Search This Blog

Loading...

Quotable Quotes



The best of people are those that bring most benefit to the rest of mankind

My Loyal Readers

Wednesday, September 30, 2009

3M

Pagi tadi Ms Chong telah mengumpan saya dengan pertanyaan cepumas,
.
“Eh Zufa. Malays celebrate Raya satu bulan kan?”
.
“Malays – ya. Moslems – no”
.
“Eh, itu dua-dua pun sama la. Malays are Moslems maaa”
.
Mendengarkan perbualan itu, Mr C pula menyampuk,
.
“Bila you mau bawak itu kuah sate (kuah kacang)? Saya mau makan la”
.
Eheh. Now I can clearly see the whole picture!
.
Sebenarnya, saban tahun saya akan membawa juadah hari raya ke pejabat sebaik sahaja mula bekerja setelah bercuti menyambut Syawal. Tetapi tidak kali ini. Mungkin itulah yang menyebabkan mereka bertanya. Penat agaknya menunggu saya datang berlenggang-kangkung tanpa membawa mangkuk tingkat. Ngeee….
.
Entah kenapa tahun ini saya malas. Menjadi satu-satunya Perempuan Melayu Pertama (dan mungkin yang terakhir) yang menghuni Tingkat Atas Kilang Kicap Cap Ayam selepas hampir 15 tahun kilang ini beroperasi membuatkan saya tidak dijemput dalam kebanyakan acara. Contohnya acara makan-makan di Kedai Bak Kut Teh. Mencicip daging salai CNY. Atau dipelawa minum XO. Diajak menjadi pelengkap meja judi juga tidak. Kahkahkah! Baguslah. Itu menandakan mereka tahu di mana letak duduk diri saya. Saya tidaklah berkecil hati pun.
.
Sehinggalah saya memulakan kebiasaan membawa buah tangan ke pejabat. Dan memberi hadiah ketika hari lahir atau meraikan kedatangan ahli keluarga baru dalam hidup mereka. Barulah keadaan itu berubah. Misalnya, mereka cuba untuk memikirkan restoran manakah yang diberi pengesahan halal. Membelikan oleh-oleh ketika bertugas di luar kawasan. Atau sekali-sekala mengajak saya makan tengahari di KFC yang memang dijamin boleh dimakan tanpa was-was. Dalam sekecil-kecil hal, sekurang-kurangnya mereka tolong menghalau anjing-anjing yang gemar bersantai di bawah kereta kerana sudah arif dengan haiwan yang hukumnya najis besar dalam Islam itu.
.
Ketika entry ini sedang ditaip, Ms Chong tiba-tiba datang ke tempat saya sambil menghulur beg kertas berisi sebuah kotak yang cantik berhias,
.
“Ini Moon Cake, halal punya. Orang Islam boleh makan. Jangan takut aaa. Tak ada babi”
.
Saya sekadar tersengih.
.
Agaknya memang betul kata Ustaz dari seberang dalam siri Rawat Hatinya, Bangunlah Insan semalam. Untuk melakukan perubahan, mesti menggunakan rumus 3M:
.
Mulakan dengan diri sendiri.
Mulakan dengan perkara yang kecil.
Mulakan sekarang.

Rich friends, poor friends

Saya dibesarkan dalam persekitaran yang mana kebanyakan kaum ibu tidak keluar bekerja, dan majoriti keluarga rata-ratanya bergantung hidup kepada satu sumber pendapatan iaitu 100% daripada kaum bapa. Untuk keluarga saya, Ibu tidak mempunyai pilihan melainkan untuk terus bekerja. Kami dihantar ke rumah pengasuh yang merupakan jiran yang tinggal setaman perumahan, sepanjang ketiadaan Ibu dan Bapak untuk bekerja menyara keluarga.
.
Hampir keseluruhan usia kanak-kanak saya habiskan dengan membuat andaian bahawa kawan-kawan yang mempunyai orang gaji di rumah itu adalah orang kaya. Dulu, tiada istilah bibik. Pembantu rumah dikenali sebagai orang gaji.
.
Bagi saya, kawan-kawan yang ibunya bergelar surirumah tangga adalah ibu yang kaya kerana mereka tidak perlu keluar rumah untuk mencari wang.
.
Saya juga rasa kawan-kawan yang mempunyai komputer di rumah adalah orang kaya.
.
Rumah 2 tingkat yang dimiliki sendiri bermaksud orang itu orang kaya.
.
Kawan-kawan yang datang ke sekolah dengan dihantar oleh ibu bapa yang berkereta juga orang kaya.
.
Yang menerima belanja sekolah RM1 sehari dikira kaya. Tapi yang paling kaya tentulah kawan-kawan yang diberi wang belanja RM2 sehari.
.
Lantaran itu, saya merasakan diri saya miskin.
.
Untuk Adik saya, yang berjarak usia 5 tahun lebih muda – orang yang paling kaya ialah Redza, samseng taman yang pernah saya tumbuk (dan menyepak saya kembali). Redza memiliki koleksi guli paling banyak di kalangan semua! :P
.
Sudut pandang seorang kanak-kanak memang telus dan terus. Saya beranggapan, pada usia sementah itu, terasa agak pelik juga bagaimana begitu banyak perkara yang bersarang dalam kepala saya. Tiada siapa yang memberitahu saya apakah kriteria yang membolehkan kita melabel seseorang sebagai kaya atau miskin. Saya juga tidak pernah bertanyakan soalan itu kepada Ibu seperti mana yang biasa saya lakukan. Tetapi anggapan itu datang sendiri, mungkin kerana memang saya cenderung untuk memerhati. Dan memerhati lagi.
.
Saya bersetuju dengan pendapat pakar bahawa usia 6 tahun pertama dalam kehidupan akan membentuk hampir keseluruhan corak hidup seorang insan. Bukan pada zaman persekolahan. Bukan pada zaman tinggal di asrama. Bukan pada zaman belajar di universiti. Juga bukan pada zaman mula bekerja. Tetapi yang paling banyak tersemat di ingatan dan membentuk keperibadian ialah pada zaman awal kanak-kanak.
.
Setiap kali saya melihat wajah anak saya, saya pasti bahawa suatu hari nanti dia pasti akan mengamati dan menilai persekitarannya – seperti mana saya dulu-dulu. Entah apalah yang akan difikirkan olehnya nanti.
.
Saya harap saya dapat memberikannya asas yang baik dalam hidup.

Memilih atau materialistik?

