Banyak perkara yang telah berlaku sepanjang 2009. Banyak perubahan yang telah mengambil tempat. Secara peribadi, 2009 mencoretkan lebih banyak pengalaman yang berharga berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Perubahan-perubahan yang mengesankan itu secara nyatanya bertapak dengan aktiviti menulis blog yang saya mulakan pada awal November 2008. Patah-patah perkataan yang pertama sangat sukar untuk ditaip. Betul-betul payah sehinggakan saya tidak tahu apa yang hendak ditulis pun!
Tetapi ya, memang benar bahawa perjalanan seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama. Saya kemudiannya menyedari bahawa saya telah begitu lama tidak membaca. Dek kerana tiadanya input – maka tiadalah output. Tidak membaca membuatkan otak saya kering-kontang.
Saya pun bertekad untuk mula membaca. Seperti waktu dulu-dulu.
.
Saya mulakan dengan buku yang pertama, The Monk Who Sold His Ferrari. Dan dari situlah saya mula melompat dari satu buku ke satu buku yang lain. Dari situ jugalah saya menulis dari satu topik ke satu topik yang lain. Membaca dan menulis adalah rantaian yang saling berhubung. Dalam kes saya, ini adalah kebenaran yang tidak dapat disangkal lagi.
Setiap detik akhirnya terisi dengan membaca-menulis-membaca-menulis sehinggakan seluruh tenaga dicurahkan ke atasnya. Perlahan-lahan, saya mula melihat dunia ini melalui kanta cinta yang lebih luas dan lebih ke depan. Persekitaran dalam dunia blog begitu merangsang minda. Saya bertuah kerana berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan yang senada dan seirama. Rakan-rakan alam maya saya terdiri daripada mereka yang hebat-hebat belaka. Ini menyebabkan saya tiba-tiba teringin untuk menjadi sehebat mereka juga. Sungguh dahsyat, kan? Mungkin inilah yang dikatakan pengaruh rakan sebaya. Kahkahkah!
.
Begini ya, saya telah mempelajari sesuatu iaitu -
.
Tahun 2009, azam saya ialah untuk menulis di blog setiap hari bersamaan 365 entry. Itu saja. Azam ini memang terang-terangan tidak tercapai pun. Buktinya, jumlah entry yang ditaip setakat ini hanyalah 328. Tidak masuk akal pula rasanya untuk menulis lagi 37 entry dalam masa 2 hari semata-mata untuk mencapai matlamat terdahulu. Kahkahkah!
Tetapi dengan azam yang sekelumit cuma, secara tidak sengaja saya telah melakukan segala-galanya sekali harung – membaca, menghadiri seminar, menyertai kursus jangka pendek dan menyambung semula pengajian! Dan kesemuanya ini bagaikan tiba-tiba menyapa saya, tanpa disangka-sangka.
Mulakan dengan satu perkara yang kecil. Yang lain-lain akan menyusul kemudian.
.


