Search This Blog

Loading...

Quotable Quotes



The best of people are those that bring most benefit to the rest of mankind

My Loyal Readers

Wednesday, November 25, 2009

David Beckham

Ketika Zaman Dinosaur berkurun-kurun yang lampau, seorang pensyarah saya yang bernama Prof Dr Parid Wardi pernah mengajukan soalan ini kepada saya,

“Kamu kenal David Beckham? Pernah tengok gaya dia main bola?”

Saya hanya terkebil-kebil macam ayam berak kapur memandang bebola mata kepunyaan Prof itu. Yang tergambar di kotak fikiran saya ialah seorang suami kepada Posh Spice Girls. Figura seorang lelaki tinggi lampai menyarung jersi nombor 7 dengan rambut terpacak. Dan jeritan gadis-gadis kolej menjerit Man U! Man U! Saya cuba juga mengimbau gaya David Beckham menyepak bola -tetapi memori itu tidak ada. Saya bukanlah peminat bola, semestinya. Kahkahkah!

Kata Prof Dr Parid Wardi, David Beckham sudah kaya. Pendek kata, memang benar-benar kaya sehinggakan sepatutnya dia tidak perlu bersusah-payah menjalani latihan di padang. Atau membuang masa menyepak bola. Senang cerita, makan nasi 7 keturunan pun dijamin tak luak. Err, David Beckham makan nasi ke Prof? :P

Pun begitu, David Beckham tetap mempamerkan kesungguhan dalam bermain bola sepak. Di atas padang, seolah-olah yang ada dalam fokus David hanyalah dia dan bola. Eceh.

“That is what we called passion!” ujar Prof Dr Parid Wardi lagi.

Keghairahan dalam hidup memang penting. Realitinya, itulah kunci kekuatan seseorang individu. David Beckham, walaupun setakat sekolah darjah enam (kalau mengikut sistem pendidikan di Malaysia) tahu apa yang dia mahu. Justeru seluruh tenaganya dipusatkan ke arah minatnya itu.

Cuba kalau David Beckham itu kita peruk dalam Kilang Kicap Cap Ayam – tentu dia tidak akan menjadi sebegitu hebat.

Eh, eh. Ke situ pulak dah :P

Penyanyi jadi pelakon, pelakon jadi penyanyi

Dalam satu slot radio baru-baru ini, juruhebah yang bertugas telah mengetengahkan satu topik. Tentang penyanyi yang beralih arah menjadi pelakon. Tentang pelakon yang bertukar angin menjadi penyanyi. Dan tentang selebriti yang menjadi pelakon dan penyanyi dalam masa yang sama.

Saya rasa perkara ini tidaklah begitu pelik.

Allahyarham P Ramlee misalnya, merupakan seorang seniman yang boleh mengarah filem, berlakon, menggubah lagu, menulis lirik, menyanyi dan bermain muzik dengan begitu baik sekali. Seorang lagi yang hampir menyamai kebolehan P Ramlee ialah M Nasir. Lebihnya, M Nasir pandai melukis!

Allahyarham Sudirman Hj Arshad adalah the singing lawyer. Ida Nerina adalah peguam yang pandai berlakon. Hah. Hebat, kan?

Saya percaya, setiap orang memiliki kelebihan tersendiri sekurang-kurangnya dalam satu aspek. Sejak dari dulu lagi saya melihat kecenderungan seseorang manusia untuk memiliki kebolehan yang pelbagai dalam satu aliran. Dalam kes-kes terpencil, ada juga yang menunjukkan potensi dalam 2 atau 3 aliran berbeza yang tiada sangkut-paut antara satu sama lain.

Contohnya begini - seorang yang handal bermain bola jaring biasanya akan ditarik masuk bermain bola baling dan akhirnya turut bermain dalam pasukan bola tampar. Perkara ini selalu berlaku di sekolah saya dahulu. Sebab itu, saya tiada peluang langsung nak mencuba nasib apatah lagi mengasah belakang parang yang tumpul dalam bidang sukan. Semua tempat telah diambil oleh pemain-pemain bola tersohor. Sudahnya, saya main congkak sajalah. Hahaha! Alasan, alasan :P

Dalam masa yang sama, seorang yang pernah mencuba nasib dalam pidato akan ditarik masuk ke dalam pasukan debat, akhirnya diserap dalam pasukan forum dan turut muncul dalam pasukan pantun. Oh, bersyair dan bersajak pun balik-balik muka itu jugalah. Yang penting, jangan bagi peluang langsung kepada ahli-ahli sukan negara untuk menguasai acara indoor. Kahkahkah! Memang dasar penakluk empayar :P

Sekarang ini, kebanyakan tenaga profesional di sektor swasta juga ingin berpindah ke sektor rumahtangga. Tukar profesyen. A need for career change. Bayangkan apakah yang bakal terjadi apabila seorang wanita yang biasa merekacipta camcorder tiba-tiba duduk di rumah dan menjahit beg senget? Fuuuhhh :P

Tunggulah apabila Kuli Kilang Cap Ayam ini menjadi SAHM. Harus gegak-gempita sektor rumahtangga itu saya kerjakan. Rumah itu akan jadi seumpama galeri yang akan memuatkan karya-karya masterpiece ala Picasso. Bukan setakat itu, silap haribulan kesemua urusan kekeluargaan bakal saya dokumentasikan mengikut fail yang berasingan. Wah, macam nak kena audit pulak :P

Apa sangatlah isu penyanyi nak jadi pelakon, pelakon nak jadi penyanyi tu?