Kebanyakan orang membuat andaian bahawa anak saya seorang yang tidak mesra alam. Keadaan ini berlaku berikutan sikap anak saya yang menolak setiap kali orang yang jarang dijumpainya cuba mendukung atau mendekatinya. Sama ada anak saya akan berpaling daripada melihat wajah orang itu, ataupun secara terang-terangan menepis terus tangan yang ingin merangkulnya.
.
Untuk seorang dewasa yang normal, situasi ini memberikan satu tamparan hebat. Semacam satu penolakan. A total rejection. Dan memang sesuatu yang biasa untuk mendengar orang sebegini mengeluarkan kata-kata spontan seperti,
.
“Eh, dia ni tak nak dengan orang. Sebab Nenek yang jaga, tu yang tak biasa tu”
.
“Amboi bukan main sombong lagi. Kalau sombong macam ni, awaklah yang rugi”
.
“Dia ni tak pernah jumpa orang ni”
.
Saya sekadar tersenyum. Ayat sama yang selalu diulang-ulang. Terus-terang saya katakan, saya tidak suka dengan komen sedemikian. Senang cerita, saya tidak pernah memberikan ulasan tak berbayar tentang anak orang lain. Jadi saya tidak nampak apakah rasionalnya untuk orang lain menggugat kestabilan emosi saya. Kahkahkah!
.
Hakikatnya, anak saya bukanlah seorang yang tidak pandai bergaul – walaupun tidak dihantar ke taska. Malah, menurut pengamatan saya, Ziyad sebenarnya seorang yang peramah terutamanya di kalangan ‘rakan sebaya’ dan golongan ‘bukan dewasa’. Saya kerapkali terlihat percubaan demi percubaan yang dilakukan olehnya untuk berkomunikasi dan berkawan yang memang lucu bila diingat-ingat.
.
Mula-mula mesti ada mukaddimah bahasa badan – matanya akan bersinar-sinar, tangannya akan menyentuh bahu si kawan dan dia akan tersenyum sehingga menampakkan hampir keseluruhan giginya. Mak oiii, manisnya senyuman!
.
Langkah yang kedua – akan bermulalah dialog Bahasa Java yang telah diperbaharui ke versi 1.9. Pada kebanyakan masa, mangsa yang berpotensi untuk diajak berkawan memang tidak faham langsung apakah yang ingin dibualkan oleh anak saya itu. Sama ada mangsa tersebut masih menggunakan perisian AutoCAD R14 yang tidak mampu membaca Bahasa Java 1.9, ataupun mangsa yang berkenaan berada pada tahap terkehadapan dengan perisian kemaskini AutoCAD 2009 yang mana membuatkan mangsa yang lebih maju itu berasa kebosanan untuk melayan ketamadunan yang dianggap setakat negara dunia ketiga. Hahaha!
.
Setakat ini, hanya sekali sahaja saya melihat anak saya menemui kawan yang sekufu lalu mereka berdua pun berboraklah dengan sakannya dalam bahasa yang hanya mereka berdua fahami. Ini memang ajaib. Siap berbisik-bisik dan berpelukan bagai. Amboi, amboi, amboi! Persahabatan singkat yang terjalin itu diakhiri dengan lambaian beserta ucapan babai yang sungguh menyentuh perasaan. Wah, macam dah kenal lama ya?
.
Berdasarkan pemerhatian dalam beberapa eksperimen yang dijalankan, saya membuat kesimpulan bahawa - anak saya sebenarnya memilih orang. Apakah kriteria yang menjadi penilaian si kecil itu – saya sendiri tak tahu. Nak kata dia hanya melayan orang yang cantik macam Miss Universe atau yang hensem macam gajah aje – tak juga. Nak kata dia menghakimi seseorang berdasarkan keluasan rumah yang dimiliki – tak juga. Tapi kalau Uncle mengajaknya bersiar-siar dengan umpan begini,
.
“Jom, kita naik red car, nak?”
.
Wah, tiba-tiba saja mau pula dia berkepit dengan Uncle. A-P-A-K-A-H?
.
Anakku, sama ada kau telah ditakdirkan untuk menjadi pelumba F1 tersohor atau kau telah mula menunjukkan ciri-ciri materialistik? Mama tidak pernah mengajarmu untuk bersifat kebendaan, tahu?

Tuesday, September 29, 2009

Menangani gejala mata terkatup sendiri

Amende tu?
.
Ah haaa….tak perlu fikir jauh-jauh. Gejala mata terkatup sendiri adalah merujuk kepada keadaan bila mana anda berasa seolah-olah anda berada dalam sebuah ruang vakum. Sila bayangkan bagaimana rupanya patung Buddha bertapa. Kalau mahu disamakan dengan penyakit barah – lebih kurang sudah sampai tahap ke-4. Paling kritikal dan tiada harapan lagi untuk diselamatkan. Jasad berada di depan PC tetapi roh sudah menerawang entah ke mana – mungkin sudah terbang ke lapisan langit ketujuh mengingatkan betapa sedapnya hidup kalau dapat menghadap sebalang maruku sambil menonton sinetron. Kahkahkah!
.
Berikut saya perturunkan 10 Langkah Perawatan Cara Saya:
.
Langkah 1
Bancuh kopi mengikut nisbah campuran konkrit 1:2:4
.
Langkah 2
Memulakan teknik pernafasan berfrekuensi tinggi untuk menyentap neuron yang sangap
.
Langkah 3
Melakukan regangan otot gaya kuang lentang dengan menggunakan kerusi yang sedang diduduki sebagai agen penstabil
.
Langkah 4
Membuat senaman tekan tubi ala gerakan Brown secara rawak ke atas lantai
.
Langkah 5
Mula mengukur jarak perjalanan dari meja kerja ke tandas sebanyak 8 kali dalam unit SI
.
Langkah 6
Melepaskan perasaan dalam bentuk penulisan blog dengan menggunakan format karangan fakta tapi santai
.
Langkah 7
Melaksanakan rutin lawatan sambil belajar ke blog orang lain
.
Langkah 8
Melakonkan aksi menyelak fail dengan pecutan sepantas kilat apabila Bos Besar terpacul secara mengejut untuk mengelakkan kekantoian besar-besaran daripada berlaku
.
Langkah 9
Bancuh kopi buat kali kedua dengan tahap kelikatan 2 kali ganda berbanding nisbah campuran asal
.
Langkah 10
Merakam aksi tidur Si Mangkuk Ayun secara haram menggunakan telefon bimbit litar tertutup dan membuat ulang tayang sambil ketawa terbahak-bahak
.
Anda ada petua lain? Marilah berkongsi :P

Pukul 3 pagi petang

Pukul 3 pagi. Tidurlah intan. Besok bangun lagi. Senda gurauan.

