenggelam dalam lautan perkataan. Kahkahkah!

Haihhh. Sungguh kacau dibuatnya.

Memperkatakan tentang buku – syurga ialah apabila anda boleh membaca novel setebal 500 halaman dalam masa sehari tanpa tanda wakaf. Dan waktu itulah anda memang makan buku, minum buku, mandi buku, jamban buku, tidur buku, mimpi buku sampai cukup 24 jam.

Dengan status terkini sebagai seorang ibu beranak satu merangkap Dewi Domestik - syurga itu takkan bisa kujejaki lagi. Mustahil, mustahil.

Hohoho.

Cintaku tertinggal di Belitong

Untuk pertama kalinya setelah bertahun-tahun, saya membelek naskhah pertama dalam kategori fiksyen. APAKAH?! Memang hari ini dalam sejarah :P

Saya sedang membayangkan Mynie dan Drwati dua sekawan sedang berbisik-bisik sambil menggelakkan saya. Kahkahkah! Yalah, sebelum ini saya bukan main sombong lagi menyatakan pendirian saya sebagai pembaca buku bukan fiksyen. Alih-alih, saya telah melanggar pendirian saya itu. Padan muka saya.

Kalau orang bertanya, dari mana datangnya cinta? Jawabnya, dari mata turun ke hati.

Dan cinta saya datang dari rak buku di Gramedia Bookstore, The Mines terus turun ke jiwa lalu jari-jemari pun segera mengorek poket untuk membayar kepada juruwang. Kalaulah wujud istilah cinta pandang pertama, maka cinta pandang pertama saya ialah sebuah buku nukilan Andrea Hirata. Kahkahkah! Ini memang kes haru.

Saya masih membaca buku itu. Belum sampai separuh. Saya sedang mengunci mulut agar tidak keceplosan berbicara tentangnya. Saya ini, memang tak boleh diharap. Kalau bercakap tentang buku - silap haribulan, semua cerita saya bocorkan. Hahaha.

Apakah yang saya cari dalam buku Andrea Hirata?

Tak tahulah. Tetapi pengalamannya tentang zaman kanak-kanak membawa saya terbang melewati usia dewasa saya, dan merasai semula pengalaman-pengalaman sewaktu rebung. Waktu kecil sememangnya indah, kan?

Saya sendiri suka menggamit nostalgia, khususnya zaman sekolah saya.

Mungkin itulah titik pertemuan yang menghubungkan saya dan Andrea Hirata.

Mungkin :P

Sabar 101

Sejak kebelakangan ini, saya cuba belajar bersabar. Susah betul untuk menguasai skil sabar ini. Sabar ialah satu kemahiran hidup. Sayangnya, subjek sabar tidak diajar di sekolah. Tapi, bagus juga. Kalau ada, akan bertambahlah kekusutan di otak saya selain subjek Addmaths. Ekekeke :P

Malam tadi, selesai saja menyuap makan malam untuk Ziyad – saya benar-benar ingin membaringkan diri. Hui, kalau dapat luruskan tulang belakang sekejap – alangkah sedapnya! Tetapi Ziyad ibarat iklan Shieldtox – Langsung Tak Bagi Peluang! Huhuhu. Ikutkan hati memang nak meradang. Saya tarik nafas sekejap, ambil masa 60 saat untuk mendapatkan tempoh bertenang dan kembali melayan karenahnya.

Azam saya, ingin mencontohi Hassan Al-Banna – jangan sekali-kali meninggikan suara kepada anak. Berusahalah untuk menyenangkan hati anak-anak dan mendidik mereka sebaik-baiknya. Semoga ada cinta di rumah saya, sebagaimana Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna.

Saya mengerling Mr Daddy. Dia juga kepenatan. Sudah tertidur dengan suratkhabar yang masih dipegang. Tak sangka, baca ruangan Sukan pun boleh berdengkur? Hahaha. Ini memang ajaib.

Puas nenen-main-tolak kereta-susun blok dan segala macam tok nenek permainan yang saya fikirkan boleh meletihkan urat saraf Ziyad (dan saraf tunjang saya juga), akhirnya si kecil itu terbongkang tepat jam 11.40 malam. Aktiviti malam tadi ditutup dengan upacara rengekan ngada-ngada dan bergelen-gelen susu cap gantung. Leganya!

Lega untuk Ziyadlah. Untuk saya, ada periuk kuali yang masih menunggu di sinki. Tiada esok bagimu. Malam ini juga wajib basuh. Bukankah terus tidur dan meninggalkan pinggan-mangkuk yang belum dicuci itu dilarang oleh Rasulullah?