Allah knows what you did last summer

Akhir-akhir ini saya ada membaca tentang kegiatan plagiat yang berleluasa di blogosphere. Ini berdasarkan apa yang ditulis oleh beberapa orang blogger yang saya kenali secara maya. Pelik juga. Saya ingatkan cetak rompak hanya melibatkan urusan jual beli yang melibatkan wang. Tak sangka, blog peribadi pun berpotensi menjadi mangsa peniruan.
.
Pada pendapat saya, sama ada blog mahupun apa saja bentuk rangkaian sosial lain yang wujud seperti friendster mahupun facebook– masing-masing mewakili diri yang empunya badan. Semacam satu identiti. Jika anda menciplak blog orang lain, serupalah macam anda cuba menjadi diri orang lain. Atau mencuri kad pengenalan orang lain. Di manakah letaknya jati diri anda sekiranya anda melakukan perkara seumpama itu?
.
Berbanggalah dengan diri sendiri. Setiap orang (dan setiap blog) mempunyai keunikan masing-masing.
.
Saya akui, memang sukar untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber tidak kiralah betapa gigihnya anda mencuba untuk tidak mendedahkan diri di alam maya.
.
Saya pernah menghadiri sebuah bengkel. Pada hari terakhir, setiap peserta diberikan sekeping CD yang berisi nota dan beberapa contoh kertas kerja. Alangkah terperanjat badaknya saya apabila mendapati isi kandungan CD tersebut saling tak tumpah seperti e-book yang pernah saya beli beberapa minggu sebelumnya. Tinggal lagi, penganjur program tersebut sekadar menukar kulit CD sahaja dan menggantikannya dengan nama syarikatnya sendiri. Saya yang tidak dapat menyembunyikan prasangka telah mengangkat tangan lalu bertanya sama ada itu adalah CD yang dicedok daripada Si Munah, iaitu penulis asal e-book tersebut. Pihak penganjur mengakuinya dan meminta agar saya menutup mulut. Katanya, dia bertujuan baik dan mahu berkongsi ilmu. Hmm. Matlamat menghalalkan cara?
.
Baru-baru ini, secara tidak sengaja saya mendapat tahu bahawa wajah dan nama saya digunakan oleh penganjur yang sama bagi tujuan promosi. Hoh, nampaknya penganjur itu berjaya membuatkan saya terperanjat badak kuasa dua! Gambar saya itu diambil daripada gambar beramai-ramai yang memuatkan kesemua peserta bengkel. Dalam laman web terbabit, saya dikatakan memberikan testimonial yang berbunyi sekian-sekian. Walhal saya tidak pernah memberikan maklumbalas sebegitu. Apatah lagi memberikan kebenaran kepada pihak penganjur untuk menyalahgunakan nama saya. Sayangnya saya bukan Wardina Safiyyah. Atau Ekin Mawi. Kalau tidak, sudah lama saya tuntut saman malu. Yang membuatkan saya tidak puas hati ialah - dalam ramai-ramai peserta, kenapa saya yang dieksploitasi? Bodoh betul. Nasib baiklah itu bukan iklan pakaian dalam wanita. Hoh! Lantak kaulah. Janji jangan sampai mengaibkan saya cukuplah.
.
2 hari yang lalu pula, saya berpeluang menonton penganjur terbabit muncul di kaca TV. Panas betul hati saya dibuatnya. Rasa nak menyumpah pun ada. Tapi saya cuba beristighfar dan berlapang dada. Dengar khabar penganjur itu sudah membuka 2 cawangan. Wah, hebat! Dalam masa kurang daripada 6 bulan, nampaknya pelbagai kejayaan sudah dicapai. Sayangnya, kejayaan dalam tempoh singkat itu mempunyai unsur-unsur yang tidak baik. Dari kaca mata saya, itu bukanlah kejayaan yang tulen.
.
But of course - business is business. Who cares about how you get it, as long as you’re making money?
.
Just remember, Allah knows what you did last summer :P

Sekeping kad berharga 40 sen

C’sue dalam komennya terhadap entry saya yang lalu telah membangkitkan nostalgia silam aku dan diriku suatu masa dulu. Kahkahkah!

“Akak minat berniaga tak? Mesti ada pengalaman berniaga ni”

Errk. Pengalaman berniaga juta-juta memang Ahkak tak ada, Dik! Tapi main-main duit masa jaman muda-muda dulu adalah sikit. Kahkahkah!