Fuh, layan jugak lagu P. Ramlee ni, ekk? Orang yang segar-bugar pun boleh tangkap lentok kalau didendangkan lagu macam ni masa tengahari buta. Kahkahkah!

Tahap kemalasan telah mencecah paras tertinggi dalam suku keempat tahun ini. Apakah masih tersisa lagi ketupat rendang di celah-celah gigi yang membuatkan kemalasan ini semakin menjadi-jadi?

“Aiyaaa, wa sulah kasi lu bonus satu bulan. Lagi tambah angpau laye pun malas kaa?”

Errr, lain kali Bos Besar jangan hulur satu bulan. Apa kata hulur 2 bulan, mungkin kemalasan ini boleh diubati. Kahkahkah! Dasar tak reti bersyukur. Nasib baik Bos Besar belum terdetik untuk menuturkan ayat-ayat chenta sedemikian. Hanya sekadar ayat imaginasi yang bersarang di minda. Jangan jadi realiti sudah.

Air kopi sudah dibancuh dua kali semenjak 1.30 tengahari. Terapi paling mujarab konon. Takpe, takpe. Kopi berasal dari biji kopi yang secara semulajadinya mengandungi anti-oksida. Yalah tu, Maya Karin. Saya sokong!

Nasib baik ada panggilan mengejut yang julung-julung kalinya datang daripada Restoran Pizza Rizza. Bolehlah membantu untuk melengah-lengahkan waktu kerja yang terasa terlalu panjang ini. Ingatkan Kak Rizza nak hantar sampel Pizza ke, sampel chocolate cake ke. Kahkahkah! Rupa-rupanya dia nak bagi komplen,

“Eh, penat telinga aku nak dengar lagu Madu Tiga Ahmad Dhani ni la. Dah la kuat pulak tu!”

yang membuatkan saya terpaksa menukar nada dering pemanggil kepada lagu yang lain. Patutlah sudah jarang saya terima panggilan sesat dari Apek Balakong. Mesti Apek Balakong terpinga-pinga dengar lagu P. Ramlee versi Indon. Baguslah. Tak payahlah saya layan panggilan sesat lagi. Nanti saya periksa kalau-kalau ada lagu lain yang sedap didengar sementara menunggu panggilan berjawab. Hihihi. Kepada Encik Maxis, silalah buat tindakan susulan. Hantarkan lagu percuma yang lain secepat mungkin, ya?

Baiklah, saya akan cuba mengikut nasihat berguna Kak Rizza yang berbunyi,

“Dah tu, pergi buat keje!”

Hmmm….

Yalah. Saya akan berusaha!

Nanti kalau muncul lagi entry baru, paham-pahamla kannnn…..:P

Kuih raya tahun ini jatuh kepada....

Bila bercakap tentang Hari Raya memang tak sah kalau tak menyebut tentang kuih raya. Entah kenapa, semenjak dua menjak meningkat tua, saya semacam putus selera terhadap kuih raya. Kalau ditanyakan soalan ini,

Ko paling suka kuih apa?”

nescaya akan wujud satu lopongan mulut besar berdiameter 10cm yang sedang berkira-kira menagih jawapan yang tak kunjung tiba. Entahlah. Mungkin sudah muak. Atau belum ketemu cinta hati kuih raya yang baru. Eceh.

Suatu ketika dulu, kuih raya kegemaran saya ialah Tat Nanas.

Kemudian beralih arah kepada Biskut Mazola.

Selepas itu berpaling tadah kepada Almond London.

Selang beberapa tahun, saya terperangkap dalam cinta tiga segi yang melibatkan kesemua suspek yang disenaraikan di atas iaitu – Tat Nanas, Biskut Mazola dan Almond London. Mahu tak mahu, terpaksalah mereka bertiga menerima hakikat untuk berkongsi kasih. Lebih kurang macam Madu Tiga P. Ramlee. Hihi :P

Kegilaan saya terhadap mereka sayangnya tidak kekal lama lantaran perasaan menyampah mula menguasai diri. Agaknya sebab sudah terlalu banyak menghadap (dan melantak), lama-lama jadi bosan. Kahkahkah!

Tahun demi tahun berlalu, deretan kuih-muih raya moden yang canggih walaupun indah di mata namun tidak ada yang benar-benar menggamit selera. Seperti yang saya katakan di awal penceritaan – agaknya memang pintu hati saya sudah tertutup untuk menerima mana-mana kuih raya pun untuk membolosi saluran trakea ini.

Sehinggalah saya berkunjung ke rumah pengasuh saya sewaktu kecil dahulu – dan menemui sebuah balang berisi kekasih lama yang telah berkurun tidak dijamah,

Kuih Lidah Kucing!

Adik Ipar Yang Cantik Rupawan memanggilnya dengan nama Lidah Buaya – yang membuatkan saya hampir ketawa. Errr….saya lebih suka dengan nama Lidah Kucing kerana kedengarannya lebih jinak berbanding Lidah Buaya yang berunsur seram dan tragedi Bujang Senang.

Melihatkan rupa parasnya, memang begitu merendah diri – jauh dari salutan warna-warni yang menceriakan. Tetapi saya tiba-tiba menjadi tertawan dan segala tunas rasa bagaikan mengimbau kembali kesedapannya. Enaknya! Inilah kuih raya kegemaran saya tahun ini. Hahaha!

Tidak tahulah sampai bila Lidah Kucing akan menjadi juara carta jiwaku. Dalam hal kuih raya, telah terbukti bahawa saya bukanlah pencinta yang setia. Eheh.