Pada masa-masa letih yang tidak dapat ditahan-tahan, kepingin benar rasanya diri ini berada di spa dan diurut-urut. Fuh. Tentu nikmat. Akan gugurlah segala kelelahan yang ada. Agaknyalah. Hehe. Saya ini orang kolot yang tidak berduit. Lalu depan spa pun segan :P

Membaca salinan tulisan Saifulislam.com di blog KNV pagi ini memberikan saya satu pedoman. Apa yang kita lakukan hari ini, semuanya bergantung kepada destinasi yang kita tetapkan di akhirat kelak.

Lalu, jika destinasi kita ialah akhirat yang kekal abadi – apalah sangat skil sabar itu?

Meniru pun ada etika?

Salah seorang pensyarah Senibina saya pernah berkata,

“Kreativiti itu seumpama air dalam mangkuk. Kalau tidak ada air yang ditambah dalam mangkuk, macam mana air itu dapat melimpah keluar?”

Jadi, kalau kita katakan seseorang itu mendapat ilham di tengah-tengah kepekatan malam tatkala menghirup secangkir kopi dan menyedut sebatang rokok Gudang Garam – ini hanyalah mitos semata-mata. Kreativiti bukannya turun dari langit! Kreativiti tidak datang dengan cara bergolek-golek ke kaki lalu menunggu untuk dikutip.

Kerapkali, idea itu datang berdasarkan apa yang kita lalui, apa yang kita amati dan apa yang kita baca. Tetapi tidak sesekali datang secara asli, bulat-bulat daripada pemikiran kita. Tak tahulah kalau itu memang ada berlaku. Yang nyata, perkara sedemikian tidak pernah terjadi kepada saya. Hahaha. Sedih, tau. Mungkin saya bukanlah insan yang terpilih untuk dianugerahi bakat sedemikian. Huhu.

Sebenarnya saya sedang kecewa. Perasaan meluat memenuhi semua rongga-rongga yang ada.

Alkisahnya, saya terbaca sebuah artikel. Artikel, ya. Bukan entry. Pada saya, istilah artikel merujuk kepada sebuah penulisan formal yang dibuat secara tersusun dan berfakta, berbeza dengan entry di blog yang kita boleh lanyak sesuka hati. Artikel itu, walaupun mendapat sambutan hebat – sebenarnya adalah penulisan yang diplagiat daripada sebuah buku. Bukan buku picisan, tetapi buku bestseller!

Adoi. Bernanah betul hati saya dibuatnya. Bengang kerana penulis artikel tersebut mendakwa seolah-olah penulisan itu datangnya daripada cetusan pemikirannya sendiri. Sudahlah buku itu antara buku yang saya paling suka baca. Aduh, duh, duh, duh.

Hmmm. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Dan saya tengah perasan bahawa sayalah jauhari itu. Kahkahkah! I caught you red-handed. Ecewah. Tetiba buat skrip London :P

Seperti yang pernah saya katakan dulu, meniru adalah salah satu kaedah paling cepat untuk belajar dan menguasai satu-satu kemahiran. Namun, meniru juga ada peraturannya. Apa salahnya kalau si penulis artikel menghargai idea asal yang dicedok daripada buku tulisan Robert Fulghum itu?

Soal etika adalah sesuatu yang dipelajari. Boleh jadi daripada ibu bapa kita. Boleh jadi daripada orang-orang di persekitaran kita. Dukacita, kalau tahap pendidikan dan ruang lingkup pergaulan kita tidak selari dengan amalan etika yang sepatutnya.


Friday, March 12, 2010

Mengepam di mana?

Suatu ketika dulu, lokasi mengepam saya ialah di Stesen Petronas.

Apakah? Orang mengepam petrol, saya mengepam susu. Kahkahkah!

Ya, saya tumpang buat projek lembu tenusu di Surau Stesen Petronas. Lima hari seminggu, tanpa gagal.

Pekerja di Stesen Petronas itu kebanyakannya mengenali saya kerana setiap hari bekerja saya datang ke sana untuk solat Zuhur. Mereka berbual dengan saya macam kawan-kawan. Mereka menyaksikan transformasi status saya – daripada bujang, kepada isteri orang, dan kemudiannya menjadi seorang ibu, lalu bergelar ibu tenusu pula. Ekekeke :P

Ada seorang Mamat Bangla beragama Islam yang sangat baik dengan saya. Setiap kali waktu tengahari, kipas surau sudah siap dipasang lebih awal. Jadi, menjelang saya tiba, suasana dalam surau tidaklah begitu panas. Kadang-kadang sejadah saya pun sudah dibentangkannya. Mamat Bangla turut memberitahu saya waktu solat Zuhur kerana menyedari tabiat saya yang selalu membelek akhbar Utusan Malaysia hanya untuk mengetahui waktu solat.

Hmmm. Adakah kebaikan hati sememangnya melewati sempadan bangsa, semata-mata atas nama seagama? Mungkin, mungkin.

Tapi, apa ke jadahnya saya pergi solat Zuhur dan mengepam di Stesen Petronas?