Percubaan pertama saya untuk berniaga bermula ketika saya berumur 10 tahun. Darjah 4. Saya menjual kad buatan tangan kerana saya melihat ada banyak permintaan untuk itu. Kebanyakan kad di pasaran berharga dalam lingkungan RM1 ke atas, dan kuasa beli seorang budak darjah 4 pada masa itu sangatlah terhad. Saya pula dikatakan mempunyai sedikit bakat seni yang mengalir di celah-celah jari-jemari yang kontot ini. Ada permintaan, maka ada bekalan – lalu saya pun mengorak langkah menjerumuskan diri dalam perusahaan kad olok-olok tetapi benar.

Modal saya ialah satu blok lukisan, pensel HB untuk melakar, pensel warna dan magic pen, sebilah gunting, pisau kecil dan sebotol gam. Untuk menjimatkan kos, sehelai kertas lukisan saya bahagikan kepada 4 untuk menghasilkan 4 keping kad yang comel. Kawan-kawan memang sukakan kad mini. Saya pun tumpang suka kerana itu boleh membantu meningkatkan keuntungan.

Untuk permulaan, saya menetapkan harga 10 sen untuk setiap kad. Ini berdasarkan kepada belanja harian saya sebanyak 50 sen sehari. Saya rasa, harga ini sudah tinggi memandangkan air rakyat yang dijual di kantin pun berharga 10 sen secawan. Antara kad dengan air, tentulah kawan-kawan akan memilih untuk membasahkan tekak.

Tetapi percaturan awal saya itu silap. Ramai kawan bersedia untuk menghabiskan duit bagi mendapatkan kad saya yang tidak seberapa itu. Mereka sukakan idea bahawa mereka boleh menempah kad mengikut rekaan yang mereka ingini, menggunakan ayat yang mereka cipta sendiri dan menyaksikan penghasilan kad itu secara 'live’. Ya betul, premis perniagaan saya ialah tempat duduk dalam kelas saya sendiri. Gila kentang! Cikgu mengajar di depan, saya sibuk menggunting hasil ciptaan saya di belakang. Anak-anak, sila jangan contohi perilaku ini ya?

Perniagaan saya boleh dikatakan berkembang pesat. Dalam sehari saya mencatatkan pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM5. Bagi saya, jumlah ini sangat lumayan kerana nilai itu menyamai 10 hari duit belanja sekolah. Wah, makcik kayo! Satu blok lukisan pula mengandungi 100 helai kertas yang boleh menghasilkan 400 keping kad, dan saya telah berjaya menolak kos asas dengan hanya menjual 10 keping kad berharga 40 sen.

Ya, harga kad saya telah dinaikkan daripada 10 sen kepada 40 sen kerana saya telah melakukan inovasi terhadap rekaan. Saya mula bereksperimen dengan pop-up card, berlipat di tepi, ada yang menggunakan teknik anyaman dan ada yang mengambil inspirasi daripada teknik kolaj. Saya juga telah mencilok idea daripada kad komersil dan mula cuba jaya untuk membuat sampul kad, kotak kecil dan beg kertas mini untuk ‘membungkus’ kad-kad saya itu. Tempoh itu adalah satu jangkamasa yang sukar kerana harga siling ialah 40 sen, sedangkan kos pembuatan semakin meningkat.

Untuk mengekalkan pembelian berulang, saya dapati bahawa saya perlu cepat menghasilkan corak kad yang baru dan mula menyimpan satu sample bagi setiap kad untuk dijadikan katalog. Kadang-kadang, kawan-kawan lebih gemar memilih kad yang itu-itu juga. Saya pula tak kuasa nak mengingat setiap rekaan yang pernah saya buat. Maklumlah, kadang-kadang ilham rekaan itu turun dari langit. Eheh :P

Untuk tujuan promosi dan words-of-mouth, saya dapati strategi pengiklanan yang berkesan dan percuma ialah Zarina. Zarina adalah rakan sekelas saya yang menerima belanja setinggi RM2.50 sehari dan ini membuatkan Zarina melonjak naik sebagai pembeli terbesar koleksi kad saya. Lagipula, Zarina seorang yang comel dan manja. Semua kawan ingin meniru apa yang Zarina beli, dan apa yang Zarina ada. Zarinalah duta kad saya yang tidak bergaji. Tetapi sekali-sekala saya memberikannya limited edition card yang tidak dijual kepada mana-mana kawan sekalipun. Eceh :P

Perniagaan olok-olok saya itu hanya bertahan selama 4 bulan. Peperiksaan akhir bakal menjelma dan saya tidak mahu mati dibunuh oleh Bapak kalau keputusan saya buruk. Saya rasa terkilan juga kerana saya tahu, musim peperiksaan bermakna ada pasaran untuk kad-kad ucapan selamat maju jaya yang bakal mendatangkan pulangan menguntungkan. But then, it’s a matter of choice.