Duit raya - the rules & regulations

Tradisi memberi duit raya pada asalnya bukanlah amalan orang Melayu, melainkan diimport daripada budaya masyarakat Cina yang memberi angpow setiap kali kedatangan Tahun Baru. Setahu saya, begitulah. Tetapi ya, namanya pun 1 Malaysia kan – banyak perkara yang dipinjam dan disesuaikan, malah secara perlahan-lahan dijadikan satu kemestian pula.
.
Walaupun begitu, amalan bersedekah merupakan sesuatu yang dianjurkan dalam Islam. Tangan yang memberi adalah lebih baik dari yang menerima. Lebih-lebih lagi dalam suasana Aidilfitri – Hari Kegembiraan yang dinantikan. Dan menggembirakan orang tua dengan pemberian wang mendatangkan kepuasan dalam diri, seakan-akan membalas kembali segala jasa dan pengorbanan – sungguhpun sekali imbas kelihatannya seperti bersifat material semata-mata. Apa yang pasti, kanak-kanak adalah golongan yang paling suka mendapat duit raya. Itu tidak dapat dinafikan.
.
Tahun pertama berhari raya sebagai seorang yang mempunyai pendapatan bulanan secara tetap, saya cuma menghulur duit raya kepada Ibu, Bapak dan Adik saya sahaja. Orang lain – sorry – gua tak layan!
.
Tahun yang kedua, lingkungan golongan bertuah dan terpilih untuk menerima duit raya telah diperluaskan kepada sepupu-sepapat yang menunjukkan pencapaian akademik yang baik sebagai suntikan dana. Adalah diharapkan semoga wang insentif itu dapat dijadikan pemangkin kejayaan. Sesiapa yang malas dan tidak bijak – sorry – tiada duit raya bagimu! Akan tetapi, mereka yang kurang bijak namun mempamerkan keunggulan terbilang dalam bidang bukan akademik atau memperlihatkan sahsiah serta kesopanan dan kesusilaan akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Sungguh pilih kasih di situ. Kahkahkah!
.
Tahun yang ketiga, senarai penerima duit raya telah berganda. Maklumlah, status penyanyi solo telah dinaiktaraf menjadi duo berkumpulan dan empayar kesultanan telah melebarkan jajahan takluknya meliputi keluarga Mr Daddy pula. Maka, haruslah pembahagian ufti diperiksa secara terperinci bagi mengimbangi aliran debit-kredit. Sungguhpun begitu, kualiti isi duit raya berjaya dipertahankan dan kekal pada paras yang memberangsangkan.
.
Tahun yang keempat dikenali sebagai Tahun Dukacita – gua tarak mood to the zero. Oleh sebab Ibu berhari raya di Tanah Suci, pemberian duit raya dibekukan seiring dan sejalan dengan hati gua yang membeku dan membuku. Hanya yang benar-benar berketrampilan sahaja akan diberikan duit raya. Keji, keji.
.
Tahun yang kelima iaitu tahun ini – yezzaaaa…..itu mood sudah mari to the max. Wang besar, wang besar sudah dalam genggaman – oleh yang demikian terdapat kecairan modal yang mampu menggalakkan aktiviti duit raya bertukar tangan. Serentak dengan itu, kualiti dan kuantiti sampul raya disemak semula serta diperbaharui. Rombakan dilakukan secara besar-besaran. Mana-mana penerima darjah kebesaran duit raya yang berpotensi diberi tambah nilai. Sebaliknya, orang perseorangan yang tidak menunjukkan peningkatan dan gagal melepasi Ujian Tahap Kecekapan dibuat potongan duit raya secara drastik. Rasionalnya, saya cuba mendidik mereka prinsip paling penting dalam kehidupan iaitu,
.
“What you give, you get back”
.
“You reap what you sow”
.
Itupun jika mereka faham maksud yang tersirat yang cuba saya sampaikan. Saya kan PMT (baca: Perempuan Melayu Tulen), suka berkias dan berlapik orangnya. Eceh.
.
Korang pulak camne? Ada garis piawaian yang digunapakai?
.
:P

Monday, September 28, 2009

Tiba-tiba....

….kepala jadi berdenyut

….badan seram sejuk

….kuku di jari jemari jadi biru dan terketar-ketar

…..rahang atas dan bawah masing-masing menggelatuk

Eh, biar betul. Tadi sihat. Kenapa tiba-tiba rasa macam….nak muntah?

Nak kata keracunan makanan, hari ini bawa makanan dari rumah.

Keluar masuk, keluar masuk tandas. Basuh muka. Basahkan leher. Panas gile nih! Aiseh. Apa kono'eh jang? Nak demam ke nih?

Takmo demam! Takmo demam!

Hampir sejam begitu. Tapi bertenang. Relaks. Buat kopi panas pekat likat melekat kaw-kaw. 4 kiub gula. Gila, boleh diabetes kalau diamalkan selalu.

Selang sejam kemudian – eh, dah eloklah pulak! Dan kembali berblogging. Hahaha!

Berdua lebih baik

….ke Berkepit Lebih Baik adalah lebih sesuai untuk dijadikan sebagai tajuk?

Saya merujuk kepada sikap anak saya yang suka berdua errr….berkepit dengan saya. Sesungguhnya saya sedang mati kutu untuk menangani permasalahan ini.

Beberapa artikel yang saya baca sepintas lalu telah sepakat membawa berkat bahawa sindrom anak berkepit adalah sesuatu yang lumrah. Malah, ada yang menyebut bahawa sebenarnya ini adalah petanda baik yang memperlihatkan perhubungan anak dan ibu yang rapat. Memang bagus apabila anak cenderung memilih untuk berkepit dengan ibunya – berbanding berkepit dengan orang lain.

Tidak ada yang lebih membahagiakan apabila mengingatkan bahawa Ibu sentiasa menjadi pilihan pertama anak-anak terutamanya apabila si Ibu itu ialah diri kita sendiri. Eheh. Tapi orang kata, untuk anak-anak yang menyusu badan, tabiat berkepit itu akan lenyap sebaik sahaja bercerai susu. Betulkah? Hmmm….sedih pula mengenangkannya. Syahdu la pulok!

Saya pernah berkata kepada Mr Daddy,

“Time dia nak berkepit ni, bagi ajela dia berkepit. Pejam celik pejam celik, dia dah besar panjang sok entah dia ingat ke tidak nak berkepit dengan kita”

Ececewah. Memang ayat-ayat cinta seorang ibu mithali!

Tapi kalau Mamanya hilang bayang sekejap pun dah melalak, macam mana gayanya pulak ya?

Ya Allah, tingkatkanlah kesabaranku!