Kilang Kicap Cap Ayam tidak mempunyai ruang khusus untuk solat. Saya pula ketika itu terlalu segan untuk solat di Bilik Mesyuarat kerana tidak ada sesiapa pun yang pernah berbuat demikian. Masjid yang berdekatan memang ada, tetapi aliran trafik di sana cukup sesak sehinggakan saya tak mungkin dapat kembali ke Kilang Kicap tepat jam 1.30 tengahari. Sebab itu, kalau waktu Zuhur masuk selewat 1.30 tengahari ke atas – saya sangat susah hati. Risau tak cukup masa untuk kembali ke Kilang Kicap Cap Ayam. Selain itu, saya juga tidak selesa untuk mengepam susu di ruang kerja sendiri. Terlalu terbuka!

Sehinggalah suatu hari, Stesen Petronas yang semakin berkembang maju dikhabarkan akan diruntuhkan untuk membina Stesen Petronas yang lebih besar. Mahu tidak mahu, saya terpaksa menebalkan muka mengadap Bos Sederhana Besar,

“Boss, can I pray (and pump) in the meeting room?”, - ayat dalam kurungan cuma disebut dalam hati. Hahaha!

Sejak itu, saya tidak ke sana lagi sehinggalah waktu tengahari semalam. Lebih setahun lamanya saya tidak mengunjungi Stesen Petronas itu. Stesen Petronas itu kini berwajah baru. Suraunya juga lebih selesa berbanding dulu. Mamat Bangla itu menyapa saya ketika saya sedang mengisi petrol,

“Kakak, kenapa sudah lama tak ada mari? Kakak ada sihat ka?”

Laaa. Ada lagi rupanya engko kat sini?

:P

Saya beritahu DNNA, kalau Ziyad tak dapat kerja paling cikai pun dalam bidang Oil & Gas – memang tak patut sungguh la. Tahukah kamu, anakku – susu yang diperah itu mengandungi cas-cas minyak Petronas?

Kahkahkah!



Thursday, March 11, 2010

Di hujung sana ada pelangi

Suatu hari, saya menanyakan satu soalan cepumas kepada Ibu saya –

“Ma, kenapa ada sesetengah orang – keluarga dia bukan main hebat lagi. Dunia akhirat memang kita nampak seiring. Berbudi bahasa. Beradab sopan....”

Belum sempat saya menyudahkan kata-kata, Ibu saya memotong –

“Macam dibentuk-bentuk aje, kan? Sampaikan kita boleh rasa, eh-eh, eloknya perangai diorang ni. Molek belaka”

Saya angguk-angguk tanda setuju sambil tersenyum kecil.

Saya merujuk kepada keturunan Ibu saya yang sepatutnya mampu melahirkan alim ulama yang ulung. Tetapi ya, bak nyanyian kumpulan Raihan –

“Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa”

Ibu saya bercerita, arwah Datuk saya dahulu sudah terbiasa mendidik isteri dan anak-anaknya solat berjemaah setiap waktu terluang. Sesudah solat berjemaah pula, ada sesi tazkirah. Ibu saya datang daripada sebuah keluarga yang besar, terdiri daripada lapan beradik kesemuanya. Datuk saya dikenali oleh orang-orang kampung dengan nama Lebai Deraman. Seorang yang mempunyai ilmu agama, pandai membuat ragi, juga bertindak sebagai Dukun. Entah di mana silapnya, banyak benar yang kontra daripada apa yang diajarkan oleh arwah Datuk kepada anak-anaknya. Saya berseloroh,

“Jadi, Mama ni anak Pak Dukun la ya?”,

lalu disambut dengan gelak tawa oleh Ibu saya.

Jauh di sudut hati, saya mengimpikan keluarga yang terdiri daripada orang baik-baik. Disulami dengan ajaran Islam. Yang berpendidikan tinggi, yang hebat serba-serbi. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi dalam masa yang sama, bukanlah satu misi yang boleh dipandang ringan.

Saya sangat sukakan kawasan kejiranan saya. Setiap kali menghampiri waktu solat Maghrib, kaum lelaki akan mengambil wudhu di hadapan rumah masing-masing lalu berjalan atau berkereta ke surau taman bersebelahan sambil membawa anak-anak lelaki mereka. Tiada lagi anak-anak kecil yang berpeleseran dengan basikal. Padang permainan juga kosong. Kaum ibu pula sibuk menarik langsir dan menutup pintu serta tingkap rumah.

Satu pemandangan yang sukar ditafsirkan tetapi cukup untuk membuatkan hati saya terasa sejuk. Damai sedamai-damainya.

Mr Daddy juga sudah mula membawa Ziyad ke surau bersama-sama. Saya dapat merasakan bahawa ini adalah satu permulaan yang baik.

Saya merenung langit senja yang kemerah-merahan nun di sana. Ada harapan yang terkumpul di perbukitan itu.