Sekian, kisah perniagaan bermusim saya :P

Tuesday, November 24, 2009

I'm sharpening my axe

Saya melihat satu trend yang begitu memuncak dalam persekitaran saya hari ini. Trend berniaga!
.
9 daripada 10 cabang rezeki datangnya daripada perniagaan. Ini adalah kata-kata yang selalu diungkapkan oleh mana-mana orang sekalipun. Untuk orang Melayu yang beragama Islam, kata-kata ini lebih bersifat peribadi dan terasa dekat di hati. Rasulullah SAW sendiri menjalankan aktiviti perniagaan - begitulah ayat popular yang meniti bibir masing-masing.
.
Saya tidak kata bahawa berniaga itu tidak baik. Berniaga adalah jalan yang bagus. Sendiri kerja, sendiri makan. You are your own boss. Wah, ini memang sudah cukup untuk memancing minat para kuli batak yang sudah kebosanan dalam rutin harian yang itu-itu juga. Apatah lagi bagi mereka yang sudah naik meluat dengan karenah politik pejabat yang tak sudah-sudah. Bukan sedikit yang termakan gula-gula manis ini, lalu mengambil keputusan drastik berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.
.
Sebelum anda membuat keputusan yang akan menentukan hidup dan mati itu, saya sarankan anda membaca buku Memulakan Bisnes Sendiri oleh Ainon Mohd. Buku ini boleh dikatakan sesuatu yang ringan – terutamanya jika anda rasa topik perniagaan adalah sesuatu yang serius dan menyakitkan kepala. Eheh. Sekurang-kurangnya buku ini membuatkan anda berfikir sejenak kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku sepanjang anda mengusahakan perniagaan kelak. Itu membolehkan anda melengkapkan diri secukupnya.
.
Sesetengah orang berpendapat, untuk menjadi hebat dalam perniagaan anda tidak perlu ada Bachelor In Business Studies. Apa yang perlu ada ialah keberanian dan keazaman. Itu memang betul. Betapa ramainya orang yang belajar ilmu perniagaan secara formal, tetapi berakhir dengan makan gaji. Dan berapa ramainya mereka yang tampil berjaya dengan berlatarbelakangkan pendidikan yang tidak seberapa.
.
Tetapi orang tidak tahu bahawa mereka yang berjaya tanpa sesi pembelajaran formal itu melalui siri pengalaman hidup yang mempersiapkan mereka untuk menghadapi badai dalam perniagaan. Sudah tentulah, perkara ini tidak diceritakan. Bak kata Soichiro Honda,
.
"Success represents the 1% of your work which results from the 99% that is called failure"
.
Saya bersetuju bahawa setiap yang kita lakukan dalam hidup ini memerlukan ilmu dan perancangan. Itu tidak semestinya terhad kepada dunia bisnes semata-mata. Tidak ramai yang ingin bersusah-payah untuk mempelajari sesuatu bermula dari bawah. Semua orang inginkan wang dengan cepat dan banyak melalui usaha yang minima atau tanpa sebarang usaha. Perkara ini bagi saya adalah sesuatu yang mustahil, walaupun memang seronok untuk dibayangkan.
.
Seseorang yang berkunjung ke rumah saya berkata,
.
“Engkau ni cakap aje lebih. Buku dah banyak dibaca. Pi mai pi mai tang tu jugak”
.
Saya tergelak besar. Gelak ada 2 makna. Satu, menggelakkan ayat kawan saya itu. Dan yang kedua ialah menggelakkan diri saya sendiri. Sudah tentulah gelak yang kedua itu agak pahit bunyinya. Kahkahkah!
.
"If I had six hours to chop down a tree,I will spend the first four hour sharpening the axe" ~ Abraham Lincoln ~
.
I’m sharpening my axe, u’ols :P


Monday, November 23, 2009

Apa saya akan buat kalau saya jadi kamu

Seorang junior saya mendapat tawaran untuk menyambung Ijazah Sarjana. Junior saya itu, baru saja menghadiri Majlis Konvokesyen untuk Ijazah Pertamanya dan kini bekerja secara sambilan – dalam pekerjaan di luar bidang pengajiannya.

Dia bertanya kepada saya,

“Kalau Akak jadi saya, Akak buat apa? Nak kerja ke, nak sambung belajar?”

Sebetulnya, saya sangat terharu kerana diajukan soalan sedemikian memandangkan status saya yang sebegini - seseorang yang bukan siapa-siapa untuk dibandingkan dengan kelayakan akademik yang disandangnya.

Tanpa ragu-ragu saya menjawab,

“Go for your Master”

“Tapi saya ingat lebih baik saya kerja. Penatlah nak belajar lagi”

Saya tersenyum. Saya tahu alasan ‘penat belajar’ adalah alasan yang popular. Tetapi yang popular itu tak semestinya betul.

“Awak baru 23! Pergilah belajar. Kalau nak kerja, awak mesti kerja dalam bidang awak. Baru berbaloi”

Sebenarnya, saya tidak merasakan bahawa junior saya itu cukup fit untuk bertarung dalam industri. Saya tahu, saya tidak layak untuk memberikan penilaian kasar. Tetapi saya rasa, menyambung Sarjana adalah pilihan yang terbaik untuknya saat ini. Dengan Sarjana, dia akan keluar sebagai seorang pensyarah dalam persekitaran pendidikan. Itu adalah jalan yang bagus. Jalan selamat.