Pisang setandan masak tak sama

Pernah dengar perumpamaan ini?
.
Semasa saya berada dalam Darjah 2, saya menemukan perumpamaan ini dalam sebuah buku tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia yang kini dipanggil subjek Bahasa Melayu. Ketika itu, yang berlegar-legar dalam fikiran seorang budak perempuan berusia 8 tahun ialah,
.
“Ini salah ni. Mana ada buah pisang masak lain-lain? Mestilah masak sekaligus”
.
Lalu kekompiusan itu diajukan kepada Ibu untuk diselesaikan.
.
“Ma, buku ni kata – pisang setandan masak tak sama”
.
“Yalah”
.
“Eh, mana ada pisang masak tak sama? Kalau tak masak, macam mana nak makan?”
.
“Siapa suruh makan yang tak masak?”
.
“Jadi, kalau pisang masak tak sama, kita makan yang masak ajelah?”
.
“Kalau nak merasa pisang kelat, makanlah pisang yang tak masak tu. Bukannya sedap pun”
.
“Kelat pisang kan sedap, yang buat bubur tu?”
.
“Itu pengat pisang. Bukan kelat pisang!”
.
“Oh…..”
.
Ya betul. Memang pesongan jawapan si Ibu sebenarnya telah membuatkan saya terlupa sama sekali pertanyaan asal yang mengganggu fikiran. Sebaliknya, timbul pula pertanyaan yang baru,
.
“Ma, kalau kita buat pengat pisang, sempat makan untuk minum petang tak?”
.
Kahkahkah! Dan terpaksalah si Ibu membuat pengat pisang pula untuk anaknya yang banyak celoteh.
.
Seiring pertambahan usia, saya selalu terkenang perumpaan itu. Bahkan sehingga ke saat ini, boleh dikatakan bahawa perumpamaan tersebut menjadi kata-kata kegemaran saya. Apatah lagi dengan kehadiran Syawal yang membolehkan sanak-saudara jauh dekat berkumpul lagi. Saya lihat keluarga saya. Saya lihat keluarga orang lain. Dan saya buat pengamatan tak bertauliah berdasarkan pemerhatian yang tidak seberapa itu.
.
Orang putih kata,
.
“Don’t judge a person by his relatives”
.
Memang betul. Pisang setandan masak tak sama!

Cerita raya saya

Saya mahu bercerita tentang pengalaman beraya. Tetapi biarlah kali ini saya bercerita tentang kisah raya yang berbeza sedikit. Eceh. Tidak ada yang terlalu pelik sebenarnya.
.
Berhari raya mengikut definisi saya ialah - mendedahkan kehidupan peribadi untuk tatapan umum. Ah ah ah.
.
Sebagai seorang introvert yang 95% daripada keseluruhan hidup didedikasikan demi kemajuan Kilang Kicap Cap Ayam dan Ziyad, serta 5% untuk aktiviti blogging (kahkahkah!) – Hari Raya sememangnya meletakkan saya dalam situasi extrovert secara tiba-tiba. Janggal sekali rasanya untuk menjadi seorang yang peramah di khalayak ramai. Ini adalah kelemahan saya yang ketara. Apa pun, saya berterima kasih kepada bakat lakonan yang mantap dalam diri kerana sesungguhnya orang akan percaya bahawa saya memang ringan mulut – sekiranya saya telah menetapkan minda untuk menjadi seorang yang mesra alam pada waktu yang sepatutnya.
.
Sesuatu yang paling sukar untuk dilakukan ialah mengawal emosi Ziyad-Yang-Tidak-Dapat-Dijangka. Entahlah. Kegiatan berpindah-randah dan pertukaran lokasi secara kerap sejak Syawal menjelma membuatkan Ziyad kadang-kadang (ke selalu?) berperangai yang membuatkan saya gundah-gulana. Anda tahulah perangai yang bagaimana, kan?
.
Saya pernah membaca bahawa anak-anak yang bijak pandai memang bersifat sensitif dan beremosi. Baiklah. Saya anggap saja saya telah melahirkan seorang genius – walaupun terdapat suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa anak saya itu – errr….banyak songel.
.
Walaupun telinga saya tuli dan pekak dan hati saya kering-kontang tetapi tidak dapat tidak, adakalanya saya terasa terguris juga apabila anak saya itu dikomen-komen. Tergurisnya!
.
Dan apabila aspek kejiwaan anak saya itu berada di luar kawalan saya – maka saya pula kelihatan seperti seorang ibu yang tidak kompeten. Terguris lagi!
.
Oh, sudah dua kali guris tapi tak menang pula Peraduan Gores Dan Menang. Yang pasti, Menang-gung Kekalahan adalah. Ya betul, saya memang perasan diri saya kebal - walaupun hakikatnya saya tidaklah sekebal mana. Saya hebat betul dalam seni pementasan dan penghayatan watak. Maklumlah, saya ambil Kelas Teater untuk Ko-Ku di Skudai dulu. Jangan tak percaya!
.
Pada kebanyakan masa, emosi anak saya adalah berkadar langsung dengan emosi saya lalu mewujudkan formula,
.
Ziyad emo = Mama emo kuasa dua
.
Pada ketika itu saya sendiri tidak tahu siapakah yang patut makan selipar – Ziyad atau Mama si Ziyad itu. Kahkahkah! Syukurlah kerana setakat ini, tiada selipar yang menjadi mangsa keadaan.
.
Susahnya menjadi ibu, ya?

Wednesday, September 16, 2009

Wang besar! Wang besar!