 :P

Mirror, mirror on the wall

Anak saya kurang sihat. Entah apa wabak yang dikutipnya dari Taska, sudah 2 minggu berlalu – batuk dan selesemanya tidak juga sembuh. Baru sehari dua baik - nanti esoknya mula batuk balik. Baru sehari dua reda – nanti esoknya hingus meleleh lagi.

Haihhhh. Ahkak tertekan, Dik. Ahkak tertekan.

Inilah namanya –

If you want to fly with the eagles, don’t flock with the turkeys.

Apakah? Memang tak ada kait-mengait. Kahkahkah! Tapi, bolehlah saya ibaratkan sebagai – bila semua budak selesema, batuk, demam – maka anak kita yang sihat walafiat pun akan terjangkit sama tidak kiralah berapa banyak RM yang telah kita leburkan di klinik atau berapa banyak EL yang telah kita habiskan untuk merawat anak kita itu.

Saya ingin mengusulkan satu dasar kepada ibu bapa dan penjaga sekalian, sekiranya anak kita sakit – tolonglah kuarantin di rumah. Bolehkah begini?

Mungkin ada ibu bapa yang tidak setuju, dengan berperisaikan seribu macam alasan.

Hmmm. Saya pun makan gaji juga. Saya tidak kenal istilah cuti-cuti Malaysia. Tapi cuti Gong Xi Fa Cai memang saya kenal :P Kahkahkah! Cuti tahunan saya bagi tahun keempat di Kilang Kicap telah menginjak ke 14 hari - yang mana bagi saya, amat lumayan. Dua tahun yang pertama, cuti saya cuma 8 hari saja – kadar minimum sebagaimana yang digariskan oleh Kesatuan Buruh Malaysia. Oleh sebab itu, cuti saya digunakan untuk hal-hal yang benar-benar penting – iaitu bila anak saya sakit! Itu bukanlah istilah cuti yang sebenar-benarnya.

Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak Taska supaya menggubal satu peraturan,

“Kanak-kanak yang sakit tidak dibenarkan masuk ke premis Taska”

Bolehkah?

Mungkin pihak Taska juga berat hati – atas alasan kemanusiaan. Tetapi pada saya, kalau ibu bapa sendiri sudah hilang hati perut sampai sanggup membiarkan anak yang sakit dijaga oleh orang lain di Taska – maka usahlah seenaknya bercakap soal budi bicara. Saya sarankan agar ibu bapa yang begini melihat ke cermin dan bacakan mantera,

“Mirror mirror on the wall, who’s the stupidest dest dest dest parent of them all?”

Kahkahkah! Kompem nampak muka sendiri :P

Hidup ini lebih bererti bila kita banyak memberi. Biar miskin harta, miskin jiwa jangan sekali.

Wednesday, March 10, 2010

Perkahwinan bukan sekadar seks

Saya sebenarnya kurang senang apabila rata-rata masyarakat kita gemar memperbesar-besarkan persoalan berbaur seks. Kadang-kadang, sampai naik rimas dibuatnya.

“Perempuan mesti berpantang lepas bersalin. Kalau tidak, suami cari lain”

“Anda mengalami masalah payudara mengendur? Selulit? Parut lepas bersalin? Perut menggeleber? Dapatkan produk kami di pasaran sekarang!”

“Ustaz kata, kalau suami kita mintak ‘itu’, hatta di atas unta sekalipun kita wajib layan”

APAKAH?!

Adakah perkahwinan itu semata-mata tentang seks?

Memang betul, perkahwinan adalah satu ikatan yang menghalalkan hubungan intim antara 2 individu bukan muhrim. Saya tidak mahu mempertikaikan hal ini. Saya juga enggan berbahas dengan para ustaz (atau ustazah) tentang salah satu tanggungjawab seorang isteri. Tetapi, saya ingin memperjelaskan pendirian saya bahawa –

Seks itu hanyalah salah satu cabang daripada berpuluh-puluh dahan yang terbit daripada sebatang pokok besar yang bernama perkahwinan.

Itu kata sayalah. Kata orang lain, saya tak tahu. Maklumlah, selera lain-lain. Hahaha.

Terdapat dua iklan komersial yang amat mengganggu jiwa saya setiap kali menonton TV. Yang pertama, iklan ubat gigi yang memaparkan seorang anak menyampaikan pesan ibunya kepada bapanya,

“Abah, mak kata jangan lupa gosok gigi”,

lalu si Abah pun mengerling ke kalendar – hari Khamis!

Iklan yang kedua pula tentang satu pewangi yang diberi nama MJ – Malam Jumaat. Dalam iklannya berbunyi,

“Yang, Abang balik awal malam ni”,

lantas watak Abang juga memandang ke arah kalendar – hari Khamis!

Memang mula-mula saya rasa kedua-dua iklan ini ada unsur-unsur humor. Konon-konon macam lawak antarabangsa la kan?