Sebagai seorang yang sudah mencecah 29 tahun, saya tahu bagaimana rasanya menjadi 23 tahun. Pada usia 23, kita rasa kita ada banyak masa. Oh, aku muda lagi! Tetapi hakikatnya tidak begitu. Dalam masa 2-3 tahun lagi, saya pasti dia akan mendirikan rumahtangga. Kemudian beranak-pinak. Tidak ada masa lagi untuk menyambung pengajian. Hidupnya akan berlegar dalam kehidupan berkeluarga semata-mata.

Saya tidak mengatakan bahawa wanita berkeluarga tidak mampu belajar, bekerja dan mengurus rumahtangga sekaligus. Tetapi jalan itu menuntut usaha yang banyak. Bukan saja pengorbanan masa, tenaga malah pengorbanan perasaan. Lebih mudah baginya untuk menyambung pelajaran pada ketika ini. Tanpa komitmen. Tanpa ‘excess baggage’. Tanpa kemungkinan untuk mengandung. Dan risiko-risiko lain yang menakutkan. Tiada halangan untuk menggarap Anugerah Dekan. Eheh.

Sebelum perbualan kami berpindah ke topik lain, saya tegaskan sekali lagi kepadanya,

“Kalau Akak jadi awak, pada usia 23 tahun – Akak akan sambung Master”

Now, I wish I’m 23. Kahkahkah!

Friday, November 20, 2009

Apa ada pada nama

Saya jarang sekali membeli sesuatu yang berjenama. Ketika bergaji serendah RM800 suatu ketika dahulu, saya menetapkan bahawa setiap baju, seluar mahupun beg yang saya gunakan mestilah bernilai di bawah RM20. Lebih daripada itu, saya tidak akan beli. Tidak sekali-kali.

Sesuatu yang cantik dan berkualiti tidak semestinya mahal. Seluar dan baju yang diasak sekurang-kurangnya sekali seminggu, dibasuh mesin dan dijemur di bawah terik mentari masih boleh bertahan sekurang-kurangnya 5 tahun. Ini berdasarkan pengalaman sebenar saya.

Pendek kata, dalam hal memilih baju – saya tidak mementingkan nama. Saya tengok jenis tekstil yang sesuai mengikut kegunaan. Dan yang paling utama ialah harganya. Dalam keadaan kuasa membeli yang terhad, faktor harga memainkan peranan yang besar.

Sebaliknya, dalam hal ehwal politik dan menentukan hala tuju negara saya lebih mementingkan nama. Nama parti. Walaupun dalam sesetengah keadaan calon yang diketengahkan tidak menarik perhatian saya, tetapi saya tetap mengundi parti yang itu-itu juga. Satu undi saya mungkin terasa kecil. Tetapi satu undi itu boleh mengubah letak duduknya tunjang pemerintahan di peringkat atasan. Dalam menilai prestasi sesebuah parti, saya cenderung untuk melihat sejauh mana kepemimpinan itu mampu membawa kemakmuran kepada negara. Contoh paling mudah – kalau satu negeri pun kau tak boleh handle, takkan aku nak kompromi bagi kau perintah satu negara? Haihh. Gila la kalau saya buat begitu. Tetapi kini saya lebih gembira kerana saya lihat ada tiupan angin perubahan yang sedang mengambil tempat. Hampir kesemua parti politik telah memberikan perhatian yang serius dalam isu pemilihan calon. Baguslah.

Saya beritahu Mr Daddy, kalau semua orang di dunia ini mendahulukan nama – habislah saya!

Katakan saya calon A dari Kilang Kicap Cap Ayam. Dan lawan saya ialah calon B dari Kilang Multinasional. Jika pengundi memilih nama – dari awal lagi saya sudah kalah.

Mr Daddy menjawab,

“Kalau saya pilih pekerja, yang tak ada penglibatan sukan saya tolak tepi awal-awal. Susah la nak keje dengan orang yang kaki buku – diorang ni biasanya tak reti buat keje”

Ceiss. Kalah lagi!

Ehh....catur tidak boleh dikira sebagai sukankah? Malah pertarungannya lebih hebat kerana pemain catur bertanding atas kekuatan individu. Kalau setakat main hoki tu, yang letih cuma seorang dua. Selebihnya pakat lari-lari anak saja. Tak aci, tak aci.

Wednesday, November 18, 2009

Setia kasih....

....ialah sebuah lagu yang sangat top ketika saya berada di sekolah rendah. Penyanyinya ialah Haleeda. Saya paling suka rangkap terawal dalam lagu tersebut,

Sekali air sungai melimpah
Sekali pasirnya pun berubah
Itulah falsafah yang menjadi ikutan dan juga bualan

Tapi bagiku pula berbeza
Sungai mengalir tetap berliku
Yang berubah cuma hanyalah pasir saja menujunya muara

Apabila saya fikirkan semula dengan menggabungkan sedikit teori Sains (ececewahhh....), agen perubahan dalam lirik di atas ialah sungai. Sungai yang merubah persekitarannya. Oleh itu, sungai memang tidak terjejas. Apalah lu ni Haleeda! Bikin gua pening je :P

Tetapi pasir – kesian. Malang sungguh. Air sungai melimpah pun pasir berubah. Air sungai mengalir berliku pun pasir berubah juga. Tidak konsisten. Tiada pendirian tetap. Eh, ke situ pulak saya :P

Ustaz saya bilang,

“Kamu semua bila besar nanti jadilah macam ikan. Walaupun air laut itu masin, ada ikan tu jadi masin?”

