Saya jarang sekali membeli sesuatu yang berjenama. Ketika bergaji serendah RM800 suatu ketika dahulu, saya menetapkan bahawa setiap baju, seluar mahupun beg yang saya gunakan mestilah bernilai di bawah RM20. Lebih daripada itu, saya tidak akan beli. Tidak sekali-kali.
Sesuatu yang cantik dan berkualiti tidak semestinya mahal. Seluar dan baju yang diasak sekurang-kurangnya sekali seminggu, dibasuh mesin dan dijemur di bawah terik mentari masih boleh bertahan sekurang-kurangnya 5 tahun. Ini berdasarkan pengalaman sebenar saya.
Pendek kata, dalam hal memilih baju – saya tidak mementingkan nama. Saya tengok jenis tekstil yang sesuai mengikut kegunaan. Dan yang paling utama ialah harganya. Dalam keadaan kuasa membeli yang terhad, faktor harga memainkan peranan yang besar.
Sebaliknya, dalam hal ehwal politik dan menentukan hala tuju negara saya lebih mementingkan nama. Nama parti. Walaupun dalam sesetengah keadaan calon yang diketengahkan tidak menarik perhatian saya, tetapi saya tetap mengundi parti yang itu-itu juga. Satu undi saya mungkin terasa kecil. Tetapi satu undi itu boleh mengubah letak duduknya tunjang pemerintahan di peringkat atasan. Dalam menilai prestasi sesebuah parti, saya cenderung untuk melihat sejauh mana kepemimpinan itu mampu membawa kemakmuran kepada negara. Contoh paling mudah – kalau satu negeri pun kau tak boleh handle, takkan aku nak kompromi bagi kau perintah satu negara? Haihh. Gila la kalau saya buat begitu. Tetapi kini saya lebih gembira kerana saya lihat ada tiupan angin perubahan yang sedang mengambil tempat. Hampir kesemua parti politik telah memberikan perhatian yang serius dalam isu pemilihan calon. Baguslah.
Saya beritahu Mr Daddy, kalau semua orang di dunia ini mendahulukan nama – habislah saya!
Katakan saya calon A dari Kilang Kicap Cap Ayam. Dan lawan saya ialah calon B dari Kilang Multinasional. Jika pengundi memilih nama – dari awal lagi saya sudah kalah.
Mr Daddy menjawab,
“Kalau saya pilih pekerja, yang tak ada penglibatan sukan saya tolak tepi awal-awal. Susah la nak keje dengan orang yang kaki buku – diorang ni biasanya tak reti buat keje”
Ceiss. Kalah lagi!
Ehh....catur tidak boleh dikira sebagai sukankah? Malah pertarungannya lebih hebat kerana pemain catur bertanding atas kekuatan individu. Kalau setakat main hoki tu, yang letih cuma seorang dua. Selebihnya pakat lari-lari anak saja. Tak aci, tak aci.

