“Saya minta maaf. Saya mengaku memang saya yang salah.”
Begitulah pengakuan seorang pesalah trafik. Adakah maaf itu boleh mengubah apa yang telah berlaku? Adakah maaf itu boleh memutarkan kembali masa kepada keadaan yang sebelumnya? Mengucapkan maaf memang senang. Tetapi bak lirik lagu penyanyi 80-an, Shidee – sayang semuanya sudah terlambat!
Dan hari ini, si pesalah trafik menjalankan aktiviti hariannya seperti biasa. Manakala sepupu saya, mangsa kemalangan masih di hospital, terlantar di atas katil menunggu beberapa siri pembedahan yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Sakit betul hati saya melihatkan keadaan sepupu itu. Sudahlah memang sejak lahir sentiasa keluar masuk hospital. Sepupu saya ialah seorang penghidap Thalassemia. Sebenarnya doktor menjangkakan tempoh hayatnya hanya mencecah umur 5 tahun. Namun, berpantang maut sebelum ajal. Kini pada usia 20 tahun, sepupu saya masih bernyawa. Berdasarkan keadaan sebelum kemalangan, doktor menjangka sepupu saya mungkin bertahan sehingga usianya 30 tahun. Melihatkan situasi terkini, tak tahulah. Hmmm….we’ll see….
Dan sekarang, dengan keadaannya selepas lunyai dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta yang membuat pusingan U di tempat yang diharamkan berbuat demikian – saya tidak tahulah setakat mana sepupu saya itu boleh bertahan. Kaki kanan retak. Kaki kiri patah. Rahang bawah jatuh dan beralih dari kedudukan asal – dah macam tak ada dagu. Kulit di bahagian dagu sememangnya sudah bocor, sehinggakan bawah lidah pun terkoyak. Dua batang gigi patah, manakala gigi-gigi lain semuanya longgar belaka, sekali tengok memang tunggang langgang keadaan gigi di dalam sana – senget benget macam menara Pisa. Muka dan keseluruhan badan calar-balar. Walau bagaimanapun, menurut Pakar – bahagian abdomen ke bawah tidak begitu serius. Tetapi bahagian abdomen ke atas memerlukan perhatian kerana mengalami banyak keretakan. Apa pun, item pertama yang membuatkan mak paling ngeri ialah tatkala terlihat pek urine yang serta-merta mengingatkan mak kepada tiub kencing. Fuh, berpeluh dahi dibuatnya.
Nasib baiklah Pakcik bekerja di Sanortep, maka selepas 2 hari di Hospital Kerajaan – sepupu saya itu dipindahkan ke Hospital Swasta untuk rawatan yang lebih cepat dan intensif. Bukanlah Hospital Kerajaan itu tidak bagus (walaupun apa saja yang bersangkut-paut dengan kerajaan adalah sinonim dengan kadar kelembapan yang tinggi). Tetapi biarlah Hospital Kerajaan menumpukan perhatian kepada orang yang lebih memerlukan, lebih-lebih lagi semakin banyak babi yang selesema ketika ini. Bagusnya dapat kerja di Syarikat Multinasional, dari segi kewangan dan kemudahan rasanya sudah terlepas satu bebanan.
Kalau sayalah yang menjadi mangsa, haruslah aku terpojok jadi tugu negara di Hospital Kerajaan sampai ke sudah. Uwaaa….Na’uzubillah. Apalah yang boleh diharapkan daripada Kilang Cap Ayam ini? Medical benefit? – Nada! Insurance? – Nada! Medical claim? – RM100 setahun. Hisy, seram. Dengan nama Allah, terhalanglah segala bencana yang datang dari langit dan bumi daripada menimpaku.
Begitupun, duduk di wad yang selesa dengan kemudahan dan peralatan serba canggih serta tenaga pakar yang petik jari aje (dan sila periksa dompet anda) sedia berkhidmat, keadaan tubuh sepupu saya itu tidak mengizinkan. Menjelang ke hari ini, sepatutnya pembedahan di bahagian rahang bawah dan pemasangan gigi palsu sudah dijalankan. Tetapi pembedahan tidak boleh dilakukan selagi bp tidak mencecah 10. Saya pun tak tahulah bp tu apa, rasanya blood platlet. Apa yang pasti, bp yang dimaksudkan bukanlah blood pressure. Ya ampun, mak tak belajar biologi nyah! Sila maafkan kejahilanku.
Yang paling kelakar, si pesalah trafik secara sukarela menawarkan untuk membaiki motosikal Yamaha yang remuk. Oiii Mamat, motor tu yang kau risaukan? Sepupu aku yang dah retak ni kau boleh baiki tak?
Boleh repair? BOLEH?? Ke boleh beli sepupu baru kat kedai beskal?