“Ada! Ikan masin Ustaz!”

Kahkahkah! Siapakah anak murid yang menyampuk cakap Ustaz itu? Macam kenal :P

Apa pun, segalanya bergantung kepada diri sendiri.

Kadang-kadang, kita berubah kerana kita telah membuat bedah siasat ke atas perjalanan hidup kita. Mungkin kita rasa – oh, aku patutnya tak buat begitu, patutnya begini. Kita ubah cara kita supaya hasilnya berbeza. Macam buat eksperimen jugalah.

Kadang-kadang, kita berubah kerana persekitaran kita. Saya ambil kisah seekor kucing di rumah saya. Kami sebenarnya tidak membela kucing. Tetapi kucing ini selalu datang makan lebihan makanan yang ada. Sekali-sekala kucing ini curi-curi masuk juga ke dalam rumah. Bila saya ada, biasanya kucing ini mencicit lari sebab takut tengok saya jegil mata.

Semalam, kucing ini tetap masuk ke rumah siap bersantai di atas sofa walaupun saya sedang duduk di sofa bersebelahan. Wah, berani kau kucing!

Hujan lebat di luar. Sejuk. Lantai pula basah. Mau tak mau, kucing itu bantai saja beristirehat di sofa. Walaupun saya ada. Ya, kucing itu telah melakukan satu anjakan paradigma atas desakan persekitaran. Kahkahkah!

Saya rasa, perubahan itu perlu.
Tidak kiralah sama ada itu berpunca daripada faktor dalaman, ataupun faktor luaran.

The Proposal

Malam tadi, kalau mengikut jadual saya sepatutnya menonton Cik Ah Cik Nin. Ah ah ah. Saya memang sukakan drama itu. Pertama, kerana drama itu membuatkan saya tidak perlu berfikir – kita hanya perlu melayan jalan ceritanya sambil kunyah-kunyah muruku. Kedua, kerana drama itu menampilkan watak-watak yang membuatkan saya mati kutu – baguslah, kini saya optimis bahawa saya lebih pandai daripada kebanyakan orang (terutamanya orang dalam drama itu). Ketiga, saya sukakan hampir kesemua pelakon dalam drama itu. Mereka memang hebat! Drama yang bodoh-bodoh alang pun boleh jadi menarik apabila dibintangi oleh mereka yang berbakat.
.
Akan tetapi, jadual saya itu terganggu apabila Mr Daddy bertanyakan soalan ini,
.
“Awak nak tengok DVD tak?”
.
“Cite apa?”
.
“Macam-macam ada. Tapi drama ada satu je”
.
Perkataan “drama” adalah merujuk kepada filem-filem yang Mr Daddy klasifikasikan sebagai tidak wajib ditonton di pawagam. Bebas daripada sebarang teknologi kesan khas mahupun bunyi. Kalau tonton di pawagam memang membuang duit. Hmmm. Sejak kelahiran Ziyad, semua filem tak kiralah filem aksi atau filem drama telah dipukul rata menjadi filem tontonan di rumah. Isy, tak sanggup mak nak berdrama pulak dalam panggung wayang tu. Kalau drama Ziyad tidur berdengkur takpe. Kalau drama Ziyad melalak? Oh, that is a big no-no! I’m not a risk taker :P
.
Berbalik kepada DVD drama tadi – saya telah memilih untuk menonton The Proposal. Yezzaa. I heart Sandra Bullock! Kali terakhir, saya menonton beliau dalam Miss Congeniality.
.
Komen saya ialah – permulaan ceritanya mengingatkan saya kepada The Devil Wears Prada. Anda tahulah, watak workaholic Lady Boss yang berjaya dalam karier tetapi gagal dalam kehidupan peribadi. Dan filem ini, sebagaimana The Devil Wears Prada turut mengungkapkan idea yang sama – jika anda mempunyai Bos Wanita, bermakna hidup anda akan sengsara. Dragon Lady yang cerewet, mempunyai piawaian tinggi untuk dipenuhi dan bekerja tanpa henti. Ada sedikit permainan gender di situ. Adakah semua Bos Wanita begini? Hmmm.
.
Pendek kata, The Proposal sebenarnya biasa-biasa saja. Tetapi saya belajar sesuatu yang baru. Saya baru tahu waktu siang di Alaska adalah lebih panjang, dan bagi sesetengah tempat seperti di Fairbanks, waktu malamnya hanya 2 jam sahaja.
.
Geli hati pula bila mengingatkan bagaimana saya bertanya kepada Mr Daddy,
.
“Eh, apasal dia cakap goodnight, kan terang lagi kat luar tu?”
.
“Sana kan Alaska, siang lagi panjang”
.
??
.
Oh, saya terasa sangat bangang. Tetapi saya enggan kelihatan terlalu bangang. Jadi saya pendamkan soalan saya itu tanpa bertanya lebih lanjut. Pagi ini saya terus berjumpa Pakcik Google lalu menaip,
.
Where is Sitka, Alaska?
.
:P