Tapi lama-lama saya rasa perut saya jadi sebu. Tekak saya jadi mual. Dan jika kebetulan saya sedang menjamah spaghetti, saya segera teringatkan Azhar Sulaiman dalam filem Abang ‘92 –

“Tiba-tiba spaghetti you rasa masam”

Hubungan kelamin antara suami dan isteri bukan bahan lelucon.

Tuesday, March 9, 2010

Profesionalkah profesional kita?

Inilah tajuk perbincangan di saluran IKIM.fm sewaktu saya sedang memandu ke Kilang Kicap pagi tadi. Dalam banyak-banyak pandangan, saya sukakan pendapat yang diberikan oleh juruhebah radio sendiri, dipinjam daripada seorang rakannya –

Professionalism is doing the right thing when nobody is looking.

Perghh. Kellasss!

Saya sangat bersetuju sampaikan saya tepuk-tepuk steering wheel kereta saya seolah-olah saya sedang bermain percussion. Kahkahkah! Nasib baik tak tertekan hon. Kalau tertekan hon, memang jadi Ponnn Ponnn Abang Kasim :P

Profesionalkah profesional kita?

Kalau ikutkan kategori jawatan, saya ini bukanlah tergolong dalam kategori profesional. Kahkahkah! Tetapi, disebabkan saya dikelilingi golongan profesional di alam nyata mahupun di alam maya – saya kerapkali lupa daratan dan menyangka saya pun berjawatan profesional. Aci tak?

Sepertimana motto Mr Daddy,

“I’m the best because I work with the best”,

maka acilah kalau motto saya berbunyi –

“I’m professional because I work with the professionals”

Kahkahkah! Perasan, perasan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bab jadi kuli Kilang Kicap Cap Ayam tu, kita tolak tepi demi memastikan tahap keyakinan diri berada pada paras optimum :P

Berbalik kepada topik profesional – saya rasa etika profesionalism ini tidak seharusnya terkongkong dalam tempurung spesies profesional sahaja. Ini mengingatkan saya kepada pertanyaan Mr Daddy,

“Nak jadi maid pun kena ada training ke? Setakat buat kerja-kerja rumah ni, orang Malaysia tak perlukan latihanlah!”

Saya selaku The Domestic Goddess dengan piawaian ISO menjawab,

“Adakah sama orang yang menyidai kain mengikut kod warna dengan orang yang menyidai tunggang-langgang? Mutu kerjanya tak sama, ok?”

Kahkahkah!

Mr Daddy kata saya pelik.

Ahhh. Pelik tak pelik, inilah wanita pojaanmu yang telah kau nikahi, Yang. Ekekeke :P

“Setakat sidai baju, janji kering sudahlah!”

Huh? Sidai baju pun mesti ada etika profesionalisme, tahu? Ini termasuklah cara mengeruk mentega. Sila keruk elok-elok dari tepi agar bentuk mentega kekal bersegi dengan sudut tepat 90 darjah. Macam mentega baru beli - seolah-olah anda tak pernah usik mentega itu. Kahkahkah!

Errr. Adakah penyakit OCDku makin parah?

:P

Monday, March 8, 2010

Dia Ibuku, bukan Bibikku

Sebelum ini, sejak anak saya lahir sehinggalah umurnya mencecah 2 tahun 2 bulan – Ibu sayalah yang menjaganya sepanjang saya keluar bekerja. Dalam hal ini, saya rasa saya sangat bertuah. Ketika kebanyakan ibu-ibu yang lain tidak ada pilihan melainkan menghantar anak ke taska atau terpaksa menggaji Bibik, saya sangat beruntung kerana Ibu saya ada untuk membantu. Setakat demam, selesema, batuk – ini semua jarang berlaku terhadap anak saya.

Saya sangat bersyukur.

Tetapi saya tidak sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan Ibu saya itu. Betul, saya sangat sakit hati apabila ada di antara Makcik saya yang menganggap saya mendera Ibu saya. Keji tau! Nantilah. Saya tunggu apabila Makcik saya itu bercucu kelak.

Mengata dulang, paku serpih. Sila tengok dulang sendiri dulu. Hehehe.

Tapi saya tak kisah. Saya tak mahu berkelahi dengan orang tua. Walaupun cuma Makcik, tapi tarafnya sama macam Ibu kandung sendiri. Suka hati Makciklah. Asalkan bahagia!

Hmmm.

Saya tidak mahu sebut secara spesifik berapa banyak yang saya hulurkan kepada Ibu saya sepanjang ketiadaan saya untuk ke Kilang Kicap Cap Ayam. Cukuplah saya katakan, satu pertiga daripada gaji bersih saya akan masuk ke poket Ibu setiap bulan. Without fail. Without fail, babeh. Sungguhpun saya tahu, wang bukanlah ukuran atas kasih sayang yang dicurahkan oleh Ibu saya terhadap cucunya – tetapi hanya itulah yang dapat saya berikan. Kalaulah saya boleh berikan lebih daripada itu, alangkah baiknya! Malangnya, saya juga ada perbelanjaan sendiri yang perlu ditanggung.