Waktu rehat tengahari tadi saya ke bank untuk mengemaskinikan buku akaun. Ececeh. Tetapi hakikatnya itu sekadar taktik kerana niat sesuci lebaran yang tersembunyi di sebaliknya ialah untuk menukar duit baru sempena hari raya. Kehkehkeh! Keji tak?
.
Saya telah menemukan satu muslihat ketika menekan punat untuk mendapatkan nombor giliran iaitu,
.
Tekan A untuk deposit tunai, pengeluaran wang dan mengemaskini akaun
.
Tekan B untuk transaksi lain
.
Dan dukacita sungguh kerana jika punat B yang ditekan, memang sahlah saya akan menjadi penunggu kucing bertanduk kerana kaunter yang ditugaskan untuk urusan lain itu adalah errr – kurang efisyen dalam menjalankan operasinya. Diharap petugas kaunter tidak berkecil hati. Itu hanyalah pemerhatian saya selama 2-3 minit saja dan tidak melambangkan Penilaian Tahap Kecekapan yang sebenar.
.
Selaku seorang pelanggan bank yang bijak, saya pun menekan punat A (hahaha!) dan setibanya di kaunter saya berkata,
.
“Saya nak update buku, boleh?”
.
“Boleh”
.
Dan seterusnya memulakan cucukan soalan secara berhati-hati,
.
“Err, boleh ke kalau saya nak tukar duit raya? Atau kena pergi kaunter lagi satu?”
.
“Sini pun boleh. Puan isi borang ni, ya”
.
Yezzaaa! Bijak kan saya? Bijak kan? :P
.
Oh, tapi itu belum cukup gembira lagi. Ini kerana setelah buku akaun siap dikemaskinikan - wah, bebola mata saya terus dikaburi dengan simbol RM. Ada satu bulan bonus, nyah!
.
Oh, oh, oh. Itu pun belum cukup meroyan lagi. Gaji bulan ini juga telah dimasukkan lebih awal berbanding biasa!
.
Dan setibanya saya di pejabat – Mrs Chong Cheng Cun pula telah menghulurkan saya kepingan wang RM500 untuk angpau raya, dengan tulus ikhlas daripada Kilang Kicap Cap Ayam. Yippee! Ini baru betul-betul beraya sakan. Oh Bos Besar, masih ada juga terselit perasaan sayangmu terhadapku. Tengkiu Bos :P Tapi tahun depan Bos jangan buat-buat lupa pulak, mesti naikkan gaji hokey?
.
Hmmm….sekarang saya sedang berusaha dengan begitu gigih untuk memenjarakan wang tersebut daripada berpeleseran di tempat yang tidak sepatutnya, walaupun hati sedang terkinja-kinja untuk mencapai matlamat jangka pendek sempena Hari Ulangtahun Keputerian saya minggu lalu. Ini memang jihad namanya!
.
Dan selebihnya hendaklah saya pulangkan semula kepada masyarakat agar pendapatan berganda ini memperolehi keberkatanNya.

Tugas-tugas terakhir

Saya sedang menyenaraikan tugas-tugas terakhir saya di luar kawasan rumah sebelum mula bercuti esok hari.

1. Mengutip 5 keping karpet dari Kedai Dobi
2. Menjemput baju-raya-tambahan dari Kedai Jahit
3. Membuat rambut raya di Kedai Gunting
4. Menjenguk Chefel di outlet Cosway – manalah tau kalau-kalau terbuka hati saya untuk menjamu tetamu dengan Resepi Ayam Diet versi ML. Versi Jua sudah dicuba sempena Hari Kebangsaan.
5. Memperbaharui insuran dan cukai jalan sekiranya memiliki limpahan kerajinan berbanding biasa.

Untuk kerja-kerja di pejabat, Al-Hamdulillah semuanya beres, berkat kegigihan saya berpuasa daripada blogging selama hampir sebulan. Hahaha! Sekarang bolehlah saya berhari raya dengan tenang, bebas daripada sebarang panggilan hangit daripada Bos Besar sepanjang tempoh percutian.

Yeehaaa!

Bila menaip tanpa melihat keyboard

Saya memulakan entry pada hari yang menggembirakan ini dengan menyahut cabaran daripada MN. Hehehe!

Cubaan Pertama :
bila menaop tanpa melihat keyboard

Cubaam Kedua :
bila menaip tanpa melihat keyboard

Cubaan Ketiga :
bila menaip tanpa melihat keyboard
.
.
.
.
.
wah, sangat memberangsangkan juga keputusan saya ini ya? :P

Practice makes perfect, uols!

Tuesday, September 15, 2009

Beraya di mana?

Saya tidak suka soalan ini.

Tahun lepas, Ibu saya diterbangkan ke Mekah untuk menunaikan umrah sebaik sahaja Ramadhan membuka tirainya. Ibu saya hanya kembali ke tanahair selepas seminggu Syawal menjelma. Bermakna, kami sekeluarga meraikan bulan puasa dan Hari Raya tanpa Ibu tahun lalu. Bapak tidak mahu ikut serta dengan perancangan Ibu. Maka kedua Ibu dan Bapak beraya berasingan.

Oleh kerana saya dan Mr Daddy masih tinggal bersama keluarga saya, Bapak banyak membantu menyediakan juadah berbuka memandangkan kami suami isteri hanya tiba di rumah lebih kurang jam 6.30 petang setiap hari bekerja. Bapak memang handal memasak! Saya setakat masak menu sayur saja kerana nasi dan menu utama telah siap tersedia. Malah, Bapak jugalah yang bangun paling awal untuk memanaskan lauk ketika bersahur. Dan bab cuci-mencuci Bapak lepas tangan terus. Ya, Bapak memang handal memasak sehinggakan kalau masak sambal, alamatnya satu dapur turut bersambal. Hehe.

“Papa masak. Tapi engkau kena kemas, cuci semua ya?”

Setiap hujung minggu, Bapak bersahur dan berbuka puasa sendirian kerana kami pulang ke rumah mertua saya. Sebak betul saya rasa. Walaupun cuma untuk 2 hari meninggalkan Bapak, saya terasa bagaikan ada duri menusuk hati. Terbayang di fikiran saya, susuk tubuh Bapak bangun pagi-pagi menyediakan sahur. Terbongkok-bongkok menyiapkan juadah berbuka.

Oleh kerana setiap hujung minggu kami telah meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama keluarga Mr Daddy, saya mengharapkan agar Hari Raya Pertama biarlah kami lapangkan masa untuk bersama Bapak dan Adik saya bagi meraikan hari yang mulia itu. Satu hari saja, Hari Raya Pertama – itu pun cukuplah. Sehari sebelum raya, saya dan Bapak telah siap merendang bagai. Oleh kerana Ibu tiada, saya uruskan segala-galanya yang biasa saya buat bersama Ibu. Adik saya terpaksa bekerja sehingga jam 12 tengah malam, pada malam Raya! Sedihnya mengingatkan Bapak akan ditinggalkan seorang diri.

Tetapi harapan tinggal harapan. Mr Daddy tetap berkeras mahu balik ke rumah keluarganya juga tahun itu. Saya tidak mahu memujuk, tetapi jauh di sudut hati saya tetap berharap dan masih berharap agar terbuka pintu hati Mr Daddy untuk sedikit belas ihsan. Nampaknya memang ujian untuk jiwa saya yang bergelar isteri. Jangankan nak dapat ‘pelepasan cuti’ Hari Raya Pertama, bahkan Malam Raya juga ditetapkan di rumah keluarga Mr Daddy.

“Engkau tak boleh ke balik kampung lepas sembahyang Raya?”

“Entahlah Pa. Papa bincang dengan Wan (bukan nama sebenar) boleh?”