Tuesday, November 17, 2009

Rahsia kekal jelita

Wah, tajuk memang tak boleh tahan :P
.
Seorang kawan bertanya kepada saya,
.
“Ko berpantang macam mana lepas caesarean dulu?”
.
Saya tak tahu bagaimana untuk menjawab soalan ini. Saya tahu, apa yang kawan saya maksudkan ialah dari segi pemakanan jamu dan adat-istiadat berpantang tradisional.
.
Saya cuma makan menu yang seimbang. Ibu saya masakkan sup ikan haruan, kerana Doktor berpesan bahawa ikan haruan mempunyai kadar protein yang tinggi – sangat membantu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka. Saya juga pulun buah oren yang Mr Daddy belikan berkilo-kilo kerana saya sangat bimbang sekiranya terkena sembelit.
.
Saya sangat berdisiplin mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh Doktor terutamanya kapsul pelembut najis walaupun realitinya, saya sangat fobia menelan pil - apatah lagi kapsul! Saya rasa saya lebih takutkan sembelit (sembelit lagi!) Jika disuruh pilih antara 2, nak telan ubat atau nak kena sembelit - saya lebih rela telan ubat. Saya juga takut kalau-kalau jahitan saya menjadi gatal-gatal, ada jangkitan atau berisiko untuk dijahit semula – jadi saya sangat patuh dengan arahan Doktor. Selebihnya memang saya tak buat apa-apa.
.
Tapi pati ikan haruan saya tak lalu nak telan. Saya dah cuba. Tak sampai seteguk, baunya saja sudah buat saya ingin muntah hijau. Ingin saja. Belum muntah betul-betul lagi. Kahkahkah! Masih tersimpan 5 botol pati ikan haruan dalam kabinet dapur. Nantilah. Kalau sudah cecah tarik luput, bolehlah saya memindahkan kelima-limanya ke tong sampah. Shhh. Jangan beritahu Mr Daddy. Itu dia yang beli. Hohoho.
.
“Kalau ko tak makan jamu, macam mana badan ko boleh susut? Tak nampak boroi pun?”
.
Oh, boroi atau tidak itu hanya empunya badan yang tahu. Kahkahkah! Lagipun saya bukannya Aishwarya Rai, kena pakai baju sendat sampai nampak pusat. Pandai-pandailah sorok mana yang patut. Nampak tak, betapa indahnya Islam? Wah gitu!
.
Hakikatnya, selepas bersalin saya sebenarnya kepenatan. Bila badan penat, selera pun mati. Bila kurang makan, badan pun jadi ringan. Lagipun Ziyad banyak membantu menyedut keluar lemak-lemak daripada badan saya. Kahkahkah! Pendek kata, dalam masa seminggu saya mengalami penurunan berat daripada 62kg kepada 52kg. Ketika Ziyad berusia 8 bulan, saya kembali kepada berat saya sewaktu di Tingkatan 3 iaitu 45kg. Gila! Berat terkini, saya tidak pasti. Janji saya boleh tutup zip seluar-seluar saya yang sedia ada cukuplah. Ngeee :P
.
Sesiapa yang nak slim, bolehlah pinjam Ziyad daripada saya. Ziyad – Program Penurunan Berat Yang Terbukti Berkesan. Memang terhangat di pasaran ni :P
.
Ibu saya kata saya nampak kerempeng. Tetapi itu hanyalah permainan ilusi optik. Mata boleh terpedaya dengan banyak perkara. Contohnya, dinding putih membuatkan ruang nampak luas. Dinding gelap membuatkan ruang nampak lebih sempit. Oleh itu, jika ingin nampak kurus sila rujuk skema warna yang sesuai. Tetapi janganlah pakai warna hitam sepanjang tahun. Nanti orang ingat anda berkabung pula.
.
Begitupun, saya diselubungi masalah lain. Bagaimanakah mengatasi masalah bentuk muka bumi yang tidak memenuhi piawaian? Saya nak bentuk biola ya. Bonggo-bonggo ni saya tak mahu.
.
Menggeleberrrr....menggeleberrr....
.
Venci!

Biasalah

Seorang rakan sekuliah semasa saya di Universiti dulu pernah berkata,

“Kalau ko nak jadi arkitek, ko takleh jadi baik sangat”

“Baik macam mana pulak?”

“Lurus. Skema. Bendul. Pakai tudung. Aku tak reti nak explain la. The real life is totally different”

“Lain yang macam mana?”

“Kalau nak dapat projek, ko kena entertain customer. Bawak pegi makan-makan. Main golf. Night outings. Kasi dia minum-minum. Kasi dia perempuan”

“Merepeklah!”