Sebab itu, saya kurang senang kalau kawan-kawan saya berkata,

“Wah, senanglah kau. Emak tolong jaga anak. Jimat belanja! Free of charge”

Hello? Ibu saya bukan hamba abdi. Bibik pun kita mesti bayar, tahu? Inikan pula Ibu sendiri! Bahkan, sebab Ibu sendirilah maka kita mesti membayar lebih berbanding apa yang kita bayar kepada Bibik mahupun kepada Taska. Kalau balik Kilang Kicap lewat 10 minit, mesti bayar overtime. Ngerti kamu?

Dari segi kerja rumah, saya tetap membantu mana yang patut dan mana yang sempat. Senang cerita, sebenarnya saya buat kerja dua kali ganda lebih banyak ketika tinggal bersama keluarga, berbanding dengan tinggal di rumah sendiri.

Kasih Bapak sepanjang jalan. Kasih Ibu membawa ke syurga. Tetapi Ibu kita bukan Bibik.

Like Mami, like son

Ziyad dan saya memang tak dapat dipisahkan. Kalaulah Ziyad boleh masuk semula ke dalam perut saya, mungkin itulah yang akan dilakukannya. Ekekeke :P

Setiap kali saya perlu melakukan tugasan kritikal seperti memasak, bantuan Mr Daddy amat diperlukan. Mana mungkin tangan kanan saya memotong ayam sambil tangan kiri mengendong anakku Sazali? Oh, ini memang misi mustahil. Kalau tangan kanan menggoreng ayam, tangan kiri mendukung beruang koala masih boleh tahan lagi. Hahaha. Anak saya itu sangat sibuklah. Saya ingat saya patut buat dapur saiz mini. Kamu masak di sana. Mami masak di sini. Buleh gitu? :P

Ini menyebabkan Mr Daddy telah merangka satu sesi yang dinamakan Male Bonding. Satu program Bapak dan Anak Lelaki untuk berbincang masalah-masalah lelaki sedunia. Apa-apa je lah. Janji Mami dapat mengasapkan dapur dengan aman dan damai. Haha :P

Suatu hari, sesi Male Bonding mengambil topik persamaan Daddy dan Ziyad. Like father, like son – kata orang putih :P

“Daddy’s eyes”, kata Mr Daddy sambil meletakkan jari-jarinya ke mata.
“Ziyad’s ais”, Ziyad mengajuk perbuatan Mr Daddy pula.

“Daddy’s tongue,” Mr Daddy menjelirkan lidah.
“Ziyad’s tam”, ikut Ziyad pula sambil mengeluarkan lidahnya.

Mr Daddy kemudiannya menukar dialog lain,

“Ziyad ni handsome,” sambil meletakkan jari telunjuknya ke dada Ziyad.
“Ziyad ni encem,” kata Ziyad pula - padahal kalau ikut Penaakulan Mantik, skrip yang sepatutnya ialah “Daddy ni handsome”.

Tidak berpuashati dengan jawapan Ziyad yang enggan mengakui ketampanan Bapaknya, Mr Daddy tiba-tiba dapat satu idea brilliant lalu berkata,

“Ziyad ketiak busuk”, lalu mengangkat lengan Ziyad dan menunjuk ke arah bawah lengan.

Kali ini Ziyad tidak terus mengikut seperti sebelumnya. Dia berdiam diri.

Satu saat. Dua saat. Tiga saat.

Mr Daddy sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mendengar dialog Ziyad. Kali ini, Ziyad mesti terkena. Itulah akibatnya kerana tidak mahu menyebut “Daddy ni handsome”. Hahaha!

Ziyad membuka mulutnya,

“Daddy ketiak busuk!” katanya separuh menjerit.

Kahkahkah!

That’s my son :P

Friday, March 5, 2010

Saya cadangkan cadangan ditutup!

Hari ini hari Ulangtahun Pertunangan saya dan Mr Daddy.

Pertunangan, konon :P

Ibu saya panggil - hantar cincin tanda. Macam main cop-cop la pulak. Sudah ada cincin, ya. Orang lain tak boleh booking. Segala permohonan selepas ini tidak akan dilayan. Kahkahkah!

Saya dan Ibu saya sebenarnya tidak pernah merancang untuk mengadakan Majlis Bertunang. Kahwin saja terus. Tetapi atas desakan keluarga bakal mertua, kami buat jugalah. Tidak ada apa-apa pun. Cuma bawa cincin saja. Yang hadir cuma Mak Teh saya 5 beranak selaku Pembantu Jurucakap, selain Ibu dan Bapak saya. Adik saya pun tak tahu-menahu, dia masih di Kuching ketika itu. Rombongan Mr Daddy terhad kepada ibu bapanya serta adik-beradik. Majlis Pertunangan tertutup. Kahkahkah!