“Kalau engkau orang tak ada satu Hari Raya nanti, buat apalah Papa buat rendang? Papa buat untuk engkau orang, bukan untuk Papa”

Sebak. Pilu. Tetapi kami tetap berangkat selepas Zuhur, sehari sebelum berhari Raya. Hari Raya Pertama sehinggalah Hari Raya Ketiga dihabiskan bersama keluarga Mr Daddy. Ahli keluarga Mr Daddy, lengkap semuanya daripada nenek, ibu bapa, anak menantu, makcik pakcik hingga ke cucu cicit. Seorang pun tidak ketinggalan. Dalam keriuhan gelak ketawa mereka sekeluarga, yang saya fikirkan hanyalah Bapak dan Adik saya di rumah yang hanya beraya berdua. Entah apalah yang mereka lakukan ketika itu? Sudah makankah? Rendang sudah dihangat? Sayur lodeh dan kuah kacang kalau tak dipanaskan tentu basi. Adakah Adik saya ingat pesan saya untuk membancuh Nescafe sebelum keluar untuk Solat Aidilfitri?

Hanya pada Hari Raya Keempat, barulah kami pulang semula di rumah keluarga saya. Setibanya di rumah, terlihatlah rumah yang dipenuhi pinggan-mangkuk tak berbasuh selama 3 hari. Hmm, Bapak memang tidak gemar bab mengemas mencuci ni. Adik pula tak ingat pesan saya! Hai, susah betul nak mendidik Adik lelaki. Kasihan orang tua berusia hampir 70 tahun itu.
.
.
.
Entah apa yang akan terjadi pada Syawal tahun ini agaknya? Saya tak meminta banyak. Satu hari saja, Hari Raya Pertama cukuplah. Selebihnya saya tak kisah.
.
.
.
Tetapi apalah daya saya.

Islam itu indah, jangan diburukkan dengan fahaman sempit

"kata bila dah kahwin isteri jadi hakmilik keluarga suami"

Saya telah menerima komen ini dalam entry saya yang terdahulu daripada seorang pemberi komen yang melabelkan dirinya anonymous. Maaf, saya bukanlah seorang lulusan dalam bidang agama, yang mengaji selok-belok agama berdasarkan hukum-hakam yang terperinci dan mendalam – tetapi saya yakin dengan sepenuh hati bahawa Islam itu indah, mudah dan sejahtera.

Ketika mula-mula berkahwin dulu, saya juga percaya membabi-buta bahawa isteri akan menjadi hakmilik keluarga suami secara total. Maklumlah, saya masih mentah. Tetapi semakin hari, semakin saya merenung situasi semasa dan semakin banyak saya membaca serta mendengar tulisan dan ceramah Dr Mohd Asri, bekas Mufti Besar Perlis, saya mula menyangkal banyak perkara berkaitan Islam yang kedengarannya ortodoks dan berat sebelah. Maksud saya, ada banyak perkara pelik dan sukar diterima tetapi dengan senangnya kita telan bulat-bulat atas nama Islam – padahal perkara itu tidak betul. Sekali-sekala, tontonlah siri Bahtera Perubahan Bersama Dr Mohd Asri di saluran Astro Oasis. Anda akan faham maksud saya.

Saya berpendapat, sekiranya semua isteri akan menjadi hakmilik keluarga suami – maka celakalah sesiapa yang mendapat anak perempuan – dan tidak memiliki zuriat berjantina lelaki. Maka samalah kita dengan budaya Hindu, yang mana menantu perempuan telah sedia maklum akan berakhir sebagai hamba abdi di rumah mertuanya. Dan samalah kita dengan budaya orang Cina tradisional, yang mana menantu perempuan diwajibkan tinggal bersama dengan keluarga suaminya bahkan adakalanya tidak berpeluang berhubungan dengan keluarganya. Sebab itulah orang Cina berasa bangga sekiranya dapat melahirkan anak lelaki yang ramai, dan menunjukkan kehibaan apabila dikhabarkan menimang cahayamata perempuan. Dan mungkin itulah rasionalnya mengapa orang Arab Jahiliyah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana dikatakan pembawa sial. Memang sial sekiranya setelah berpenat-lelah membesarkan seorang anak perempuan dengan susah payah, akhirnya anak perempuan tadi dimiliki oleh keluarga suaminya. Maka lebih baiklah anak perempuan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan.
Tetapi Islam adalah agama rahmat yang membawa kesenangan kepada umatnya. Tidak mungkin dan adalah mustahil Islam akan menghukum anak-anak perempuan sebegini. Apatah lagi menghakimi ibu bapa yang memiliki anak perempuan.

Terus-terang saya katakan, saya lebih rela kehilangan suami yang tidak memahami situasi diri saya daripada kehilangan kedua ibu bapa yang telah membesarkan saya sehingga saya menjadi seorang yang berguna pada hari ini. Suami (dan isteri) boleh dicari, tetapi kedua ibu bapa tiada galang-gantinya. Sebab itu Ziana Zain berlagu,

“Kalau mencari teman janganlah memandang luaran, cari yang beriman”

Beriman yang dimaksudkan dalam konteks ini biarlah yang celik agama dan benar-benar memahami keindahan Islam. Bukan setakat tangkap muat, setakat dengar-dengar apa orang kata, atau setakat ikut mana yang sedap diterima tekak. Lihatlah kepada situasi, dan bertindaklah mengikut budi bicara. Hanya orang yang tidak berhati perut saja yang mengambil langkah seenaknya.
.
.
"Isteri bukan hakmilik, tetapi anugerah"
.
.
Sebelum terlupa, saya cukup pantang dengan mereka yang menggunakan gelaran anonymous.

Monday, September 14, 2009

BO lebih Melayu daripada kita

Saya malas untuk memperkatakan tentang isu panas Malaysia-Indonesia. Tetapi dalam kemalasan itu, hati masih terasa hangat - dan membiarkan hati mengepung haba pendam pemeluwapan dalam diri bukanlah sesuatu yang bagus untuk kesihatan mental. Lebih baiklah saya mencurahkan ledakan gunung berapi ini di dalam blog kerana memang itulah fungsi sebenar My Internal Outlet.