“Oi makcik! Bapak aku ada firm ok? Aku taulah. Benda-benda tu semua biasa”

Apabila saya menceritakan hal ini kepada seorang kawan yang lain di Jabatan Kerajaan, jawabnya kepada saya ialah,

“Aku tak pernah lagi jumpa kes macam tu. Tapi biasalah, kalau dah start open tender memang berlambak dapat jemputan minum-minum teh ni. Nak pulak masa bulan puasa. Kenyanglah bukak puasa kat hotel!”

Oh, rupa-rupanya apa yang saya anggap luar biasa adalah sesuatu yang biasa.

Biasalah.

Now I’m glad that I didn’t work in architect’s firm. I didn’t work in public sector either.

Who's your bestfriend?

Seperkara yang begitu ketara tentang wanita ialah mereka merupakan makhluk Tuhan yang paling suka bersosial. Maksud saya, dari segi perhubungan sesama manusia. Eh, samalah tu kan? Kahkahkah!

Kalau pergi makan, mesti nak keluar sama-sama.
Kalau pergi shopping, mesti nak pilih sama-sama.
Kalau pergi surau, mesti nak jalan sama-sama.

Dalam satu seminar, ketika kami berhenti rehat seketika untuk minum pagi, saya begitu terkejut apabila diajukan soalan,

“Eh, you nak pergi toilet tak? Jom kita pegi sama-sama?”

Adoi. Saya betul-betul tak biasa dengan keadaan ini. Terasa kekok. I'm a lone ranger!

Berdasarkan pengamatan saya, orang lelaki pula sebaliknya. Kebanyakannya (walaupun tidak semua) bergerak bersendirian. Kelakar juga kalau ada orang lelaki yang pergi ke tandas berdua. Hahaha! Sangat mencurigakan di situ :P

Keadaan ini menyebabkan saya bertanya kepada Mr Daddy,

“Yang, bestfriend awak sapa?”

“Takde”

“Aihh takkan takde kot? Awak kan ramai kawan?”

“Kawan biasa aje la. Bukan rapat pun”

“Am?”

“Tu sebab sama kolej kat uni”

“Budin?”

“Tu sebab dulu saya selalu lepak umah dia sebelum solat Jumaat”

“Alaaa....cuba awak fikir betul-betul”

“Hmm. (pause) Ziyad”

A-P-A-K-A-H?

Well, I always say that my mother is my best friend. But it is weird to hear that my husband’s best friend is his son.
:P

Monday, November 16, 2009

Do I look like an accountant?

Dua hari lepas saya habiskan dengan mengikuti satu kursus jangka pendek. Walaupun itu bermakna mengorbankan cuti hujung minggu, saya dapat merasakan satu kepuasan. Penat tetapi berbaloi-baloi.

Errr, adakah perkataan berbaloi-baloi ini diiktiraf sebagai perkataan yang betul dalam konteks bahasa? Mungkin betul agaknya sebab tiada pula bangkangan atau demonstrasi yang berlaku disebabkan oleh penggunaan perkataan sedemikian secara terang-terangan di media elektronik :P

Berbalik kepada cerita di kursus selama 2 hari itu – saya telah ditegur oleh salah seorang peserta yang duduk di belakang saya,

“Do you mind if I ask? Are you an accountant?”

“No, I’m not”

“Do you do something related to finance?”

(LOL :P) What makes you think that way?”

“Because of the way you write the coursework - the way you put the things in sequence. And the way you hit the numbers on the calculator”

Kahkahkah! Anda sangat lawak, Puan Nor :P

Memang kelakar kerana saya dan nombor adalah kutub magnet yang saling bertolakan. Ini fakta. Saya memang takut dengan nombor.

Saya ingin menjawab begini,

“Oh, agaknya sebab saya asyik mengira gaji saya dan berfikir bilakah saya akan jadi jutawan”,

tetapi perasaan segan menghalang saya daripada meneruskan kata-kata. Menonjolkan diri sebagai seorang yang materialistik adalah tidak bagus untuk reputasi, apatah lagi di hadapan seorang yang baru anda kenali :P

Begitupun, saya terasa sedikit kagum. Selama ini, saya ingatkan hanya saya seorang saja yang suka menilik tingkah laku orang lain. Kali ini, tidak semena-mena saya pula yang menjadi objek tilikan. Hah, barulah bertemu buku dengan ruas katanya kannn.....Kahkahkah!

Kesimpulannya, setiap orang memang berpotensi untuk melakukan pelbagai perkara yang tidak terduga. Dalam kebanyakan hal, yang menjadi penghalang adalah diri kita sendiri. Kita yang takut. Kita yang tak yakin. Sedangkan tiada apa yang mustahil. Kan?

Saya rasa saya patut beli produk Power Root. Kata iklan itu,

“Semua orang boleh jadi jutawan”
Cet! Langsung tak relevan.
.
:P
I Love to Talk About Ideas
I like my conversations to be deep and meaningful. I am not a big fan of small talk.
I am open to all sorts of conversation topics, especially if they are unique or interesting. I love it when a conversation takes me somewhere unexpected.

I will talk about anything, even if it's controversial or weird. I'm not shy about speaking my mind.
I may shock people with what I'm willing to talk about, but at least it's more interesting than discussing the weather.