Ahkak jadi Bakal Tunangan merangkap Tukang Cuci, Tukang Serve, Tukang Mekap (pakai gincu dan bedak saja), Tukang Susun-Susun Pinggan. Nasib baik bab masak-memasak kami sub-kon kat Jiran Sebelah yang ada buat Khidmat Katering. Dia pun heran. Ada majlis ke? Taklah. Kami nak makan-makan aje :P

Saya masih ingat ketika parlimen sedang bersidang bagi menetapkan tarikh perkahwinan kami, tiba-tiba Mr Daddy mengeluarkan Takwim Kilangnya lalu berkata,

“Saya pilih 9 Disember, 18 Zulkaedah”

APAKAH? Orang tua-tua bercakap, jangan menyampuk :P

Lantas dibangkang oleh Mak Teh saya,

“Zulkaedah bulan berapit!”,

merujuk kepada bulan Zulkaedah yang diapit oleh bulan Syawal dan bulan Zulhijjah.

Tetapi Mr Daddy tidak peduli -

“Saya nak kawen tahun ini jugak”

Kahkahkah! Saya yang berada di dapur sambil memasang telinga ketika itu ketawa terkekek-kekek. Patutkah saya ke ruang tamu lalu berkata,

“Saya cadangkan cadangan ditutup?”

Gilo :P Nasib baik saya tak buat gitu.

Sampai sekarang kisah itu jadi bahan dek Mak Teh saya. Bukan main berani lagi budak ni, katanya sambil mengerling Mr Daddy.

Haha :P

Jabatan Agama - relevan atau tidak?

Sepanjang hidup saya, ada 2 insiden besar yang melibatkan Jabatan Agama ketika duduk berjauhan daripada Ibu dan Bapak.

Yang pertama, ketika saya berada dalam Tahun 3 pengajian saya – kami tinggal menyewa di luar kampus. Yang kedua, ketika saya mula-mula bekerja dalam erti kata sebenar – saya menyewa di rumah yang disediakan oleh Kilang Lama.

Dalam kes yang pertama, saya sampai diheret ke Majlis Agama Islam Johor. Siap naik mahkamah, kerana apartmen kami diserbu oleh Penguatkuasa MAIJ. Katanya ada jiran yang mengadu kami bawa lelaki masuk rumah. Dan betul, malam itu ketika pintu diketuk jam 1 pagi - ada makhluk yang bukan perempuan berada dalam apartment kami. Teman lelaki kawan saya, dia datang betulkan PC yang rosak – sedangkan ada tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Saya tidak tahu-menahu kerana sudah tidur lebih awal.

Saya menangis bagai nak gila.

Memang bukan salah saya. Tapi sangat sedih rasanya diperlakukan oleh Penguatkuasa MAIJ dengan cara yang saya anggap tidak setara dengan status seorang Pegawai Agama. Pintu bilik saya dirempuh kerana Pegawai itu mengesyaki bahawa bilik saya gelap kerana ada lelaki lain bersama saya. Teman serumah yang ‘ditahan’ lebih awal di ruang tamu, menghalang Pegawai Agama tersebut,

“Encik, kawan saya yang itu pakai tudung. Tolong hormatkan dia”

Kawan saya masuk ke bilik, kejutkan saya dari tidur, suruh saya tukar baju dan hulurkan saya tudung. Hanya saya saja yang bertudung dalam apartment itu. Saya akui, walaupun kawan-kawan serumah semuanya tidak bertudung, tetapi mereka agak segan dengan saya. Kalaupun orang lain anggap mereka jahat - mereka takkan biarkan saya dilabel sebagai jahat, atau membiarkan saya jadi jahat. Hahaha.

Malam itu, habis rumah kami diselongkar. VCD dan majalah-majalah di rak juga diperiksa. Saya agak, mungkin Pegawai-Pegawai Agama ini sangka kami tengok VCD lucah atau ada bahan bacaan lucah. Atau apa-apa sajalah yang lucah untuk dijadikan bukti sokongan. Tak cukup dengan itu, kad pengenalan kami diambil. Kami disuruh beratur dan wajah kami dirakamkan dalam kamera.

Tak tahulah apa perasaan saya ketika itu. Why me? W-H-Y?

Dipendekkan cerita, ketika hadir di sesi soal jawab di MAIJ yang disebut sebagai mahkamah dalam surat rasmi yang kami terima – Pegawai Agama cuma menanyakan kami 2 soalan,

“Baca doa Qunut”, dan
“Baca doa untuk ibu bapa”,

yang pada awalnya ditujukan hanya kepada 2 rakan saya yang lain tetapi gagal dijawab. Saya sangat panas hati. Bahkan kedua-dua Pegawai Agama itu tidak ada komunikasi mata dengan saya pun.