Untuk menghakimi tindakan rakyat Indonesia yang memang tidak masuk akal dan dipenuhi emosi memang mudah. Tetapi kalau kita pun ikut sama melatah dan terjerit-jerit, maka kita pun akan dipandang sama rendah sebagaimana mereka. Benarlah kata bijak pandai,

“In quarreling, the truth is always lost”

Merenung ke dalam diri, saya sendiri pun sebenarnya berasal dari Indonesia juga. Arwah Datuk saya, seorang perantau dari Sumatera Barat datang ke Semenanjung Malaysia dengan hanya berenang dari titik paling dekat di Tanah Seberang menuju ke titik paling dekat di Melaka. Tetapi pada ketika itu, belum ada isu Pendatang Asing Tanpa Izin. Bahkan Datuk saya dikatakan sebagai antara orang terawal yang membuka tanah untuk petempatan (ketika itu masih hutan belantara) di kawasan yang kini dipanggil Sungai Ramal. Mereka yang menetap di sekitar Kajang tentu tahu tempat ini. Saya yang mendengar cerita turun-temurun itu hanya mendengar dengan mulut terlopong. Mengingatkan kisah itu yang diceritakan oleh Ibu saya ketika saya masih seorang kanak-kanak yang mentah menyebabkan saya berfikir 8 kali sama ada saya patut mempercayai cerita itu, sepertimana saya pernah mempercayai kisah dongeng Hans Christian Anderson. Apatah lagi babak penceritaan “berenang dari Sumatera Barat ke Melaka” tu membuatkan saya optimis bahawa mungkin sifat penakut dan tak tahu berenang yang wujud dalam diri saya hanyalah rekaan semata-mata. Hehe.

Walau apa pun, saya ingin menyentuh satu perkara saja tentang keruncingan Malaysia-Indonesia ini. Saya masih berpendapat, isu kebudayaan dan warisan adalah sesuatu yang terlalu sempit untuk digaduhkan. Gugusan Kepulauan Nusantara ini ibarat satu platform yang rata. Kita mungkin sedikit berbeza tetapi masih berasal dari rumpun yang sama.

Bukankah lebih mudah untuk sama-sama mewujudkan persamaan berbanding melebarkan jurang perbezaan?

Bukankah lebih baik untuk sama-sama membina jambatan berbanding mengorek parit sempadan?

Suatu ketika dulu ketika Barrack Obama baru dilantik menjadi Presiden, media Indonesia bukan main heboh (dan bangga) mendedahkan perihal BO yang dikatakan ada sangkut-paut dengan Tanah Seberang itu. Mungkin pada mata kasar, rupa paras BO kelihatan lebih Melayu berbanding orang Melayu Malaysia agaknya. Maklumlah, bukankah ‘seni visual’ itu bersifat subjektif? Dan kalaulah BO tiba-tiba menyatakan bahawa beliau pernah menarikan Tarian Pandet ketika waktu kecilnya, tentu rakyat Indonesia menjulang bendera Amerika di jalan-jalan raya.

Atau mungkin BO dirasakan lebih dekat di hati kerana beliau pernah didaftarkan atas nama Barry Soetoro ketika ‘mengaji’ di Indonesia?

Friday, September 11, 2009

110909

11 September 2009.
Pada tarikh inilah saya dilahirkan 29 tahun yang lampau. A-P-A? Hari ini hari lahir saya?! Eceh. Purak-purak terkejut pulak. Hohoho!
.
.
.
Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran atas segala kurniaan Allah kepada saya. Umur yang panjang, kesihatan yang baik dan keluarga yang bahagia. Alhamdulillah. Saya gembira dengan apa yang saya ada. Dan saya akan berusaha gila babun untuk mendapatkan apa yang saya tiada. Oh, sungguh optimis di situ!
.
.
.
Tanpa melengahkan masa, saya akan membongkarkan matlamat jangka pendek saya sempena ulangtahun keputerian saya ini. Oleh kerana namanya pun matlamat jangka pendek - maka seboleh-bolehnya hari ini juga saya mahukan barang-barang tersebut - tak kiralah sama ada kos itu patut ditanggung oleh saya sendiri atau saya keluarkan dari kocek orang-orang tertentu secara paksa atau rela. Kahkahkah! Sungguh keji pengakuan Birthday Girl Mom ini ya? :P
.
.
.

~Yezzaa....inilah Kek Harapan saya. Setibanya saya di rumah petang nanti, sekiranya saya mendapati Kek Harapan ini tidak berada di atas meja makan - siaplah! Saya akan memandu ke Kedai Resepi Rahsia dan makan kek ini seorang diri~
.
.
.

~Ini ialah Kasut Harapan saya. Oleh kerana Kasut Harapan ini tidak dijual di Mydin, maka Mr Daddy bukanlah orang yang berpotensi untuk menghadiahi saya kasut ini. Errr....sudikah Ziyad membelikan kasut ini untuk Mama tersayang? Kalau tak sudi, Mama lari pergi Batu Belah Batu Bertangkup~
.
.
.

~Ahhh....ini pula ialah Feature Wall Harapan saya. Sungguh mengancam! Eh, maaf ya - ini bukan ilham daripada Eric Leong. Alangkah indahnya kalau saya dapat menempatkan dinding sebegini di rumah baru saya. Kepada sesiapa yang menemukan wallpaper seperti corak di atas, sila beritahu saya. Akan saya balas dengan limpahan kasih sayang. Gilalah kalau makcik nak upah kontraktor buat cenggini. Mahal seh! Eloklah makcik menghasilkan sesuatu yang dinamakan sebagai Affordable Art. Eheh~
.
.
.
.

~Yang ini pula ialah Sinki Basuh Tangan Harapan - juga untuk rumah baru saya. Owh, betapa elegannya sinki ini sekiranya digandingkan bersebelahan dengan Feature Wall Harapan tadi. Memang seia sekata, senada seirama gitu. Sekali lagi, sebarang tajaan ke pintu rumah baru saya dialu-alukan dan akan dibalas dengan senyuman manis sampai ke anting-anting. Hohoho!~
.
.
.
.
Errr....nampak macam tak tercapai angan-anganku ini. Takpe, takpe. In life, everything is possible. Marilah mendoakan kejayaan cita-cita saya ini. Amin.
.
.
.

Happy birthday to me:)
I Love to Talk About Ideas
I like my conversations to be deep and meaningful. I am not a big fan of small talk.
I am open to all sorts of conversation topics, especially if they are unique or interesting. I love it when a conversation takes me somewhere unexpected.

I will talk about anything, even if it's controversial or weird. I'm not shy about speaking my mind.
I may shock people with what I'm willing to talk about, but at least it's more interesting than discussing the weather.