Apakah kriteria yang anda pertimbangkan?
Untuk orang yang mahu buat duit, seperkara yang perlu ditekankan ialah lokasi, lokasi, lokasi. Tanyalah sesiapa pun. Inilah jawapan favourite :P
Saya juga begitu. Tetapi saya tidak hanya melihat faktor lokasi sebagai satu pokok yang besar. Saya suka zoom-in dan belek satu-satu setiap dahannya secara terperinci.
Syarat utama yang saya gariskan ialah berdekatan dengan surau, pada kadar Andante. Ekekeke :P Kalau sesiapa ada belajar main piano, Andante bermaksud – at a walking pace.
Apabila kedudukan rumah kita dekat dengan surau, secara automatik komuniti kita terdiri daripada orang-orang Islam. Dan ini selalunya berkadar songsang – orang Islam ramai, orang bukan Islam tentulah sebaliknya. Eh, saya bukan anti non-Muslim. Bukan, bukan. Bukan begitu.
Tapi, yalah. Orang kata, berjiran dengan kaki pancing – mungkin kita ada harapan dapat ikan siakap hari-hari. Tak dapat kaki pancing, kaki Tesco pun jadilah. Nak-nak pulak kaki Tesco tu tinggal bersebelahan dengan Puan Jiran yang masak macam David Copperfield. Fuh. A match made in heaven! Ekekeke :P
Orang bukan Islam biasanya mengelak daripada memilih rumah yang berdekatan surau atau masjid. Bising, katanya. Pagi-pagi buta dah kena tutup telinga dengar azan. Mengganggu tidur.
Orang Islam pula biasanya mengelak daripada memilih rumah yang berjiran dengan pemilik anjing. Bising, katanya. Malam-malam buta dengar anjing menyalak. Mengganggu tidur.
Ok. Keputusan seri 1-1. Hahaha.
Surau mempunyai nilai sentimental dalam hidup saya. Saya dibesarkan dalam rumah yang betul-betul berhadapan dengan pintu masuk surau selama 20 tahun lamanya. Di zaman kanak-kanak saya, surau bukan sekadar tempat ibadat.
Surau ialah tempat budak-budak pergi tadika.
Surau ialah tempat remaja seperti adik saya dapat duit saku sebab tolong cuci pinggan dan siapkan minuman untuk jemaah selepas solat Isyak.
Surau ialah tempat kami tumpang mandi apabila terputusnya bekalan air.
Surau ialah tempat menyidai permaidani sebab pagarnya luas. Lagipun dulu-dulu memang tak pernah dengar orang hantar karpet ke dobi. Basuh karpet secara manual, you! Apa menatangnya dobi tu? Rosli Dhobi, saya tahulah. Ekekeke :P
Surau ialah tempat orang memasak untuk kenduri kahwin.
Surau ialah tempat Redza – budak yang belasah adik saya, lepas tu saya belasah dia balik – mempamerkan kejaguhannya bermain guli. Selain itu, kami juga main sorok-sorok di surau. Menyorok dalam gulungan tikar surau memang best. Rasa macam aku sebiji popia. Hahaha.
Dan yang paling seronok, surau ialah tempat soruuu – siapa rumah paling dekat, dia dapat bubur lambuk dulu :P Kahkahkah!
Rumah saya sekarang juga cuma sepelaung saja dari tapak surau. Tapak sajalah. Suraunya belum ada lagi.
Saya membayangkan anak saya dibesarkan di sini. Dan mengalunkan azan macam Bilal bin Rabah.
:P