“Kenapa Tuan tak tanya saya? Adakah saya terpaksa ponteng kelas, dan dituduh sebagai bersubahat dalam kes khalwat – hanya untuk berdiri di sini macam tunggul?”

“Okey. Kamu boleh balik”, kata Pegawai Agama itu selepas saya lafazkan doa Qunut dan doa untuk ibu bapa.

PANG! Saya rasa nak maki. Itu aje? Bedebah. Ini sebenarnya memang kes mahkamah ke bukan?

Dalam kejadian yang kedua, saya pula yang mahu menelefon Penguatkuasa JAIS sebab rakan sekerja saya bawa masuk lelaki yang telah berkahwin ke biliknya. Bukan sekali tetapi setiap hari selama bertahun-tahun. Hmmm. Susah-susah sangat. Kahwin sajalah. Kenapa tak kahwin, ya? Tak sempat nak buat aduan, saya ambil keputusan untuk berulang-alik ke Kilang Lama dari rumah Ibu Bapak saya. Habis cerita.

Saya tak kuasa untuk berurusan dengan mana-mana Jabatan Agama sekali lagi.

Thursday, March 4, 2010

Mami, benarkah Mami kiasu?

Jawapannya ialah, "Ya, benar anakku". Ekekeke :P

Saya belum habis lagi tersengih-sengih macam Kerang Rebus yang cepat dimasak, sedap dicicah.

Cikgu Taska telah membentangkan laporan pendeknya pagi ini. Syukurlah. Semuanya yang baik-baik belaka, dengan peningkatan berperingkat-peringkat dalam aspek sosio-emosi dan budaya. Ya, Cikgu Taska telah memahami budaya makan Ziyad yang penuh kesopanan dan kesusilaan,

“Bila makan, dia bukak mulut kecik aje. Tapi saya terus bagi dia makan sampai dia cakap tak nak”

Nampaknya didikan saya berkesan. Saya selalu beritahu Ziyad, kalau tak mahu -

“Katakan TAK NAK!”

Macam Kempen Berhenti Merokok la pulak. Haha.

Dari segi pembelajaran, Cikgu Taska melahirkan kekagumannya terhadap Ziyad. Untuk seketika, tahap pengembangan lubang hidungku bagaikan tidak dapat dikawal lagi. Kembang semangkuk wa cakap lu! Tetapi sebaik sahaja saya teringatkan Hassan, diameter lubang hidung mula menguncup – PELEPUP! - lalu kembali ke saiz asalnya. Kahkahkah!

Saya ingat, kalau Cikgu Taska ni jaga Hassan – mau dia pengsan tengok Hassan lukis Jadual Berkala Siri Kereaktifan Kimia. Saya sendiri memang Sentuhan Kecundanglah bab subjek Kimia ini. Bukak kebuk wasap pun takut. Huhu.

“Oh, saya memang ada ajar Ziyad sikit-sikit kat rumah. Budak-budak hatinya bersih, memang cepat tangkap”

Itu dialog yang saya tuturkan di mulut. Hahaha. Dialog dalam hati,

“Cikgu! Saya dah ajar Ziyad alif ba ta, ABC, 123, do re mi sejak pregnancy kit saya ada 2 line lagi. Kalau dah umur 2 tahun pun tak reti jugak memang saya rotan dia kang”

Kahkahkah! Kiasu gile.

Sejujurnya, saya rasa beribu-ribu lemon banyaknya yang masih belum saya perturunkan kepada anak bujang saya itu. Hujung tahun ini Ziyad akan mencecah usia 3 tahun. Tingkap pembelajaran secara spontan yang terbuka luas akan tertutup sedikit demi sedikit. Lepas ini, otak kiri akan mendominasi otak kanan. Haihh. Masa sudah suntuk.

“Ziyad, mari minum air rebusan kitab Al-Qur’an 30 juzuk ini supaya kamu boleh jadi Hafiz sebelum hari lahir kamu yang ketiga. Balik-balik alif di atas aa, ba di atas ba, kaf di atas ka. Perjalanan kita masih jauh!”

“Lepas itu kamu kunyah pula buku teks Add Maths sebab Mami tak mahu kamu tak paham topik Pengamiran macam Mami dulu”

“Kemudian kamu telan Buncho Water Color satu set supaya handal melukis macam Picasso. Lagipun Mami kempunan tak dapat jadi Arkitek. Maka kalau kamu tak dapat jadi Zaha Hadid pun tak apa, janji kamu boleh reka bangunan macam Burj Al Arab”

Kahkahkah! Seronoknya kalau ada jalan potong macam ni :P
I Love to Talk About Ideas
I like my conversations to be deep and meaningful. I am not a big fan of small talk.
I am open to all sorts of conversation topics, especially if they are unique or interesting. I love it when a conversation takes me somewhere unexpected.

I will talk about anything, even if it's controversial or weird. I'm not shy about speaking my mind.
I may shock people with what I'm willing to talk about, but at least it's more interesting than discussing the weather.